Sunday, 11 November 2012

Terjemah

Padat.

Itulah kata yang bisa diungkap tika ini. Lambakan tugas.

‘Kromosom’, ‘gen’, ‘DNA’, ‘saiz nuklear genom’ dan beberapan lagi. Gabungan aksara yang acapkali bermain di celahan serebrum.

Lupa. Gabungan enam aksara yakni ‘kahwin’ menerajui permainan itu.

“Ajik, boleh tak kau jangan mengeluh?” Aku bermonolog. Meniru dialog kaunselor tersohor.

Langkah diatur, satu persatu. Komputer riba dihidupkan. Comel, potretku terpampang di cerminan komputer riba. Oh, perasan.

Aroma wangian ‘glade’ menyemarakkan suasana romantis di bilik usangku. Berlatarkan lagu “sudah cukup sudah” dendangan Nirwana Band. Karat, oh karat.

*****

Jari jemariku mula ligat menari di atas papan kekunci komputer riba. Otak diperah.

“Ocu!” Suara Diha, anak buahku, berusia 27 bulan.

“Ya Diha. Nak apa sayang? Ocu nak buat kerja.” Tanyaku pada Diha.

“Ocu, ya uci uci na mo to yok cuuu..” Diha menjawab.

“Oh, adik nak susu ya? Nanti Ocu buat.” Aku menduga.

“Ocu. Ya yik ya ya ocu mo cu.” Diha menjawab. Muncung mulutnya.

“Adik nak susukan? Susu tin Ocu boleh buatkan. Susu yang lagi satu, Ocu tak mampu buat. Kena tunggu mama.” Aku membalas. Loyar buruk.

“Ocu, ya yik yut yak!” Diha separa merengek. Terus memalingkan badannya. Kelihatan calitan coklat keperangan di belakang seluarnya. Oh, itu sememangnya bukan sisa Cadbury.

Wangian ‘glade’ berubah aroma. Serta merta.

Lagu “sudah cukup sudah” kutujukan buat Diha.

Diha kudukung, kami berlalu pergi.















*****

Luahan kata itu tidak mudah diterjemah.

Barangkali di bibir itu ceritanya suka, di hati pula ceritanya duka. Antara tersurat dan tersirat.

Usah ‘mudah’ untuk ‘menterjemah’.

p/s: Hari ini gua menjaga Diha sepenuh hati. Seronok Diha panjat-panjat belakang gua, tarik rambut gua sedang gua leka memerah otak. Tak dapat bayangkan bila gua sudah mempunyai anak.

Thursday, 8 November 2012

Pesan abang


“10 minit lagi sebelum menginjak jam 10”. Aku bermonolog.

Melihat jendela luar. Bintang-bintang bertaburan. Indah, subhanallah.

“Cikgu, dah pukul 10. Mama dah nak datang”. Aiman, mula bersuara mencelah angan-angan indahku. Tersentak. Mulutnya muncung. Mahu sahaja muncung itu ditarik.

“Mama Aiman nak datang, bukan mama cikgu”. Aku membalas.

Aiman, berusia 8 tahun. Kanak-kanak yang ceria. Ceria yang kadangkala menusuk jiwa. Ditakdirkan aku mengajarnya tuisyen subjek Bahasa Melayu darjah 2.

*****

“Cikgu dah ada aweks?’’ Aiman bertanya. Nampak? Soalan menusuk jiwa.

“Diam, buat latihan”. Tenang aku menjawab. Budak kecil, biasalah.

“Sebab sibuk nak tahu jodoh cikgu, buat latihan penjodoh bilangan. Muka surat 34”. Aku menambah. Buku latihan Bahasa Melayu itu diselak helai demi helai.

“Dah siap cikgu!”. Aiman bangga. 5 minit sahaja. Diserahkan buku itu padaku.

Empat mataku merenung jawapan soalan yang pertama.

Soalannya: Aina menghulurkan ________ parang pada ibunya.
Jawapan  Haziq: Aina menghulurkan sejambak parang pada ibunya.

Aku kelu. Menahan air mata, biar bertakung dikelopak mata. Berlagak tenang.

*****

“Assalamualaikum”. Terpacak ibu Aiman di hadapan pintu. Saat yang tepat. Jelas terpancar wajah riang Aiman.

“Waalaikumussalam kak”. Salamnya kujawab.

“Terima kasih dik. Lately, cikgu Bahasa Melayu puji karangan Aiman. Depa kata karangan Aiman dah macam cerpen”.

Ibu Aiman bercerita, Aiman bangga. Aku membisu, tanda terkedu. 5 minit kemudian, mereka beredar.

Biasalah anak kecil, aku juga begitu tika di usia itu.  

“Jumpa lagi minggu depan Aiman. Siap, siap, siap.” Monolog hati.

Aku kembali kepada agendaku, menghadap komputer riba. Pemain MP3 dihidupkan, lagu “Pesan abang” nyanyian allahyarham Sudirman dimainkan.


Adikku muda remaja
Awasi bila melangkah
Wajahmu manis bak bunga
Pasti ramai yang tergoda

Tidak dilarang kau bersuka
Asal tahu kan batasnya
Jangan sampai adik terlupa
Harapan dan cita-cita


Ibu dan ayah
Menaruh harapan
Agar kau berjaya
Di hari kemudian


Selamat maju jaya buat adik-adik kelas tuisyenku untuk subjek biologi SPM. Sesungguhnya abang berhutang 4 kelas lagi dengan kalian yang akan dilunaskan minggu hadapan.


*****

Pembelajaran itu bukan setakat SPM, segenggam ijazah sarjana mahupun doktor falsafah. Pembelajaran adalah sepanjang kehidupan. Terharu melihat seorang nenek menduduki SPM di usia 50-an. Moga aku dikurniakan semangat sekuatnya.

p/s: Gua tak sabar nak belajar macam mana nak jadi bakal suami yang kacak dan berkaliber. Yang paling gua tak sabar nak belajar subjek rumah tangga. Terkedepan cita-cita gua.