Wednesday 2 May 2012

Terkunci


Sejuk”. Hati kecilku berbisik.

Jarum pendek jam dinding menunjukkan angka 5, manakala yang panjang menunjukkan jam 12. Hajat hati mahu beransur pulang, apakan daya kerja menimbun. Belum jadi papa budak, dah sibuk. 

Dua bebola mata bercumbuan mesra bersama lensa mikroskop. Pancaran cahaya meneroka masuk ke iris mata, bergerak-gerak anak mata ini mencari-cari serakan kromosom metafasa sawit. Sedikit sukar. Saiznya kurang dari 10 mikron.

Teruskan mencari, sambil menyanyi riang lagu kak Melah “Sesaat kau datang” tanpa featuring.

“Sungguh kejamnya dirimu.. kau khianati cinta…. lalala…”

“Mana awak kromosom?? Kita rindu awak, awak tak rindu kita?? Mikroskop tolonglah kita carikan kromosom. Please, please…”. Pujuk rayu hati pada mikroskop. Mikroskop terus kaku. Aku menggila.




Ini bukan kromosom sawit, tapi kromosom manusia


*********
Lima minit kemudian, tanpa diduga lampu mikroskop terpadam. Lampu kalimantang turut terpadam. Black out! Ini dugaan, ini cabaran.

“Dum, krek-krek”. Bunyi pintu dikunci. Apakah?? Apakah aku dikunci atau terkunci sendirinya didalam makmal eskimo ini??? Berlari-lari anak ke pintu makmal yang berwarna merah jambu dengan mulut yang sedikit muncung.

“Tahniah awak, awak terkunci dan dikunci”. Monolog hati. Aliran darah mengalir deras, hati sedikit kebas diselitkan dengan sedikit rasa duka, sedih dan kecewa. Gelora, oh gelora.

“Kak, kenapa akak kunci saya. Apa salah saya?? Punyalah besar saya duduk sebelah akak sambil-sambil menghendap akak melayari facebook. Sampai hati akak. Saya tak sekecil kromosom kak”. Bermonolog lagi, akan tetapi kali ini menghadap peti ais yang bersandar rapat pada dinding.

Sunyi. Suiz lampu makmal dihidupkan semula. Sunyi-sunyi ini bisa buat otak mengimbas kembali watak-watak dalam drama dan filem seperti Nek Nak, Congkak dan Jangan pandang belakang. Hantu botol kicap??? Itu tidak. Inilah pengaruh media, mudarat bila mana banyak cerita hantu dimainkan.

Telefon bimbit dicapai, beserta hajat menghubungi pihak ‘berwajib’. Didail 10 angka secara berturutan, bermula dengan 3 angka awal yakni 012.

“Hello, assalamualaikum kak. Akak buat apa?? Nak beritahu akak, saya terkunci dalam makmal.Kunci saya pula dalam kereta. Tak tahu siapa kunci saya”. Sedikit kepuraan, silakan terasa cik akak.

“Waalakumussalam. Hahaha. Mintak maaf dik. Akak tak perasan. Lagi 10 minit akak sampai”. Balasnya disertai sedikit deraian tawa riang.

Cik akak ini masih mampu bergelak ketawa, sedang aku tengah ‘seronok’ dikunci. Tidak mengapa, ungkapan maafnya membuatkan hati sedikit suam. Aku yakin cik akak tidak sengaja.

“Apa mahu buat? Kerja dah siap.


Bukan aku. Tapi kami berkongsi situasi yang sama. 


*********

Sunyi. Beginilah rasanya, bila mana terkurung.

Mungkin sedikit sama rasanya bila di sangkar penjara. Bezanya  aku terkurung dalam jangka masa yang terhad dan tidak diberi makanan percuma. Tidak diberi makanan percuma sangat ‘demand’.  Dikurung hanya beberapa ketika, sudah mula mintak makan dan minum.

Namun, aku masih gembira, kerana kesunyian ini memberi ruang untuk kita berfikir dan bermuhasabah.

Mungkin tika ini, boleh memikirkan kesalahan terhadap insan sekelliling. Bermula dengan ibu bapa kita. Berapa kerap kita berlawan cakap dengan mereka, berapa kerap kita memarahi mereka dan berapa kerap kita menjatuhkan air mata mereka. Bandingkan kekerapan-kekerapan  itu dengan bakti kita pada mereka.  

Begitu juga pada keluarga dan sahabat handai. Rasa bertuah bercambah bila mempunyai sahabat yang sering mengambil berat, baik dari alam nyata mahupun maya, teman blog dan twitter. 

Sayang abah, mama.


Paling penting, mengakui dan menyedari kesilapan kita pada Dia, pencipta alam. Sebagai manusia biasa, sudah pasti tidak akan lepas daripada kelalaian. Kelalaian dan kesibukan arus dunia semata bakal membuahkan kealpaan pada-Nya.Bermohon pada-Nya, berserah pada-Nya.

Banyak sungguh alpaku… Moga kita semua berusaha menjadi yang lebih baik. Walaupun sedikit, sudah pasti ia memberi makna ..




********

“Krek, krek, duk..” Bunyi pintu dibuka. Mataku bersinar.

“Maaf dik, akak lambat sikit” Cik akak makmal memulakan bicara. Wajahnya sedikit risau. Manakan tidak janji manis 10 minit untuk tiba bertukar 60 minit. Sedikit pahit.

“Terima kasih kak. Tak apa. Saya okey. Semua orang mana pernah perfect. Mungkin esok lusa saya pula yang kunci akak..”.

Aku berlalu pergi.

P/S: Seronok juga gua rasa bila terkunci. Teringin pula gua pula nak try kunci atau buat-buat mereka terkunci. (^_^)

Apa-apa pun gua menyusun 10 jari minta maaf kerana sudah lama blog gua bersawang. Kesibukan gua dalam hal duniawi salah satu faktornya. Moga bertemu lagi teman.