Habuk. Sawang.
Beberapa bulan, aku sepi.
Lembaran ini kosong.
"Bila nak update?"
Persoalan lali. Kabut.
Tidak berani meletak janji.
Seboleh-bolehnya. Semahu-mahunya.
Tercoret semula "My Words".
Andai peroleh izin-Nya.
Selagi bernafas.
Hipotesisnya?
P/S: Gua rindu nak tulis-tulis balik. Dulu gua pegang satu komitmen. Kali ini gua ada dua. Jangan salah faham. Gua belum kahwin. Ada nak isi borang? hahaha
Saturday, 31 August 2013
Sunday, 12 May 2013
Mama
Pagi itu, tenang. Langit gelap
kian terang.
Postur badan kubengkokkan sedikit.
Menggapai sepatu coklat lusuh, kusarung kedua belah kaki.
Tangan ibu ayah, kugenggam erat,
kucium. Mohon restu.
“Ajik, dompet bawa tak? Handphone
bawa tak? Duit ada tak?” Soalan keramat ibu, hingga kini.
Dari kejauhan, kulihat ibu melambai.
Kuamati wajah ibu. Redup.
*****
Tanggal 28 Julai 1988, lahir seorang
anak kecil.
Si ibu menjaga anak kecil itu,
dengan penuh kasih dan sayang.
Kata si ibu;
“Dia seorang yang pendiam, manja
dan sangat berahsia dalam keluarga”.
“Kecil-kecil susah nak bangun
pagi, sampai masuk tadika. Kena dukung, angkat dan mandikan. Kadang-kadang,
kencing bersepah atas katil”.
“Sebelum pergi sekolah, kena bagi
susu. Susu bukan dalam cawan, dalam botol. Sampai darjah 6”.
“Tiap-tiap malam sebelum tidur,
kena dodoi. Kalau tidak, mengigau cari bantal busuk. Dia tidur mesti kena pakai
stoking Kiki lala”.
“Kalau demam, dia boleh telan
ubat air. Kalau pil, semahu-mahu dibelah lapan, dihancur bersama air”.
Terserlah akan kemanjaan anak
kecil itu.
*****
Istilah ‘kecil’ itu kian kabur, dibawa
arus masa, hingga kini sudah dewasa.
Padat dalam berjuang memandu menentukan
hala tuju.
Kata si ibu;
“Belajar bersungguh-sungguh nak,
kerja baik-baik”.
“Dia semakin sibuk, sehari nak
berbual dengan mama pun jarang. Balik kerja, masuk bilik”.
“Dulu kalau ke mana-mana,
selalunya dia ikut. Bila sibuk, mama tak nak ganggu”.
“Sempat ke mama nak tengok bakal
isteri kamu?”
Sayu.Menilik-nilik, siapakah gerangan
si anak itu?
Itulah aku, Ajik. Si anak yang sering membuat
hati ibu terusik.
*****
Hampir 25 tahun, menongkah arus
kehidupan.
Acapkali aku berfikir akan
persoalan ini. Persoalan yang berungkai ;
Apakah budiku buat ibuku? Apa
sempat aku menabur bakti buatnya? Di ‘sini’ dan untuk di ‘sana’ ?
Mampukah aku menjaga,
menyayanginya seperti mana dia menjaga dan menyayangiku?
“Selamat Hari Ibu, mama. Tiap-tiap hari adalah hari ibu. Ajik sayang mama, terima kasih mama”.
Dedikasi buat mama, Hajah
Rabiah Moktar.
p/s: Gua jenis pesen
malu-malu kalau nak ucap selamat hari ibu takpun birthday. Pagi tadi gua
tergagap-gagap, terkebil-kebil, terkentut-kentut nak ucap masa mama gua
tengah masak. Kena tengking, baru wish. Perghh, terabur wish gua!
haha
Monday, 11 March 2013
'Mata kasar'
Jumaat, 8 Mac 2013.
Langkah kaki deras. Harungi selok belok jalan berumput,
berbatu.
Matahari tegak memancar memayungi gerak badan.
Gerak badan jasad-jasad Adam menuju ke rumah agung itu
diperhati.
Kelihatan insan bersimpuh, memangku cahaya mata.
Merenung sepi, lengkap bertabung di bawah pohon hijau.
*****
Sedang kelekaan berjalan, empat mata tertancap pada tubuh
itu.
Berkemeja biru, berketayap putih.
Pada sudut wajah, atas bibirnya tumbuh misai ‘hidup segan
mati tak mahu’.
Tahi lalat anggaran seluas 1 sentimeter persegi, tebalnya tidak
pasti.
Si pemilik tubuh menghayun tangan, mengukir senyum sapa.
“Gua confirm abang sepupu gua!”
*****
Kaki kuhayun ke arahnya, kurapati tubuhnya yang berpaling.
Bahunya kutepuk perlahan, terbit pertanyaan padanya.
“Assalamualaikum bang. Lama tak dengar citer.
Sihat?”.
“Waalaikumussalam. Siapa ini? Mungkin saya lupa”.
Aku tersengih. Seperti hilang arah, geli-geli pada muka.
Merah padam.
Azan bergema, kuberjalan perlahan memasuki ruang sejadah
menanti tuan khatib.
“Melihat ‘sekali imbas’ pada ‘dasar’, melalui ‘mata kasar’,
boleh jadi tersasar”.
P/S: Gua rasa kalau jadi lagi
silap orang ini, gua nak cakap “Boleh kita berkenalan? Saya Ajik”. Kah kah
Wednesday, 27 February 2013
Sakit & Gigi
Satu hari dalam kalangan 365 hari di tahun masihi, 1997.
Tamat waktu rehat. Mengatur langkah ke bilik darjah, 3 Jujur.
Berpeluh-peluh.
Manakan tidak, galah panjang, ‘polis entri one to jaga’,
nenek kebayan dan seangkatan,semua dipraktikkan aku secara berhemah dan
berjemaah.
“Eh, nama apa dekat papan hitam itu? Entah-entah nama yang
masuk kuiz matematik. Eh, nama awak ada Ajik”. Emilia merangka-rangka
persoalan.
Kelihatan kelibat yang agak besar jasadnya dari luar pintu. Disamari
cahaya luar, serba putih.
“Okey, nama-nama yang ada dekat depan turun dewan ikut akak.
Ni semua yang gigi rosak, gigi lubang, ada hitam-hitam!” Jasad besar bersuara.
Aku termanggu, mental terganggu.
“Mama! Ajik nak balik!”.
*****
Dua hari lalu…
Menghitung masa, mengira gerakan separa-separa jarum jam
pada dinding. Debar-debar.
Dengan rasa lemah longlai, aku bangkit menuju ke bilik doktor
sejurus angka bertuahku dipanggil.
“Razik, bukak kasut. Duduk atas kerusi”. Doktor Dasril memberi
arahan.
Cahaya lampu yang terang menerobos empat mataku.
“Gigi awak bengkak. Ada infection, nanah. Mari saya cuci”.
Dibasahkan kapas dengan larutan antiseptik. Berkali-kali
dicucuh, rasa luluh. Aku separa menggeliat.
“Razik, next time you boleh scaling gigi.
Buang plak”. Aku mengiyakan, mengangguk sedikit.
*****
Pembantu doktor yang ayu menghulur ubat kumur.
“Adik, kumur 30 saat”.
“Adik? Adik? Hoi, gua lagi tua!” Aku bermonolog.
“Razik you orang mana? Kampung mana?” Doktor Dasril
bersuara. Aku tersentak.
Aku berkira-kira, baharu 5 saat aku berkumur.
Tak dijawab rasa biadap. Kalau dijawab, khuatir ubat kumur kutelan.
“Saya asal Bangi”. Ringkas kujawab. Aku menyambung langkah
berkumur melangsaikan ubat kumur yang masih berbaki.
“Kampung mak dengan ayah?”
Tersentak buat kali kedua.
“Baru 5 saat gua kumur….” Hati memberontak lemah.
Aku
merenung mata beliau, melihat kedutan pada kulit pipinya.
“Mereka asal Melaka doktor.” Aku membalas.
“Rambut orang Melaka memang macam ini?” Beliau menambah.
Aku diam, tiada daya untuk mengungkai kata-kata kepastian.
“Apa kaitan rambut dengan asal usul Melaka??”
*****
“Ajik, doktor kata apa?” Sapaan sahabatku, yang mendambakan
jawapan. Riak mukanya sedikit semangat.
“Doktor kata gigi aku nanah. Infection gigi bongsu. Doktor
kata ada plak juga”.
“Wah, plak apa. Plak ala-ala piala ek??”
Aku menjawab perlahan, “Untunglah celah-celah gigi ada
medal, ada piala. Plak tu penunggu mulut, stay bertapa dekat
celah-celah gigi”.
“Nama lain plak, tahi gigi. Kah kah kah”.
*****
“Sakit itu, sakit ini. Barangkali ujian dari yang Esa,
barangkali juga kifarah dosa.”
p/s: Hangpa jangan gelak-gelakkan gua,
silap-silap hangpa pun kumpul plak. Kah kah. Apa lagi rajin-rajin
buat temujanji dengan doktor gigi. Mana tahu dapat doktor gigi macam Dr Ezani masterchef?
Monday, 28 January 2013
"Adira"
Keheningan pagi itu…
“Dup”
Pemegang pintu kereta ditarik. Enjin kereta dihidupkan.
Dari celahan stering, kelihatan simbol tangki minyak berkelip-kelip.
“Tinggal satu takuk, wajib isi.”
Kaki kanan menekan pedal minyak. Stesen minyak menjadi
sasaran.
*****
“Dik, isi minyak 30, pam 7. Lepas tu topup Maxis
10.”
Empat mata merenung tajam pada tanda nama gadis itu. Tidak
berkelip.
“Adira, eh Adira.. Awek itu nama dia Adira…” Barangkali gelarannya.
Ucapan terima kasihnya kusambut mesra.
Melangkah deras ke pam minyak 7. Hati masih berdebar,
terukir pelbagai rasa.
“Apakah ini…. Kukus, gril, panggang?? ” Gila.
Enjin dihidupkan semula. Lagu ‘Ombak Rindu’ diputarkan.
Getar rasa diluah melalui nyanyian.
Getar rasa diluah melalui nyanyian.
“Moga kita bersua lagi Adira…” Oh, itu jiwang.
*****
Terpapar angka 1016 pada kotak elektronik yang terlekat di siling.
“Itu nombor aku.” Deras bangkit menuju ke kaunter.
Sehelai kertas kuning tertera tulisan ‘Maybank’ kuserah pada
juruwang.
Dompet dibuka.
“Eh, mana? Mana? Kenapa tak cukup duit gua???” Hati tertanya-tanya.
Terkedu.
Juruwang memandang sinis, sesekali mengangkat-angkat kening.
“Erk, Adira!!! Gua lupa nak ambil baki tadi.”
*****
Menuruni kereta menuju ke kaunter stesen minyak.
Sedikit gelabah,
tersurat rasa cemas pada wajah.
Mencari-cari gadis mesra itu, Adira.
Mencari-cari gadis mesra itu, Adira.
“Abang. Tadi abang tak ambil bakikan?” Dia menyapa.
Aku mengangguk tanda setuju.
Tiada sepatah kata keluar dari bibir. Kelu.
Tiada sepatah kata keluar dari bibir. Kelu.
Sehelai wang kertas berwarna hijau tua juga merah dihulurkan.
“Sebenarnya saya dah panggil abang tadi. Jerit macam nak
gila kejar abang.”
Adira mengeluh lembut. Terukir senyuman di bibirnya.
“Bukan Adira yang gila, tapi abang yang gila...”
*****
Kejujuran Adira membuatkan hati yang gila ini berkocak tidak
keruan.
Warkah dari Adira buatku,
*****
Jujur sesama manusia, tidak pernah sia-sia, malah
tidak akan dipersia di dunia yang tidak berusia.
P/s: Gua musykil dengan Adira ni. Dia nak kata dia gila atau nak kata gua yang gila? Kah kah.
Sunday, 13 January 2013
"Dejavu"
Alhamdulillah.
Terima kasih buat kalian yang mendoakan tempoh hari. Beberapa
hari lalu….
Rambut sedikit berpintal. Jelas pancar sedikit kesibukan
itu.
Tangan kanan leka bermain-main tetikus. Mata hitam
bergerak-gerak, dari atas ke bawah.
Sesekali pandangan samar-samar, satu menjadi dua, dua
menjadi tiga. Ilusi apakah ini?
Aku bangun. Menyeimbang postur badan. Masih normal, kepala masih diatas kaki dibawah.
*****
“kreek, krikkkk”
Pintu bilik tersingkap. Jantung berdebar.
Tanda pangkah hujung penjuru kanan skrin ditekan.
Laman burung biru, buku biru juga “my words” dipadam. Itu
rahsia.
“Pok cu!!!” Gema suara dua anak kecil. Ceria wajah mereka kulihat.
“Dina sayang pokcu tak??” Memuncungkan sedikit bibir.
“Tak. Ocu masham.” Aku terkedu.
Dari satu sisi,
kumelihat Diha mencangkung. Riak wajah
kelat, muka pucat.
“Diha ‘yak’? “ Mendapatkan kepastian.
“Abish ocu!” Diha tersenyum, lega.
“Bau apa ini?”
Sudah kujangka.
*****
Mengintai dari celahan pintu kamar. Melihat dua insan kecil
bermain.
Indah hidup mereka, belum mengerti suka duka.
Seorang mencangkung, seorang bersimpuh. Leka memadankan
bongkah-bongkah kecil aneka warna.
“Dejavu”
p/s: Gua teringin nak kembali zaman gua kecik-kecik dulu. Sebab gua yakin masa itu gua comel. Hahaha. Okey, itu perasan! Siapa mamat atas ini??
Tuesday, 1 January 2013
010113
Pagi yang dingin. Sejuk beku
tempat itu. Itulah makmal tercinta.
Mata terarah pada kalendar kecil
2012 setentang jasadku.
Menguis-nguis kuku yang
menampakkan sedikit tanda penuaan.
“Beberapa hari lagi akan kutemu
2013. Jadual semakin padat. Semakin besar cabarannya. Dua tugas satu masa.”
Berpaling arah.
“Apa guna termenung? Jarum
panjang dan pendek pada jam tetap berdetik.”
Bingkas bangun, menyarungkan baju
putih makmal. Sarung getah berbentuk tangan, cukup lima jari tiada kurangnya
dicapai, disarungkan pada kedua-dua tangan. Kemas.
Mengatur langkah, memulakan kerja
mengekstrak jaringan DNA sawit. Satu persatu.
Brrpp. Brrpp. Brrrp....
Poket seluar bergegar, ada getar panggilan.
Sarung tangan getah kutanggalkan,
panggilan dijawab.
“Assalamualaikum. Saya dari GSO
UPM. Ingin maklumkan yang tarikh telah ditetapkan pada….”
Terdiam. Termanggu.
"Beberapa hari lagi. Cepat dan rakus mereka-mereka membaca tesisku. Bakal 'berperang' kata dengan sang pemeriksa"
"Beberapa hari lagi. Cepat dan rakus mereka-mereka membaca tesisku. Bakal 'berperang' kata dengan sang pemeriksa"
Mengetip bibir. Lirik senyum sedikit
hambar, jantung berdebar.
Permulaan 2013, bakal melakar sejarah
besar dalam perjuangan.
Melunaskan titik-titik cabaran
yang terbentuk sedari 2 tahun kelmarin.
Benarlah 2013 itu besar cabarnya.
“Doakan saya kalian. Moga dipermudahkan-Nya.”
“SELAMAT TAHUN BARU 2013.”
P/s: Tahun 2013 ini gua menjadi
semakin padat juga sendat. Malah gua semakin ‘muda’. Gua yakin akan
ada siulan berbunyi “Bilalah nak rasa nasi minyak?”. Azam gua? Mahu ajar
anak buah gua yang umur 2 tahun itu pengamiran dan pembezaan.
Subscribe to:
Posts (Atom)