“Sejuk”. Hati kecilku berbisik.
Jarum pendek jam dinding
menunjukkan angka 5, manakala yang panjang menunjukkan jam 12. Hajat hati mahu
beransur pulang, apakan daya kerja menimbun. Belum jadi papa budak, dah sibuk.
Dua bebola mata bercumbuan mesra
bersama lensa mikroskop. Pancaran cahaya meneroka masuk ke iris mata,
bergerak-gerak anak mata ini mencari-cari serakan kromosom metafasa sawit. Sedikit
sukar. Saiznya kurang dari 10 mikron.
Teruskan mencari, sambil menyanyi
riang lagu kak Melah “Sesaat kau datang” tanpa featuring.
“Sungguh kejamnya dirimu.. kau khianati cinta…. lalala…”
“Mana awak kromosom?? Kita rindu
awak, awak tak rindu kita?? Mikroskop tolonglah kita carikan kromosom. Please, please…”. Pujuk rayu hati pada
mikroskop. Mikroskop terus kaku. Aku menggila.
Ini bukan kromosom sawit, tapi kromosom manusia
*********
Lima minit kemudian, tanpa diduga
lampu mikroskop terpadam. Lampu kalimantang turut terpadam. Black out! Ini dugaan, ini cabaran.
“Dum, krek-krek”. Bunyi pintu
dikunci. Apakah?? Apakah aku dikunci atau terkunci sendirinya didalam makmal
eskimo ini??? Berlari-lari anak ke pintu makmal yang berwarna merah jambu dengan
mulut yang sedikit muncung.
“Tahniah awak, awak terkunci dan
dikunci”. Monolog hati. Aliran darah mengalir deras, hati sedikit kebas
diselitkan dengan sedikit rasa duka, sedih dan kecewa. Gelora, oh gelora.
“Kak, kenapa akak kunci saya. Apa
salah saya?? Punyalah besar saya duduk sebelah akak sambil-sambil menghendap
akak melayari facebook. Sampai hati
akak. Saya tak sekecil kromosom kak”. Bermonolog lagi, akan tetapi kali ini menghadap
peti ais yang bersandar rapat pada dinding.
Sunyi. Suiz lampu makmal
dihidupkan semula. Sunyi-sunyi ini bisa buat otak mengimbas kembali watak-watak
dalam drama dan filem seperti Nek Nak, Congkak dan Jangan pandang belakang.
Hantu botol kicap??? Itu tidak. Inilah pengaruh media, mudarat bila mana banyak
cerita hantu dimainkan.
Telefon bimbit dicapai, beserta hajat
menghubungi pihak ‘berwajib’. Didail 10 angka secara berturutan, bermula dengan
3 angka awal yakni 012.
“Hello, assalamualaikum kak. Akak
buat apa?? Nak beritahu akak, saya terkunci dalam makmal.Kunci saya pula dalam
kereta. Tak tahu siapa kunci saya”. Sedikit kepuraan, silakan terasa cik akak.
“Waalakumussalam. Hahaha. Mintak maaf dik. Akak tak
perasan. Lagi 10 minit akak sampai”. Balasnya disertai sedikit deraian tawa
riang.
Cik akak ini masih mampu bergelak
ketawa, sedang aku tengah ‘seronok’ dikunci. Tidak mengapa, ungkapan maafnya
membuatkan hati sedikit suam. Aku yakin cik akak tidak sengaja.
“Apa mahu buat? Kerja dah siap.
Bukan aku. Tapi kami berkongsi situasi yang sama.
*********
Sunyi. Beginilah rasanya, bila
mana terkurung.
Mungkin sedikit sama rasanya bila
di sangkar penjara. Bezanya aku
terkurung dalam jangka masa yang terhad dan tidak diberi makanan percuma. Tidak
diberi makanan percuma sangat
‘demand’. Dikurung hanya beberapa
ketika, sudah mula mintak makan dan minum.
Namun, aku masih gembira, kerana
kesunyian ini memberi ruang untuk kita berfikir dan bermuhasabah.
Mungkin tika ini, boleh
memikirkan kesalahan terhadap insan sekelliling. Bermula dengan ibu bapa kita.
Berapa kerap kita berlawan cakap dengan mereka, berapa kerap kita memarahi
mereka dan berapa kerap kita menjatuhkan air mata mereka. Bandingkan kekerapan-kekerapan
itu dengan bakti kita pada mereka.
Begitu juga pada keluarga dan sahabat handai. Rasa bertuah bercambah bila mempunyai sahabat yang sering mengambil berat, baik dari alam nyata mahupun maya, teman blog dan twitter.
Sayang abah, mama.
Paling penting, mengakui dan
menyedari kesilapan kita pada Dia, pencipta alam. Sebagai manusia biasa, sudah
pasti tidak akan lepas daripada kelalaian. Kelalaian dan kesibukan arus dunia
semata bakal membuahkan kealpaan pada-Nya.Bermohon pada-Nya, berserah
pada-Nya.
Banyak sungguh alpaku… Moga kita semua berusaha menjadi yang lebih
baik. Walaupun sedikit, sudah pasti ia memberi makna ..
********
“Krek, krek, duk..” Bunyi pintu
dibuka. Mataku bersinar.
“Maaf dik, akak lambat sikit” Cik
akak makmal memulakan bicara. Wajahnya sedikit risau. Manakan tidak janji manis
10 minit untuk tiba bertukar 60 minit. Sedikit pahit.
“Terima kasih kak. Tak apa. Saya okey. Semua orang mana pernah perfect. Mungkin esok lusa saya pula yang
kunci akak..”.
Aku berlalu pergi.
P/S: Seronok juga gua rasa bila terkunci. Teringin pula gua pula nak try kunci atau buat-buat mereka terkunci. (^_^)
Apa-apa pun gua menyusun 10 jari minta maaf kerana sudah lama blog gua bersawang. Kesibukan gua dalam hal duniawi salah satu
faktornya. Moga bertemu lagi teman.