Sunday, 25 November 2012

Tulisan merah

Tiga hari lalu.

Tenang pagi itu. Dingin.

Seperti kebiasaan, aku mempersiapkan diri. Memohon berkat sebelum ke lubuk rezeki.

Menyusun sasaran, merancang apa yang perlu dicapai pada hari tersebut.

“Aku mesti sampai menyentuh kad itu sebelum jam 8.”

Melihat-lihat jam tangan. Jarum pendek menghala arah tujuh, jarum panjang ke arah empat.

Tangan ibu, juga ayah kugenggam erat. Dikucup, mohon restu dan doa.

Kenderaan putih kecilku dihidupkan. Hembusan angin penghawa dingin menyapa jasadku.

Memulakan perjalanan, dengan ungkapan suci.

*****

Menanti lampu merah itu bertukar hijau. Agak lama.

“Demi cinta dalam hatiku…” Lagu ‘Muara hati’ itu kualunkan.

Meniru suara penyanyi asal. Penuh perasaan, disusuli mimik muka dramatis. Menarik-narik suara.

Sesekali gadis bertudung merah, bersebelahan keretaku menjeling-jeling. Barangkali dia asyik. Asyik melihat kesungguhan yang kupamerkan.

Lampu bertukar hijau, aku meneruskan perjalanan. Ligat memandu, semangat di pagi hari yang masih segar bugar.

Sambil-sambil memerhati gelagat pemandu di pagi hari.

Macam-macam, yang menghembus asap rokok dicelahan tingkap, yang mententeramkan tangisan anak kecil, cakap berseorangan juga ada.

Paling ngeri yang menghunus jari telunjuk ke dalam lubang hidung.

*****

“Dah dekat sampai.” Aku bermonolog. Laluan jalan sedikit sesak tika itu.

Aku memandu di lorong paling kanan.

Merasakan sesuatu yang ganjil, secara tiba-tiba. Sesuatu yang tidak enak juga tidak kena. Bermain di celahan ruang perut. Bagai dilanda badai. Sudah.

Jiwa meronta.

Sapaan penghawa dingin kereta kuhentikan. Sesekali aroma kereta berubah-ubah pola bauan. Peluh keringatku menitis. Lantas membuka tingkap sisi. Kecemasan.

Stesen minyak di sebelah kiri jalan bagai melambai mesra. Membuahkan harapan.

Sedikit terkinja di kerusi pemandu. Terasa sudah tidak sempat.

Signal kiri diberi, melihat-lihat cermin sisi kiri, berusaha menukar lorong paling kiri.

Berperang dengan manusia yang tidak bertolak ansur. Tiba di stesen minyak, berlari-lari anak.

Hembus nafas lega.

*****

“Pucat muka Razik. Kenapa?” Abang Razali menyapa.

“Sakit  perut sikit.” Aku membalas.

“Kau datang bulan?” Abang Razali tersengih, bagai senyum kambing. Sinis.

Aku diam, cuba-cuba mengukir senyuman.

Mendekati mesin kecil yang terlekat pada dinding putih itu, memasukkan sekeping kad kuning.

Tercatat tulisan merah pada sisi kiri kad kuning itu, “8.15”.

*****

Manusia itu hanya bijak merancang. Namun, perancangan mereka belum tentu bijak.

Yang berusaha adalah manusia, yang menentukan adalah Dia.






















P/s: Gua sejak dua menjak ni asyik sakit perut pagi-pagi. Gua pun tak tahu apa masalah. Yang penting, gua kena buang ‘Hajat’ itu pagi-pagi sebelum keluar menyara hidup. Sebab gua belum dapat kad staf yang rasmi, maka gua kena punch card cara tradisional ini.

Wednesday, 21 November 2012

Bongkah kecil

Melihat anak kecil itu berusaha. Berusaha mencantumkan bongkah-bongkah kecil beraneka warna.

Sesekali melihat tangisan anak kecil itu. Tidak berjaya memadankan bongkah-bongkah kecil itu. Aku pergi ke arahnya, memadankan bongkah-bongkah kecil. Aku ‘kembali’ ke dunia itu.

*****

Ceritera pada salah satu hari, tahun 1995, di satu malam. Aku, 7 tahun.

“Ajik, janji dengan mama. Jangan minta mainan lagi.” Ibu mengingatkan.

Aku mengangguk. Tidak mengiyakan. Serik untuk berjanji.

Tangan kanan  di pegang ayah, tangan kiri di pegang ibu. Menuju pintu masuk gedung itu.

Mengikut ibu dan ayah mencari keperluan harian. Riang, ditolak si ayah bersama barang keperluan di atas besi beroda. Megah, bila anak kecil lain memandang jasadku.

Di satu tempat lain, aku perlu menundukkan kepala. Ibu kata, anak sekecil aku tidak boleh melihat itu. Hilang ingatan. Aku jeling-jeling tengok.

“Kenapa baju itu kecik mama? Kenapa? Seluar kecik tu Ajik pun ada.” Soalan dewasa. Ibu tersengih, ayah menyengih.

Di satu tempat lain, ibu sedang khusyuk. Ayah menemani. Membelek-belek bulatan kaca. Pinggan, cawan. Agak lama.

“Mama, boleh tak Ajik pergi situ?” Soalku sambil jari dituding. Hanya beberapa langkah tempat itu. Ibu mengangguk. Dipesannya “Jangan pergi jauh sangat.”

*****

Mataku melihat-lihat tempat itu. Penuh warna warni.

Melihat patung Barbie yang seksi sana sini. Sedikit jengkel. Aku tidak lari dari norma seorang lelaki.

Melihat kereta-kereta kecil bergerak-gerak, keinginan memuncak. Cuma, sudah kerap. Jika dihimpunkan, satu perlumbaan kereta kecil boleh dilaksanakan. Keinginan itu dimatikan.

Melihat satu bekas biru berisi bongkah kecil aneka warna, aku terpana. Aku mengeja-eja tulisan yang tertera pada kotak itu, L, E, G, O. Dengan kewujudan bongkah-bongkah kecil itu, aku boleh membina kereta, rumah dan sebagainya.

Bekas biru dibawa bersama menemui ibu dan ayah.

“Mama, abah. Boleh tak belanja Ajik ini? Nanti boleh buat rumah, kereta. Lepas ini, tak payah susah-susah beli mainan lagi.” Aku menyatakan keinginan. Berjustifikasi.

Ibu dan ayah saling memandang. Melihat kesungguhan aku, maka mereka mengiyakan. Bertiga menuju ke kaunter.

“Maaf, kaunter dah  tutup encik. Dah pukul 10 lebih.” Jelas abang baju putih.

Ungkapan itu buat aku terkedu. Bagai dirasuk, aku mencampak-campakkan badan. Menjerit-jerit, perit. Berguling-guling di lantai. Kesedihan di atas paras normal. 

Ditenangkan ibu, ayah. Tidur dengan mata yang membengkak.

*****

Terbukanya mata bengkakku keesokan hari, penghujung minggu. Aku menuju ke arah ibu.

“Mama, Ajik nak susu.”

“Amboi, tengahari bangun. Okey, dalam cawan. Bukan dalam botol.” Ibu membalas. Aku mencebik.

Diletakkan botol susu kecil itu diatas meja tamu.

Kelihatan bersebelahan botol itu, bekas biru berisi bongkah kecil aneka warna.

Alangkah baik, andai tika itu aku mengerti “kasih-sayang” dan “susah-payah” ibu ayah.

*****

Barangkali bongkah-bongkah kecil berwarna itu boleh dihadap hingga hujung hayat.

Ibu dan ayah? Aku tidak tahu, kita tidak tahu.
















P/S: Gua ni sampai sekarang suka main Lego. Selalunya gua teman Dina, anak buah gua yang baru 2 tahun itu. Gua berharap Dina menjadi seorang arkitek yang berwibawa satu hari nanti. Lagi satu cita-cita gua nak jelajah Legoland. Ada siapa-siapa mahu belanja?