Thursday, 23 August 2018

Kembali

Assalamualaikum wbt.

Gementar nak menulis semula. Terlalu lama berhibernasi barangkali.
Jika ada yang merindu tulisku, coretku dan anganku.
Insha Allah akan kembali, mungkin dengan coret yang lebih matang umurnya.

Viva-Voce aku tinggal hanya lagi 4 hari. Doakan.


Ajik, 2018.

Sunday, 4 January 2015

konfigurasi


Aku yang dipengaruhi ambiguiti rasa beberapa ketika.

Tidak mahu terus ditakhluki.

Aku percaya kurnia yang Satu.

Bukan bersahaja.

Bukan tercela.

Mendidik aku merentas gelora.

Melalui titian hikmah.




Tidak guna lagi aku membisu.

Tanpa titisan aksara atas hamparan putih.

Bukan lagi angan-angan.

Bukan lagi ucap sifar.




Konfigurasi aksara 2015,

Bermula.



Saturday, 13 September 2014

luluh

sejak satu ketika
aku belajar 
memahami persahabatan
sangsi dengan teori
ada bila perlu


aku kompleks
menyembunyikan memendamkan
sampai bila tidak tertahan
terbolos meniarap
dalam kamar kesedihan


aku telunjukkan salah
pada jasad sendiri
kerana terlalu menjaga
kerana terlalu memberi
hingga jiwa berduka


biar aku tersisih
biar dipandang lekeh
itu semua penjurian manusia
yang hanya berkata mudah
tapi tidak merasai


biar dulu aku sewangi mawar
biar sekarang harumnya jijik
kerna aku yang rumit
Allah tetap ada
di sisiku bersama


maaf jika aku menyukarkan
tidak lagi aku menemani
kerana lesapnya layak
bersama kalian
dikaburi kekuranganku




1336,
14092014,
bangi







Saturday, 31 August 2013

Hipotesis

Habuk. Sawang.

Beberapa bulan, aku sepi.

Lembaran ini kosong.

"Bila nak update?"

Persoalan lali. Kabut.

Tidak berani meletak janji.

Seboleh-bolehnya. Semahu-mahunya.

Tercoret semula "My Words".

Andai peroleh izin-Nya.

Selagi bernafas.

Hipotesisnya?


P/S: Gua rindu nak tulis-tulis balik. Dulu gua pegang satu komitmen. Kali ini gua ada dua. Jangan salah faham. Gua belum kahwin. Ada nak isi borang? hahaha

Sunday, 12 May 2013

Mama

Pagi itu, tenang. Langit gelap kian terang.

Postur badan kubengkokkan sedikit. Menggapai sepatu coklat lusuh, kusarung kedua belah kaki.

Tangan ibu ayah, kugenggam erat, kucium. Mohon restu.

“Ajik, dompet bawa tak? Handphone bawa tak? Duit ada tak?” Soalan keramat ibu, hingga kini.

Dari kejauhan, kulihat ibu melambai. Kuamati wajah ibu. Redup.

*****

Tanggal 28 Julai 1988, lahir seorang anak kecil.

Si ibu menjaga anak kecil itu, dengan penuh kasih dan sayang.

Kata si ibu;

“Dia seorang yang pendiam, manja dan sangat berahsia dalam keluarga”.

“Kecil-kecil susah nak bangun pagi, sampai masuk tadika. Kena dukung, angkat dan mandikan. Kadang-kadang, kencing bersepah atas katil”.

“Sebelum pergi sekolah, kena bagi susu. Susu bukan dalam cawan, dalam botol. Sampai darjah 6”.

“Tiap-tiap malam sebelum tidur, kena dodoi. Kalau tidak, mengigau cari bantal busuk. Dia tidur mesti kena pakai stoking Kiki lala”.

“Kalau demam, dia boleh telan ubat air. Kalau pil, semahu-mahu dibelah lapan, dihancur bersama air”.

Terserlah akan kemanjaan anak kecil itu.

*****

Istilah ‘kecil’ itu kian kabur, dibawa arus masa, hingga kini sudah dewasa.

Padat dalam berjuang memandu menentukan hala tuju.

Kata si ibu;

“Belajar bersungguh-sungguh nak, kerja baik-baik”.

“Dia semakin sibuk, sehari nak berbual dengan mama pun jarang. Balik kerja, masuk bilik”.

“Dulu kalau ke mana-mana, selalunya dia ikut. Bila sibuk, mama tak nak ganggu”.

“Sempat ke mama nak tengok bakal isteri kamu?”

Sayu.Menilik-nilik, siapakah gerangan si anak itu?

Itulah aku, Ajik. Si anak yang sering membuat hati ibu terusik.

*****

Hampir 25 tahun, menongkah arus kehidupan.

Acapkali aku berfikir akan persoalan ini. Persoalan yang berungkai ;

Apakah budiku buat ibuku? Apa sempat aku menabur bakti buatnya? Di ‘sini’ dan untuk di ‘sana’ ?

Mampukah aku menjaga, menyayanginya seperti mana dia menjaga dan menyayangiku?


“Selamat Hari Ibu, mama. Tiap-tiap hari adalah hari ibu. Ajik sayang mama, terima kasih mama”.

Dedikasi buat mama, Hajah Rabiah Moktar.





p/s: Gua jenis pesen malu-malu kalau nak ucap selamat hari ibu takpun birthday. Pagi tadi gua tergagap-gagap, terkebil-kebil, terkentut-kentut nak ucap masa mama gua tengah masak. Kena tengking, baru wish. Perghh, terabur wish gua! haha

Monday, 11 March 2013

'Mata kasar'

Jumaat, 8 Mac 2013.

Langkah kaki deras. Harungi selok belok jalan berumput, berbatu. 

Matahari tegak memancar memayungi gerak badan.

Gerak badan jasad-jasad Adam menuju ke rumah agung itu diperhati.

Kelihatan insan bersimpuh, memangku cahaya mata.

Merenung sepi, lengkap bertabung di bawah pohon hijau.

*****

Sedang kelekaan berjalan, empat mata tertancap pada tubuh itu.

Berkemeja biru, berketayap putih.

Pada sudut wajah, atas bibirnya tumbuh misai ‘hidup segan mati tak mahu’.

Tahi lalat anggaran seluas 1 sentimeter persegi, tebalnya tidak pasti.

Si pemilik tubuh menghayun tangan, mengukir senyum sapa.

“Gua confirm abang sepupu gua!”

*****

Kaki kuhayun ke arahnya, kurapati tubuhnya yang berpaling.

Bahunya kutepuk perlahan, terbit pertanyaan padanya.

“Assalamualaikum bang. Lama tak dengar citer. Sihat?”.

“Waalaikumussalam. Siapa ini? Mungkin saya lupa”.

Aku tersengih. Seperti hilang arah, geli-geli pada muka. Merah padam.

Azan bergema, kuberjalan perlahan memasuki ruang sejadah menanti tuan khatib.



“Melihat ‘sekali imbas’ pada ‘dasar’, melalui ‘mata kasar’, boleh jadi tersasar”.




P/S: Gua rasa kalau jadi lagi silap orang ini, gua nak cakap “Boleh kita berkenalan? Saya Ajik”. Kah kah

Wednesday, 27 February 2013

Sakit & Gigi

Satu hari dalam kalangan 365 hari di tahun masihi, 1997.

Tamat waktu rehat. Mengatur langkah ke bilik darjah, 3 Jujur. Berpeluh-peluh.

Manakan tidak, galah panjang, ‘polis entri one to jaga’, nenek kebayan dan seangkatan,semua dipraktikkan aku secara berhemah dan berjemaah.

“Eh, nama apa dekat papan hitam itu? Entah-entah nama yang masuk kuiz matematik. Eh, nama awak ada Ajik”. Emilia merangka-rangka persoalan.

Kelihatan kelibat yang agak besar jasadnya dari luar pintu. Disamari cahaya luar, serba putih.

“Okey, nama-nama yang ada dekat depan turun dewan ikut akak. Ni semua yang gigi rosak, gigi lubang, ada hitam-hitam!” Jasad besar bersuara.

Aku termanggu, mental terganggu.

“Mama! Ajik nak balik!”.

*****

Dua hari lalu…

Menghitung masa, mengira gerakan separa-separa jarum jam pada dinding. Debar-debar.

Dengan rasa lemah longlai, aku bangkit menuju ke bilik doktor sejurus angka bertuahku dipanggil.

“Razik, bukak kasut. Duduk atas kerusi”. Doktor Dasril memberi arahan.

Cahaya lampu yang terang menerobos empat mataku.

“Gigi awak bengkak. Ada infection, nanah. Mari saya cuci”.

Dibasahkan kapas dengan larutan antiseptik. Berkali-kali dicucuh, rasa luluh. Aku separa menggeliat.

“Razik, next time you boleh scaling gigi. Buang plak”. Aku mengiyakan, mengangguk sedikit.

*****

Pembantu doktor yang ayu menghulur ubat kumur.

“Adik, kumur 30 saat”.

“Adik? Adik? Hoi, gua lagi tua!” Aku bermonolog.

“Razik you orang mana? Kampung mana?” Doktor Dasril bersuara. Aku tersentak.

Aku berkira-kira, baharu 5 saat aku berkumur.

Tak dijawab rasa biadap. Kalau dijawab, khuatir ubat kumur kutelan.

“Saya asal Bangi”. Ringkas kujawab. Aku menyambung langkah berkumur melangsaikan ubat kumur yang masih berbaki.

“Kampung mak dengan ayah?”

Tersentak buat kali kedua.

“Baru 5 saat gua kumur….” Hati memberontak lemah. 

Aku merenung mata beliau, melihat kedutan pada kulit pipinya.

“Mereka asal Melaka doktor.” Aku membalas.

“Rambut orang Melaka memang macam ini?” Beliau menambah.

Aku diam, tiada daya untuk mengungkai kata-kata kepastian.

“Apa kaitan rambut dengan asal usul Melaka??”

*****

“Ajik, doktor kata apa?” Sapaan sahabatku, yang mendambakan jawapan. Riak mukanya sedikit semangat.

“Doktor kata gigi aku nanah. Infection gigi bongsu. Doktor kata ada plak juga”.

“Wah, plak apa. Plak ala-ala piala ek??”

Aku menjawab perlahan, “Untunglah celah-celah gigi ada medal, ada piala. Plak tu penunggu mulut, stay bertapa dekat celah-celah gigi”.

“Nama lain plak, tahi gigi. Kah kah kah”.

*****

“Sakit itu, sakit ini. Barangkali ujian dari yang Esa, barangkali juga kifarah dosa.”




p/s: Hangpa jangan gelak-gelakkan gua, silap-silap hangpa pun kumpul plak. Kah kah. Apa lagi rajin-rajin buat temujanji dengan doktor gigi. Mana tahu dapat doktor gigi macam Dr Ezani masterchef?

Monday, 28 January 2013

"Adira"


Keheningan pagi itu…

“Dup”

Pemegang pintu kereta ditarik. Enjin kereta dihidupkan.

Dari celahan stering, kelihatan simbol tangki minyak berkelip-kelip.

“Tinggal satu takuk, wajib isi.”

Kaki kanan menekan pedal minyak. Stesen minyak menjadi sasaran.

*****


“Dik, isi minyak 30, pam 7. Lepas tu topup Maxis 10.”

Empat mata merenung tajam pada tanda nama gadis itu. Tidak berkelip.

“Adira, eh Adira.. Awek itu nama dia Adira…”  Barangkali gelarannya.

Ucapan terima kasihnya kusambut mesra.

Melangkah deras ke pam minyak 7. Hati masih berdebar, terukir pelbagai rasa.

“Apakah ini…. Kukus, gril, panggang?? ” Gila.

Enjin dihidupkan semula. Lagu ‘Ombak Rindu’ diputarkan.

Getar rasa diluah melalui nyanyian.

“Moga kita bersua lagi Adira…” Oh, itu jiwang.

*****


Terpapar angka 1016 pada kotak elektronik yang terlekat di siling.

“Itu nombor aku.” Deras bangkit menuju ke kaunter.

Sehelai kertas kuning tertera tulisan ‘Maybank’ kuserah pada juruwang.

Dompet dibuka.

“Eh, mana? Mana? Kenapa tak cukup duit gua???” Hati tertanya-tanya. Terkedu.

Juruwang memandang sinis, sesekali mengangkat-angkat kening.

“Erk, Adira!!! Gua lupa nak ambil baki tadi.”

*****


Menuruni kereta menuju ke kaunter stesen minyak.

Sedikit gelabah, tersurat rasa cemas pada wajah.

Mencari-cari gadis mesra itu, Adira.

“Abang. Tadi abang tak ambil bakikan?” Dia menyapa.

Aku mengangguk tanda setuju.

Tiada sepatah kata keluar dari bibir. Kelu.

Sehelai wang kertas berwarna hijau tua juga merah dihulurkan.

“Sebenarnya saya dah panggil abang tadi. Jerit macam nak gila kejar abang.”

Adira mengeluh lembut. Terukir senyuman di bibirnya.



“Bukan Adira yang gila, tapi abang yang gila...”

*****


Kejujuran Adira membuatkan hati yang gila ini berkocak tidak keruan.

Warkah dari Adira buatku,



























*****

Jujur sesama manusia, tidak pernah sia-sia, malah tidak akan dipersia di dunia yang tidak berusia.


P/s: Gua musykil dengan Adira ni. Dia nak kata dia gila atau nak kata gua yang gila? Kah kah.

Sunday, 13 January 2013

"Dejavu"

Alhamdulillah.
Terima kasih buat kalian yang mendoakan tempoh hari. Beberapa hari lalu….

Rambut sedikit berpintal. Jelas pancar sedikit kesibukan itu.

Tangan kanan leka bermain-main tetikus. Mata hitam bergerak-gerak, dari atas ke bawah.

Sesekali pandangan samar-samar, satu menjadi dua, dua menjadi tiga. Ilusi apakah ini?

Aku bangun. Menyeimbang postur badan. Masih normal, kepala masih diatas kaki dibawah.

*****

“kreek, krikkkk”

Pintu bilik tersingkap. Jantung berdebar.

Tanda pangkah hujung penjuru kanan skrin ditekan.

Laman burung biru, buku biru juga “my words” dipadam. Itu rahsia.

“Pok cu!!!” Gema suara dua anak kecil. Ceria wajah  mereka kulihat.

“Dina sayang pokcu tak??” Memuncungkan sedikit bibir.

“Tak. Ocu masham.” Aku terkedu.

 Dari satu sisi, kumelihat Diha mencangkung.  Riak wajah kelat, muka pucat.

“Diha ‘yak’? “ Mendapatkan kepastian.

“Abish ocu!” Diha tersenyum, lega.

“Bau apa ini?”

 Sudah kujangka.

*****

Mengintai dari celahan pintu kamar. Melihat dua insan kecil bermain.

Indah hidup mereka, belum mengerti suka duka.

Seorang mencangkung, seorang bersimpuh. Leka memadankan bongkah-bongkah kecil aneka warna.

“Dejavu”





















p/s: Gua teringin nak kembali zaman gua kecik-kecik dulu. Sebab gua yakin masa itu gua comel. Hahaha. Okey, itu perasan! Siapa mamat atas ini??

Tuesday, 1 January 2013

010113

Pagi yang dingin. Sejuk beku tempat itu. Itulah makmal tercinta.

Mata terarah pada kalendar kecil 2012 setentang jasadku.

Menguis-nguis kuku yang menampakkan sedikit tanda penuaan.

“Beberapa hari lagi akan kutemu 2013. Jadual semakin padat. Semakin besar cabarannya. Dua tugas satu masa.”

Berpaling arah.

“Apa guna termenung? Jarum panjang dan pendek pada jam tetap berdetik.”

Bingkas bangun, menyarungkan baju putih makmal. Sarung getah berbentuk tangan, cukup lima jari tiada kurangnya dicapai, disarungkan pada kedua-dua tangan. Kemas.

Mengatur langkah, memulakan kerja mengekstrak jaringan DNA sawit. Satu persatu.

Brrpp. Brrpp. Brrrp....

Poket seluar bergegar, ada getar panggilan.

Sarung tangan getah kutanggalkan, panggilan dijawab.

“Assalamualaikum. Saya dari GSO UPM. Ingin maklumkan yang tarikh telah ditetapkan pada….”

Terdiam. Termanggu.

"Beberapa hari lagi. Cepat dan rakus mereka-mereka membaca tesisku. Bakal 'berperang' kata dengan sang pemeriksa"

Mengetip bibir. Lirik senyum sedikit hambar, jantung berdebar.


















Permulaan 2013, bakal melakar sejarah besar dalam perjuangan.

Melunaskan titik-titik cabaran yang terbentuk sedari 2 tahun kelmarin.

Benarlah 2013 itu besar cabarnya.

“Doakan saya kalian. Moga dipermudahkan-Nya.”



“SELAMAT TAHUN BARU 2013.”

P/s: Tahun 2013 ini gua menjadi semakin padat juga sendat. Malah gua semakin ‘muda’. Gua yakin akan ada siulan berbunyi “Bilalah nak rasa nasi minyak?”. Azam gua? Mahu ajar anak buah gua yang umur 2 tahun itu pengamiran dan pembezaan.

Tuesday, 18 December 2012

Buku & aku

Terpana.

Garu kepala.

Kiri, kanan, depan, belakang.

Serigala tidak ditemui,

Hanya naskhah-naskhah buku dijumpai.

“Big bad wolf book sale 2012”.


Luas.

Sana sini manusia.

Juling-juling mata, kembang-kembang hidung tatap buku.

Tangan penuh.

Pegang anak, pegang suami, pegang buku. Khusyuk.

“Eh. Ini bukan anak saya. Silap.”


Terkedu aku.

Lihat jam tangan.

Sudah 180 minit.

Tangan masih kosong.

Hati hiba, bernyanyi irama ‘kosong’.

“Kosong, kosong, kosong.”


Pantas.

Sambar buku sana-sini.

Lihat kulit, lihat tajuk.

Kalau cantik, cun, sambar.

Naskhah buku kenal nombor, aku sambar.

Bukan untuk aku.

Bukan, bukan, bukan.

Untuk Dina, untuk Diha.

Anak-anak buahku.


Tiba di teratak bonda.

Bonda kata, “Banyak buku Ajik. Bila nak baca?”

Aku jawab, “Bila-bila mama.”

Bonda tanya, “Buku mama?”

Aku jawab,“Nak beli buku resepi. Tapi.. Tapi..”

Bonda tanya, “Tapi apa?”

Aku jawab, “Ada resepi pork.”



















*****

Pilih buku bersandarkan ‘rupa’ dan ‘isi’nya.

P/S: Gua memang semangat masa nak borong buku. Macam borong cikedis. Bezanya borong cikedis, gua kunyah telan sampai habis. tapi borong buku simpan dalam almari tunggu anai-anai kunyah telan. Jangan jadi macam gua.:’(

Apapun gua dah khatam buku 1,2,3  yang gua mahu bagi anak buah. :’)

Thursday, 13 December 2012

Ceroboh

Beberapa minggu lepas..

Langit cerah. Melihat dari sisi tingkap kaca.

Jam dinding berwarna merah menunjukkan jam 9.

Membersih-bersih muka, membuang ‘gula’ yang bertaburan di celah-celah mata juga di penjuru bibir. Bersiram mewangikan diri,melunas hajat yang terpendam.

Menuju ke Kuala Lumpur Writer and Reader Festival (KLWRF) bersama teman-teman.

Mematikan keinginan untuk memandu sendiri. Trauma akan kepadatan jalanraya yang mampu membunuh jiwa-jiwa yang riang gembira. Bersepakat menaiki pengangkutan awam, LRT Rapid KL.

“Pergh, berkurun gua tak naik. Excited!”

*****

Meninggalkan kereta temanku di TBS (Terminal Bersepadu Selatan). Mencari-cari arah menuju ke kaunter LRT.

“Beli tiket dekat mesin sajalah. Baru macho.” Tersengih sendirian. Merapati mesin tersebut, sambil ditemani temanku.

“Eh, touch screen. Ketinggalannya gua. “ Bertutur dalam hati. Cuak diketahui temanku.

Meraba-raba skrin mesin. Mencari-cari arah ke stesen Masjid Jamek.

“Mana? Mana?” Sedikit berpeluh. Gelabah, melihat manusia-manusia lain beratur dibelakangku.

Pelbagai reaksi, juga riak muka. Masam, senyum, sedih, juga yang tiada perasaan.

“Kting-kting”

Token plastik biru keluar dari mulut mesin.

“Eh, mana tiket??”

Aku dan temanku berlalu pergi, menuju ke kenderaan panjang itu.


















*****

Sekitar jam 11 pagi, tiba di KLWRF. Lokasi berhampiran Perpustakaan Kuala Lumpur.  

Kelihatan penulis-penulis menyusun buku-buku mereka.

“Seronoknya. Bilalah gua nak ada karya sendiri.” Aku berangan-angan.

Meronda-ronda sekitar pameran. Mencari-mencari buku. Menggila.Satu demi satu buku kucapai.

“Ajik, kira berapa buku kau ambil. Kira berapa duit keluar. Tak pasal-pasal balik naik ‘Rapid’ kaki.” Hati berbisik.

Adakalanya melihat-lihat kalau ada ‘bunga-bunga’ yang boleh djadikan calon isteri. Kebanyakan ‘bunga’ itu bersama ‘kumbang’ hati mereka. Hampa.

Sempat juga melakar pertemuan. Berjumpa beberapa temanku, merangkap penulis muda yang hebat.

Terasa kerdil.

*****

Puas meronda. Aku dan temanku beransur pulang. Menaiki ‘kereta’ panjang itu, menghala ke stesen LRT TBS.

Agak ramai umat manusia. Bertempur sesama sendiri. Mak cik-mak cik, pak cik-pakcik, amoi-amoi, bangla-bangla. Padat.

Membawa token biru itu sebagai pas masuk pagar elektronik. Digenggam erat. Beratur di belakang temanku. Menunggu giliran memasukkan syiling itu.

“Okey, gilaran gua. Yakin boleh!”

Token biru itu dimasukkan ke dalam mulut pagar elektronik. Akan tetapi, pagar itu tidak terbuka.

Melihat temanku yang sudah melepasi pagar durjana itu, melihat manusia-manusia beratur dibelakangku, amoi seksi yang betul-betul rapat dibelakangku.

Aku panik. Tergugat pandangan mata.

Demi mengawal keadaan, aku bertindak berani. Melangkah pagar durjana itu.

Terlepas.

*****

“Encik, kenapa lompat pagar itu? Kami boleh dakwa encik menceroboh kawasan LRT. Kenapa tak maklumkan pada saya di sini tadi?”

Aku terdiam, kaget. Ditahan ditepi pagar durjana itu.

Mendengar tazkirah pengawal keselamatan LRT, dari aksara A sehingga Z.

Melihat mata-mata lain memandangku.

Hati renyuk.


















*****

Dalam apa jua keadaan, kita harus berfikir.

Berfikir secara rasional, tenang dan damai.

Diselaraskan dengan tindakan.

“Bertindak melulu, bisa buat hati pilu”


P/S: Gua amat sedih hari itu. Gua mengambil keputusan untuk memerap dalam rumah seminggu tanpa keluar-keluar. Bukan apa, gua nak naikkan saham gua yang jatuh menjunam sekelip mata itu.

Wednesday, 5 December 2012

Cermin

Lihat-lihat.

Aku, meratap cermin.

Atas bumi nyata.

Hapus dongeng puteri salju.

Siapa lagi macho?

Siapa lagi cun?

Khurafat.


Menghitung bilangan,

Kepala putih,

Kepala hitam.

Tidak pernah sejiwa.

Pergi kau! Pergi.


Membilang tahi lalat.

Sana sini, meriah.

Pinggir bibir, bawah bibir.

Tepi mata, bawah mata.

“Eh, bukan tahi lalat. “

“Tahi mata.”


Membelek-belek lagi.

Jari runcing dalam hidung.

Pusing-pusing. Tarik.

“Apa yang comel dekat jari??”


Meratap dan meratap.

Hitung helaian rambut.

Atas bibir, bawah dagu.

Tebas mana perlu.


Terus merenung.

Dalam dan dalam.




Aku, manusia tipikal.

Acapkali akur pada luarnya.

Kenapa kurang teliti pada 'dalam'nya?


“Apa aku yang lupa akan terus alpa?”


*****


Cermin memantul cahaya tersirat di sebalik jasad tersurat.

Aku perlu 'cermin' diri.





















P/s: Adakala gua suka duduk menung depan cermin. Masa itu gua buat muka pelik-pelik yang gua suka. Muka sedih, muka gembira, muka comel, juga muka muncung-muncung trend adik-adik sekarang bergambar. Haha.

Thursday, 29 November 2012

Lima sekawan

Mendongak ke langit.

Biru, indah, damai.

Memerhati sekawan burung. Terbang bersama.

Minda bermain dengan ceritera lalu.


*****

Lima sekawan.

Bermula kiri Ajik, Oman, Yie, Jamir, Wawan.
















Lima sekawan ke kota Melaka.

Mahu berburu.

Terkandas, silap pada tempatnya.

Hanya melihat-lihat.

Mendengar 'makhluk-makhluk' itu berkata-kata.



















Lima sekawan,

Turut memburu cinta Hang Li Po.

Hampa.

Hanya amoi-amoi seksi yang masih wujud.

Berkeliaran di sebalik naga batu itu.



















*****.

Lima sekawan, bermain-main di tepi pantai.

Merehatkan jiwa, hiruk pikuk kota semalam.

Tenang disapa angin bayu.

Mencari-cari ranting kayu.

Dicoretkan nama pada taburan pasir halus itu.

Umpama baru belajar mengeja dan mengira, satu persatu.



Lima sekawan, riang gembira.

Melompat-lompat memandang awan, hajat menggapai dahan.

Malang tidak di duga, ada yang tergolek juga.

Deraian tawa beserta air mata bergema.

Demonstrasi 'jatuhan' beramai diadakan.

Tanda sokongan.



















*****

Lima sekawan, mengidam dalam gembira.

Mengidam goncangan kelapa Klebang.

Tidak 'take away'.

Bertapa, santap bersama di dalam keramaian itu.

Melunaskan unsur dahaga dalam jiwa.

Dahaga itu dimatikan, walau seketika.



















Lima sekawan, menunaikan tanggungjawab hakiki.

Memohon restu, doa.

Di rumah besar, di atas air ‘Selat’ itu.

Bual bicara bersama, soal jodoh, soal anak, soal potongan jeans.

Sebelum beransur pulang.

Berjuang, menggapai cita-cita.


*****

Lima sekawan, akrab.

Sendu di titik akhir itu.

Persahabatan maya dijelmakan pada dunia realiti. 

Tidak mustahil.

Ukhwah itu indah.


p/s: Gua rindu nak jumpa member-member tadika gua dulu. Cuma gua tak pasti kalau gua jumpa mereka, mereka kenal gua lagi atau tidak. Sebabnya dulu gua comel, sekarang tidak! haha

Sunday, 25 November 2012

Tulisan merah

Tiga hari lalu.

Tenang pagi itu. Dingin.

Seperti kebiasaan, aku mempersiapkan diri. Memohon berkat sebelum ke lubuk rezeki.

Menyusun sasaran, merancang apa yang perlu dicapai pada hari tersebut.

“Aku mesti sampai menyentuh kad itu sebelum jam 8.”

Melihat-lihat jam tangan. Jarum pendek menghala arah tujuh, jarum panjang ke arah empat.

Tangan ibu, juga ayah kugenggam erat. Dikucup, mohon restu dan doa.

Kenderaan putih kecilku dihidupkan. Hembusan angin penghawa dingin menyapa jasadku.

Memulakan perjalanan, dengan ungkapan suci.

*****

Menanti lampu merah itu bertukar hijau. Agak lama.

“Demi cinta dalam hatiku…” Lagu ‘Muara hati’ itu kualunkan.

Meniru suara penyanyi asal. Penuh perasaan, disusuli mimik muka dramatis. Menarik-narik suara.

Sesekali gadis bertudung merah, bersebelahan keretaku menjeling-jeling. Barangkali dia asyik. Asyik melihat kesungguhan yang kupamerkan.

Lampu bertukar hijau, aku meneruskan perjalanan. Ligat memandu, semangat di pagi hari yang masih segar bugar.

Sambil-sambil memerhati gelagat pemandu di pagi hari.

Macam-macam, yang menghembus asap rokok dicelahan tingkap, yang mententeramkan tangisan anak kecil, cakap berseorangan juga ada.

Paling ngeri yang menghunus jari telunjuk ke dalam lubang hidung.

*****

“Dah dekat sampai.” Aku bermonolog. Laluan jalan sedikit sesak tika itu.

Aku memandu di lorong paling kanan.

Merasakan sesuatu yang ganjil, secara tiba-tiba. Sesuatu yang tidak enak juga tidak kena. Bermain di celahan ruang perut. Bagai dilanda badai. Sudah.

Jiwa meronta.

Sapaan penghawa dingin kereta kuhentikan. Sesekali aroma kereta berubah-ubah pola bauan. Peluh keringatku menitis. Lantas membuka tingkap sisi. Kecemasan.

Stesen minyak di sebelah kiri jalan bagai melambai mesra. Membuahkan harapan.

Sedikit terkinja di kerusi pemandu. Terasa sudah tidak sempat.

Signal kiri diberi, melihat-lihat cermin sisi kiri, berusaha menukar lorong paling kiri.

Berperang dengan manusia yang tidak bertolak ansur. Tiba di stesen minyak, berlari-lari anak.

Hembus nafas lega.

*****

“Pucat muka Razik. Kenapa?” Abang Razali menyapa.

“Sakit  perut sikit.” Aku membalas.

“Kau datang bulan?” Abang Razali tersengih, bagai senyum kambing. Sinis.

Aku diam, cuba-cuba mengukir senyuman.

Mendekati mesin kecil yang terlekat pada dinding putih itu, memasukkan sekeping kad kuning.

Tercatat tulisan merah pada sisi kiri kad kuning itu, “8.15”.

*****

Manusia itu hanya bijak merancang. Namun, perancangan mereka belum tentu bijak.

Yang berusaha adalah manusia, yang menentukan adalah Dia.






















P/s: Gua sejak dua menjak ni asyik sakit perut pagi-pagi. Gua pun tak tahu apa masalah. Yang penting, gua kena buang ‘Hajat’ itu pagi-pagi sebelum keluar menyara hidup. Sebab gua belum dapat kad staf yang rasmi, maka gua kena punch card cara tradisional ini.

Wednesday, 21 November 2012

Bongkah kecil

Melihat anak kecil itu berusaha. Berusaha mencantumkan bongkah-bongkah kecil beraneka warna.

Sesekali melihat tangisan anak kecil itu. Tidak berjaya memadankan bongkah-bongkah kecil itu. Aku pergi ke arahnya, memadankan bongkah-bongkah kecil. Aku ‘kembali’ ke dunia itu.

*****

Ceritera pada salah satu hari, tahun 1995, di satu malam. Aku, 7 tahun.

“Ajik, janji dengan mama. Jangan minta mainan lagi.” Ibu mengingatkan.

Aku mengangguk. Tidak mengiyakan. Serik untuk berjanji.

Tangan kanan  di pegang ayah, tangan kiri di pegang ibu. Menuju pintu masuk gedung itu.

Mengikut ibu dan ayah mencari keperluan harian. Riang, ditolak si ayah bersama barang keperluan di atas besi beroda. Megah, bila anak kecil lain memandang jasadku.

Di satu tempat lain, aku perlu menundukkan kepala. Ibu kata, anak sekecil aku tidak boleh melihat itu. Hilang ingatan. Aku jeling-jeling tengok.

“Kenapa baju itu kecik mama? Kenapa? Seluar kecik tu Ajik pun ada.” Soalan dewasa. Ibu tersengih, ayah menyengih.

Di satu tempat lain, ibu sedang khusyuk. Ayah menemani. Membelek-belek bulatan kaca. Pinggan, cawan. Agak lama.

“Mama, boleh tak Ajik pergi situ?” Soalku sambil jari dituding. Hanya beberapa langkah tempat itu. Ibu mengangguk. Dipesannya “Jangan pergi jauh sangat.”

*****

Mataku melihat-lihat tempat itu. Penuh warna warni.

Melihat patung Barbie yang seksi sana sini. Sedikit jengkel. Aku tidak lari dari norma seorang lelaki.

Melihat kereta-kereta kecil bergerak-gerak, keinginan memuncak. Cuma, sudah kerap. Jika dihimpunkan, satu perlumbaan kereta kecil boleh dilaksanakan. Keinginan itu dimatikan.

Melihat satu bekas biru berisi bongkah kecil aneka warna, aku terpana. Aku mengeja-eja tulisan yang tertera pada kotak itu, L, E, G, O. Dengan kewujudan bongkah-bongkah kecil itu, aku boleh membina kereta, rumah dan sebagainya.

Bekas biru dibawa bersama menemui ibu dan ayah.

“Mama, abah. Boleh tak belanja Ajik ini? Nanti boleh buat rumah, kereta. Lepas ini, tak payah susah-susah beli mainan lagi.” Aku menyatakan keinginan. Berjustifikasi.

Ibu dan ayah saling memandang. Melihat kesungguhan aku, maka mereka mengiyakan. Bertiga menuju ke kaunter.

“Maaf, kaunter dah  tutup encik. Dah pukul 10 lebih.” Jelas abang baju putih.

Ungkapan itu buat aku terkedu. Bagai dirasuk, aku mencampak-campakkan badan. Menjerit-jerit, perit. Berguling-guling di lantai. Kesedihan di atas paras normal. 

Ditenangkan ibu, ayah. Tidur dengan mata yang membengkak.

*****

Terbukanya mata bengkakku keesokan hari, penghujung minggu. Aku menuju ke arah ibu.

“Mama, Ajik nak susu.”

“Amboi, tengahari bangun. Okey, dalam cawan. Bukan dalam botol.” Ibu membalas. Aku mencebik.

Diletakkan botol susu kecil itu diatas meja tamu.

Kelihatan bersebelahan botol itu, bekas biru berisi bongkah kecil aneka warna.

Alangkah baik, andai tika itu aku mengerti “kasih-sayang” dan “susah-payah” ibu ayah.

*****

Barangkali bongkah-bongkah kecil berwarna itu boleh dihadap hingga hujung hayat.

Ibu dan ayah? Aku tidak tahu, kita tidak tahu.
















P/S: Gua ni sampai sekarang suka main Lego. Selalunya gua teman Dina, anak buah gua yang baru 2 tahun itu. Gua berharap Dina menjadi seorang arkitek yang berwibawa satu hari nanti. Lagi satu cita-cita gua nak jelajah Legoland. Ada siapa-siapa mahu belanja?

Sunday, 18 November 2012

Jasad kecil

Satu malam, gelap gelita.

Krisis mata, lampu dipadam. Kerja bertaburan, hati bermalasan.

Hanya tiga puluh minit, lampu siling nyala kembali.

Bola mataku tertancap pada  jasad-jasad kecil bernyawa.

Barisan jasad kecil berkawad. Kemas. Menuju ke gelas hitam.

“Mahu kongsi hot chocolate? Mai secawan”

Monolog hati, terus memerhati.

Membilang seekor demi seekor.

 Tidak kenal jantan betina. Comel, terkedek-kedek.

Dukacita, terbantut hasrat murni, mereka yang ramai.

Seramai rombongan meminang. Tercari-cari. Manakah permaisuri? Manakah raja?

Datang mereka dari dua arah.

Timur dan barat, berbekal tenaga enam kerat.

Bertemu di satu titik, celahan gelas hitam.

Sesekali bertemu sesama sendiri, bersentuh. Sapa menyapa.

Bersalam? Laga pipi? Bercumbu? Aku tidak tahu itu. Erat.

Terus mendaki, bersama. Kesatuan menuju ke satu lembah. Lembah coklat.

Gigih mereka.  Berenang-renang di permukaan.  Berkuak lentang, berkuak dada.

“Gigih kau semut. Teruja akan usaha dan kesatuan kau. Meng’hadiah’kan sesuatu.” Aku berbisik.

Menjeling-jeling bekas merah aerosol, kelas IV di penjuru meja.

Tidak perlu.

*****

Semut.

Mereka yang  gigih.

Yang akur pada persahabatan, yang bersatu menuju yang ‘satu’

Alangkah indah bila manusia begitu.

Jasad kecil, jiwa besar.

Beza signifikannya, hanya semut tidak ber’otak’.












P/S: “Enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas..”

Mainan tika gua pra sekolah. Cubit atas tangan,cubit. Tangan bawah tangan gua bernasib ‘baik’. Berbirat. Tika itu, gua nyanyi ‘enjit-enjit semut’ macam hantu kak limah.