Saturday 31 December 2011

Putus Cinta

Empat mata pegun pada kotak kaca. Saksi buat ceritera cinta. Hatiku jiwang, bertambah karat.

Diperhatikan, kayu ukur cinta kini lebih bersandar pada luaran. Rupa persis Aaron, terima tanpa ragu. Rupa persis Abon, tolak tanpa ragu. Lumrah manusia, cinta pada kecantikan, kesempurnaan. Aku tidak berkecuali.

Dulu, mama aku suka letak manik bentuk 'love' atas kuih raya. Cantik katanya.

Kepala, otak berat, jiwa melarat. Tambah larat, pabila ceritera jiwang berkarat menagih tangisan. Alkisah, tali cinta pasangan kekasih putus, separuh jalan bagai kentut tak habis. Si dara merana, bila mana kekasih hati bersikap durjana. Mahkota si dara tergadai, tidak bisa ditebus walau di kedai emas Poh Kong, mahupun Habib Jewel.

 Cinta yang dikoyak guna gunting.Sakit?

Pernah rasa cinta terputus?

Apa rasanya putus cinta persis berkhatan dilewat usia 40 tahun tanpa bius? Sudah tentu sakit, pahit, perit, tidak pernah manis. Sakit yang bisa buat pesakit menonggeng dan tertonggeng meraung, menangis.  Yakin sakit putus itu mampu menandingi sakit perut memulas mahu tercirit di dalam tempat duduk kereta.

Bosan akan tindak-tanduk mereng si pesakit putus cinta di layar ceritera. Rajuk sana, rajuk sini. Pujuk sana,pujuk sini. Gedik.

Habit membaling cawan kaca tatkala hati pecah. Bila hati sejuk,suruh bibik sapu, tidak sapu sendiri. Kritikal bila mana mahu ‘cabut’ nyawa sendiri. Berkilo ubat tidur, ubat gegat ditelan. Tidak kurang yang menghunus pisau kontot potong ikan didada yang berbulu lebat, konon Hang Jebat. Tidak lupa yang mahu pusing dunia menggantung kepala di bilah kipas. Hebat, akal di celah lubang punggung.

Pisau tajam. Tembus dada, terus tiada.

Cinta sesama makhluk, sekadar cinta duniawi, tak ubah persis drama bersiri Tentang Dhia, mahupun filem Ombak Rindu. Putus tak mengapa, boleh tumbuh semula macam gigi adik-adik tadika. Kumbang bukan seekor, bunga bukan sekuntum. Tidak perlu seksa diri, bunuh diri. Putus cinta sahaja, tidak perlu putus nyawa. Usaha dan doa pada-Nya. Mungkin jodoh kita dengan insan yang jauh lebih baik.

Biar putus cinta sesama manusia tapi jangan terputus cinta pada-Nya. Cinta pada-Nya merujuk cinta pada pencipta, cinta selamanya, yakni cinta hakiki yang tidak berganti.

Kredit: iluvislam

Pesanan buat aku yang berkali meroyan putus cinta, juga mudah lupa serta teman-teman blog.

p/s: Gua dah lali putus cinta. Putus cinta itu umpama pelali dalam diri gua.Boleh kata gua dah imun. Bila putus cinta, gua akan layan lagu Alif Satar 'Lelaki Seperti Aku' 44 kali untuk sesi motivasi diri. (^_^)

Tuesday 27 December 2011

Signal kiri? Signal kanan?

Bintang-bintang bertaburan di langit gelap. Menemani pemanduanku di malam sepi. Tiada kedengaran cengkerik memekik dan memekak. Sedia maklum di dalam kereta. Sunyi.

Mahu pulang ke teratak bonda, bergerak dari PICC, Putrajaya. Alhamdulillah, sudah selesai seminar Twins of faith selama dua hari.

Butang ON radio ditekan dengan ibu jari tangan. Berkumandang lagu ‘Pulangkan’ nyanyian Misha Omar dicorong speaker kereta. Kecut perut.

“Ya, aku tahu aku mahu pulang rumah.” Monolog hati.

Mindaku sedikit senget. Mengimbas kembali kronologi penceritaan filem ‘Jangan pandang belakang’.

Minda tertumpu pada watak hantu Mak Mah yang hobinya meniarap diatas bumbung kereta,tak pun dibawah kereta ala-ala James Bond. Tak lupa gaya rambutnya persis model iklan Sunsilk yang mengerbang tak tentu hala.

Apakah ada ‘sesuatu’ diatas bumbung keretaku, mahupun bawah kereta? Atau lebih keji di dalam bonet kereta? Gila.

Pedal minyak ditekan terus menerus tidak berhenti. Siaran radio secara automatik bertukar ke IKIM fm.

Ini bukan hantu pandang belakang, sebab tak ada rambut. Hantu macam ini comel.

**********

Lampu trafik menunjukkan isyarat merah. Pelik, baru 30 saat hijau bertukar merah. Aku bukan The Flash mahupun Superman.

Kelihatan sebuah kereta model Suzuki Swift berwarna biru nila turut berhenti disebelah kereta kodokku.  Sambil-sambil melayan kesedihan mendengar lagu tema Ombak Rindu, mataku melilau ke kereta sebelah. Gatal.

Gadis misteri berkereta Suzuki Swift.

Siapakah pemandunya? Secara kasarnya kelihatan seperti wanita. Namun, zaman sekarang sukar nak ditentukan. Mungkin itu pondan. Pondan sekarang 99% sama dengan perempuan. Mana lagi 1%? Jawab sendiri.

Naluri lelakiku kuat menyatakan bahawa pemandu misteri itu seorang wanita tulen. Raut wajahnya tak tumpah persis Maya Karin pakai tudung. Senang cerita, lagak gayanya persis watak Izah dalam filem Ombak Rindu. Misteri.

Namun, terdapat satu misteri yang masih tidak terungkai mengenai wanita misteri itu. Apa dia?? Wanita itu mengenakan cermin mata gelap diwaktu malam yang malap. Motif?

Buta? Tak mungkin boleh lepas ujian lesen memandu.

Fikir positif.  Barangkali fesyen sekarang, cermin mata hitam diwaktu langit menghitam. Mungkin juga gadis itu terkena jangkitan kuman pada matanya, siapa tahu.

Pon!!!

Baik, lampu sudah hijau. Maaf pemandu belakang. Melalui cermin pandang belakang, kelihatan pemandu belakang terkumat-kamit menjampi serapah ke arahku.

Pengajaran, jangan usha awek masa berhenti  di lampu trafik.

Cermin mata hitam, fesyen atau keperluan dimalam hari?
 Anak saudaraku Dina juga berkaca mata hitam.


**********

Aku tiba di lampu trafik seterusnya.

Pon!!!....”

“Siapa lagi yang hon??!” Suara kecilku melantun keluar menjadi besar.

Baik, itu iklan radio. Sedikit malu pada diri sendiri, nasib baik memandu seorang diri.

Tiba di satu persimpangan, simpang empat hala. Dalam dilema, macam lagu Nora ‘Di persimpangan Dilema’. Walau beratus kali melalui simpang ini untuk pulang ke teratak bonda di Bangi, aku masih keliru sama ada kiri atau kanan. Depan sudah tentu tidak.

Tik tek tik tek…”. Signal diberi, sekejap kiri, sekejap kanan. Nasib bukan signal kecemasan, kiri dan kanan serentak.

Lampu trafik memberi isyarat hijau.

Kiri atau kanan??? Kanan atau kiri??? Mana? Sukar membuat pilihan.

Fobia di hon sekali lagi, secara tak menyempat aku memilih laluan kanan,spontan. Zaman ini, hon adalah satu kebiasaan terutama bila lihat kereta kodok dihadapan berpelekat P bergerak macam siput.

Tahniah, aku tiba di Cyberjaya. Bukan di Bangi.

Simpang atas ni lagi pelik. Kiri kanan tak boleh. Ke belakang jawabnya.

**********

Dalam kehidupan, kita harus membuat pilihan. Kita tidak boleh lari darinya. Walaupun kita Watson Nyambek, mahupun Azizulhasni Awang.

Mahu jadi baik atau jahat? Mahu jadi rajin atau malas? Mahu jadi jurutera atau tentera? Mahu jadi artis atau saintis? Mahu kahwin dengan Lisa atau emak si Lisa?

Persoalan diatas sering membuatkan kita berfikir untuk membuat pilihan. Untuk membuat pilihan, kita perlu mengkaji  sesuatu secara keseluruhannya. Terutama baik dan buruknya. 

Misalnya soal kerjaya. Apa guna gaji berpuluh ribu, tapi hidup seperti tidak ada ibu. Keluarga, isteri dan anak sepi akibat diketepi.

Demikian juga dalam soal perkahwinan. Kalau muka kacak, hati kotor lecak tiada guna. Sama juga kalau muka jelita, hati buta tiada guna. 
                                                                                       
Setelah dikaji sedalamnya, solat istikharah dilakukan mohon petunjuk dari-Nya. Istikharah dibuat bukan untuk benda yang salah. Tidak perlu sebelum merompak, pecah rumah mahu buat solat istikharah. Itu mengarut.

Walau apapun  pilihan atau perancangan yang kita buat, sesungguhnya pilihan, takdir dan ketentuan dari-Nya adalah yang terbaik .

**********

Sheikh Hussain Yee

Teringat kata-kata salah seorang  penceramah Twins of faith, Sheikh Hussain Yee tempoh hari:

“Mungkin sebelum kahwin seseorang itu sudah beristikharah sebelum memilih. Namun bercerai setelah sebulan kahwin. Jangan disesalinya dan menyalahkannya. Percaya pada takdir dan ketentuan. Sesungguhnya suatu yang terjadi itu beserta dengan hikmah”.

Peringatan bersama buat diriku yang sering alpa dan sukar membuat pilihan, serta teman-teman maya sekalian.

Kredit iluvislam

p/s: Gua susah nak buat pilihan. Lebih-lebih lagi bila beli baju dengan seluar, samada yang besar atau kecil. Keliru dengan saiz baju gua. Dulu M sekarang L. Kadang-kadang XL. Saiz badan gua tidak stabil seiring dengan kadar pertumbuhan gua. Sekian. (^_^)



Thursday 22 December 2011

Maya atau nyata?

Awan pagi itu melabuhkan rintik-rintik hujan sepi.

Bangkit seperti biasa, cuma debar hati luar dari biasa. Tanggungjawab kebiasaan di penghujung minggu tertunai, santapan pagi dibeli tunai.

Seperti kebiasaan, gerai Pak Cik Jantan diterjah. Kelihatan sebilangan manusia berbaris didepan gerai. Bermacam lagak, penuh aksi. Masing-masing menanti giliran, menaruh permintaan.

Celoteh mak cik di hadapanku menghibur hati, sambil-sambil menanti. Dari cerita kucing bergaduh, kucing berak bersepah sampailah ke cerita masak-masak. Aku kagum dengan mereka. Mereka bijak mengolah cerita, walaupun tiada kaitan diantara cerita mereka.

"Apa kaitan kucing berak dengan masak-masak?"

Jauh beza kucing dengan masak-masak. Tak ada pun resepi kucing masak lemak petai.


Setelah menanti, tiba giliran aku melontar permintaan buat Pak cik Jantan.

“Pak cik, saya nak nasi lemak lima, satu tambah sotong.” Pintaku buat Pak cik jantan.
Lontong tak ada nak. Dah bertahun pak cik niaga, pak cik tak jual lontong..”

Aku hanya mampu tunduk ke bawah, merenung selipar di kaki.

Tunduk bawah, saya pening.

**********

Syukur, santapan pagi secara jemaah bersama keluarga selesai.

Perut sudah terisi, muka makin berisi. Namun hati masih penuh debar. Teratak Mak cik Maznah destinasi seterusnya. Bukan untuk meminang, bukan juga mengajak anak gadisnya berjimba mahupun berpacaran.

Hanya mahu mengambil ‘seri muka’ darinya. Bukan seri muka dari raut Mak cik Maznah, tetapi kuih Seri  Muka air tangan makcik Maznah.

Pedal minyak ditekan, brek sekali sekala. Lampu merah dilanggar. Erk..

Seri muka ini bakal dijadikan penyeri untuk agenda seterusnya. Agenda apakah?

Menarik juga, kalau Seri Muka jadi hantaran kahwin.

**********

Agenda diteruskan. Saat itu semakin hampir, masih mencari-cari tempatnya. Masih mencari dalam terapung, walau satu kampung.

“Owh, itu dia!” Mata melirik pada kertas bersaiz A4 yang terlekat pada pagar dan dinding.

Kredit buat kak Azie.

Gementar. Adrenalin memuncak, jantung berdenyut luar dari biasa.

Bagaimanakan rasanya ukhwah di alam maya diterjemahkankan pada alam nyata? Apatah lagi tidak pernah bersua.

Sedikit kaku, tambahan usia baru setahun jagung. Seperti biasa, mulut ini berat, bukan dibuat-buat. Satu patah kata, umpama selonggok harta. Diperakui cik ibu dah encik ayah yang melahirkan.

Segan dan silu juara pada carta hati, tatkala mahu bertemu pak cik-pak cik, mak cik- mak cik, abang-abang dan kakak-kakak yang makan garam dahulu di alam maya. Adik-adik rasanya tiada, barangkali aku paling ‘adik’.

*********

Gementar masih membuak. Terasa seperti berjalan tanpa kaki apabila tiba. Sedikit melayang. Kotak putih berisi Seri Muka dibawa terhuyung-hayang.

Kesan huyung-hayang, posisi kuih Seri Muka sedikit senget. Nasib si Seri Muka tidak tercampak melayang dari kotak ke meja pendaftaran. Tambahan sebahagian kecil dipotong awal, atas permintaan cik ibu yang ingin merasa.

Tag namaku. mrazqi88 adalah url saya, bukan nama saya. Nama sebenar saya Razik. 

**********

Hanya sedetik, gementar itu sedikit pulih. Bertukar pada gembira seceria bayi mendapat susu ibu, pemadam duka dan lara.

Bertemu dengan Dato’ yang ceria dan ramah. Tidak henti-henti memperkenalkan isterinya pada tetamu bukti Dato’ sangat menyayangi isterinya. Romantik. Mungkin boleh kongsi petua.

YBhg. Dato' Dr. Abdullah Al-Hadi Hj. Muhamed (Perancang utama perjumpaan). Kredit buat kak Ayu.

Begitu juga dengan abang-abang dan kakak-kakak yang ceria ke tahap maksima. Sudi berkongsi dan bertukar cerita, sambil-sambil mulut tidak berhenti mengunyah. Mana taknya, pulut dikanan, spaghetti ditengah, rendang di kiri. Tak cukup tangan, tak cukup perut.  


Mana mahu isi? Tapau jawabnya. 

Terima kasih buat Dato’, abang dan kakak (Kak cik Seroja, Kak Azie dan lain-lain) yang bertungkus lumus sampai tertumus memerah keringat merai majlis. Moga pertemuan ini diberkati, juga tidak bertitik noktah.

Maaf terpaksa pulang awal. Hadir ke majlis raja sehari bekas teman sepersekolahan, bukan teman sepercintaan. Moga aura raja sehari itu berpindah sepantas kilat ke dalam diri kecil ini. Hak hak

Nota kecil: Maaf lambat kemaskini. Urusan di Paka selama 3 hari. Mungkin sudah basi, tapi kenangan ini masih terisi.

*********

Pertemuan itu adalah suatu yang indah, nikmat darinya bukan untuk diendah.Pertemuan itu satu permulaan bagi satu ukhwah, umpama bayi yang baru bertatih mencari susu Dutch Lady

Pertemuan juga tidak bisa kenal jurang perbezaan. Tidak kisah siapa anda, Lim Chong Wei, Rozita Che Wan, Zila Bakarin, Imam muda Asyraf, Ustaz Don mahupun Tun Mahathir.

Kita manusia yang sama, berpaksi pada bumi yang sama.

Perkongsian bersama buat diriku yang seringkali alpa dan pelupa, juga buat teman blogger.

Ukhwah itu cantik, tidak bertitik. 
Sambutlah ia dengan salam mesra.

Kredit buat iluvislam

"Salam bermesra, ukhwah bertaut".

p/s: Gua tidak sabar menanti pertemuan rahsia khas buat kaum adam (Dato', Uncle Gedek, Pak Cik Li, Bujal, Daddy Ziyyad) di kedai-kedai mapley. Boleh gua minta tip membina keluarga bahagia, menjadi suami romantik, suami yang soleh tanpa kayu tiga. Paling penting teknik mengorat si bunga pingitan. Gua tak pandai bab-bab ini. Sekian. (^_^)



Friday 16 December 2011

Cahaya mata

Aku nikahkan dikau……”

Apakah aku sedang diijabkabulkan? Siapakah gerangan gadis bertuah itu? Oh, itu hanya mimpi.

Tersentak gara-gara tangisan anak buahku Nur Madihah. Jiwa racau, Diha kacau. Tangisan persis ngauman histeria versi bayi itu bisa menggegar seisi rumah. Bingkas bangun dengan sedikit longlai mendapatkan Diha.

Kelihatan Diha meronta, sambil meneran. Dua dalam satu, petanda sembelit. Semangat diberi, tidak terperi.

“Sabar Diha, teran sikit-sikit. Okey, pok cu kira. 1,2,3. Teran! Jangan nangis sayang”.  Diha dalam dakapanku. Persis seorang ayah. Bukan mahu angkat bakul ‘sendiri’, hanya mahu melatih diri.

Troot!!”

Bukan bunyi dari telefon bimbit. Bunyi ringkas beserta sedikit getaran dari Diha. Petanda Diha sudah selesai. Senyuman terukir diraut wajah Diha. Awas Diha!

Perut Diha, bagai dipanah petir. Tersumbat.

**********

Kiri Diha, kanan Dina.

Potret diatas, melakar wajah dua bayi perempuan pingitan. Buah hatiku, jantung hatiku Dina dan Diha. Senyuman mereka, telatah mereka bisa buat aku tenang. Walau aku putus cinta, walau aku menderita.

Kerenah mereka acapkali buat aku tersenyum.

“Dina,mari cium pokcu”. Sambil menghalakan pipi gebuku ke arah Dina. Sedikit gedik.

Sekelip mata, ukiran bekas gigi terpahat dipipi. Ukiran yang jarang, dek kerana gigi yang jarang. Ciuman dipinta, gigitan yang dapat. Moga bila dewasa, Dina tahu beza cium dan gigit sayang.


Gigitan manja Dina, berbisa.

Diha, seorang bayi lemah lembut. Jarang puting lekang dibibir. Gemar melakar ngiauan kucing, dan gajah. Pantang larangnya, jangan dicuri bantal kapoknya. Sering dihantui sindrom sembelit. Bila sembelit, maka hadapilah racauan dan kentutnya dengan sabar.

**********

Aku suka pada bayi, pada kanak-kanak.

Seringkali mengidam untuk memiliki seorang adik. Namun, untuk memilikinya pada waktu ini adalah tidak munasabah. Yang tidak mustahil adalah untuk memiliki cahaya mata. Tapi itu hanya setelah dijabkabul, bukan sebelum!

Cuma aku sedih. Hilang rasionalku bila melihat kewarasan manusia di celah punggung.

Cahaya mata sendiri, dibaling dari tingkat lapan ke bawah. Zalim. Mungkin ada yang lebih sopan. Tinggalkan cahaya mata di dalam lif beserta ‘nota cinta’ turun dari tingkat lapan hingga ke bawah.

Yang paling sopan, cahaya mata diwariskan ke teratak anak yatim. Maka, lelah si penjaga melakar kisah dongeng, si ibu ayah mati tersepit lori,si ibu ayah mati dek kerana kanser payu dara.

Tak sampai hati melihat. Gambar sekadar pedoman.

Mungkin itu anak haram. Hanya dari istilah bahasanya.

Hakikatnya cahaya mata itu suci. Yang kejinya adalah insan yang melahirkan mereka. Seronok ‘buat’, kesan diendah.  Mulanya ‘tanda’ cinta sejati. Kemudian ‘nafsu’ sejati, selalu ‘kemaskini’.

Dari sudut kisah dunia yang lain, wujud juga manusia pelik. Tidak mengimpikan seorang cahaya mata. Beban dunia adalah alasan utama.

Tidak kurang kerana kepentingan diri. Kecantikan diri mengatasi. Bila mengandung, perut membuyung. Tidak ramping lagi persis Nora Danish. Kulit-kulit berkedut, tak tegang macam Kak Limah.  Botox , susuk terkeluar.  Pakailah Safi Rania Gold beratus botol, kalau dah luput, luput juga. Macam roti dimamah kulat.

Roti luput, manusia luput??

**********

Cahaya mata itu satu kurnia dari-Nya. Berilah mereka peluang untuk nikmati nafas dunia, belayar harungi hidup dalam mencorak kehidupan. Tiba satu masa, si cahaya mata menabur bakti. Bukan pada siapa, tapi pada kita.

p/s: Terkejut gua bila melihat kewujudan taska 24 jam di Serdang. Gua ingat 7 eleven sahaja. Gila, buat siapa yang hantar anak tiap-tiap hari di taska itu. (^_^)



Monday 12 December 2011

Sakit itu, sakit ini?

Sayu-sayu hati. Rasanya sama dengan si awan diluar jendela, mahu menangis menitiskan titisan-titisan rahmat.

Disaat itu, burung-burung  bergegas kembali ke sarang, ayam-ayam mencari jalan pulang ke reban, lembu-lembu berlari pulang ke kandang takutkan air, kucing-kucing menumpang di bawah-bawah kereta, tepi-tepi rumah tumpangan.

Aku? Tersadai di makmal. Menanti hujan reda untuk pulang ke rumah, bukan ke reban.

*********

Sambil-sambil termenung, mendengar kakak-kakak makmal bersembang. Silap, bergosip. Pelbagai teknik penceritaan digunakan, juga pelbagai genre diolah. Dari cerita ‘The Muppet’ sampailah ke ‘Ombak Rindu’.

Dalam gosip-gosip mereka, diselitkan juga kisah-kisah dramatik, tragis dan pengajaran.

Diantaranya adalah mengenai kesakitan yang dialami seorang ibu ketika melahirkan.

Almaklumlah, seorang daripada kakak-kakak itu bakal melahirkan cahaya mata pertama di penghujung tahun. Sempat juga mereka berkongsi tip-tip ketika melahirkan. Oh, ini aku tidak dengar. Aku belum sedia.

Kisah seorang staf yang baru kemalangan juga menjadi topik hangat bualan mereka.

Mengikut susur galur penceritaan, staf itu dikatakan ‘melayang’ oleh si kakak makmal. Dilaporkan motornya yang berhenti ketika road block disodok sebuah kereta ‘gila’ yang tidak tahu asal usulnya. Tragis.

Apabila ke hospital, hanya ubat tahan sakit dan sedikit balutan diberikan.

Adik-adik pun dah bergosip??

**********

Aku yakin kalian semua pernah diujiani sakit. Itu termasuk aku, tidak terkecuali.

Aku tidak seperti Superman mahupun Supermak. Dari aku sekecil  patung anak beruang, hinggalah sebesar pokok pisang. Namun semua itu dugaan dari-Nya. Antara kenangan dan sakit yang membuatkan aku sering terkenang…

Sakit gigi.
Sakit ini sedikit teruja. Bila hinggap terasa kepala berdenyut, gigi berdenyut, muka berdenyut. 

Seperti biasa, bila ke klinik gigi, bermacam senjata dikeluarkan. Semua itu mesti tajam. Kalau tak tajam itu adalah ganjil.  Hinggakan kecantikan nurse yang membantu doktor tidak dapat mengaburi ketajaman alat-alatnya.

Teringat masa sekolah rendah dulu.
Waktu sebelum rehat, menerima arahan cikgu untuk pemeriksaan gigi. Masa ini, doktor gigi dan angkatan tenteranya datang. Habis rehat, tertulis nama di papan hitam. Mungkin ini senarai murid cemerlang dan terbilang, murid contoh atau murid genius.

Oh, sangkaan meleset. Itu adalah senarai nama murid gigi berlubang, gigi bengkak, gigi busuk dan gigi bernanah. Alat-alat ganas menanti anda.

Pakej. Gigi hitam, gigi lubang, gigi rongak, mulut busuk. Hak hak

Sakit jatuh basikal.
Salah satu memori yang aku tidak boleh lupa. Masa ini aku tujuh tahun, masih lagi tidak tahu berbasikal roda dua. Maka,satu hari mengajak abang aku untuk membawa aku berjalan-jalan menaiki basikal.

Syukur, abang long aku bersetuju. Petanda sayang pada adiknya yang comel.

“Ajik duduk belakang diam-diam, jangan gerak. Nanti jatuh”.  Amaran lembut si abang buatku.

Aku dibawa bersiar-siar keliling taman. Seronok, hati berbunga. Lajunya tidak ingat, kalah motor. Lagi-lagi bila di selekoh.

Tiba diselekoh terakhir, entah macam mana aku mengalami kegatalan pada belah kiri punggungku. Maka, posisiku diatas basikal, berubah-ubah dari kiri ke kanan, kanan ke kiri menyebabkan basikal tidak stabil di selekoh.

Kesannya, kedua-dua beradik terpelanting. Abangku di depan, aku dibelakang. Abangku mengalami calar balar, aku mengalami luka di bahagian kaki.

Tiba di rumah, ibu dan ayah menyapu ubat pada kakiku. Masa ni losyen mustajab belum ada, jadi minyak gamat sudah memadai. Hingga kini, bekas luka itu masih wujud dikakiku.
Sejak hari itu aku trauma untuk berbasikal.

Aku tak jatuh macam Azizulhusni. Siap kayu tembus kaki. Dia jatuh demi negara. Aku jatuh sebab gatal.

Sakit berkhatan
Teringat masa darjah enam, ayahku bertanya, “Ajik, nak sunat ramai-ramai ke sorang-sorang?”
“Sorang-sorang abah. Privacy sikit.” Jawabku ringkas.

Klinik Zalfah menjadi destinasi pilihan untuk berkhatan.  Hari yang dinanti telah tiba. Gementar yang amat. Ikutkan hati mahu balik rumah, postpone. Tapi, tak boleh. Kena berani.

Pembedahan berjalan dalam masa 15 minit. Keluar dari wad, aku berjalan sambil mendabik dada. Tunjuk lagak pada kanak-kanak lain yang cuak menanti giliran.

“Ajik tak sakit pun abah. Ajik kuat.” Dialog pertama buat abah setelah keluar dari bilik bedah. Bilik bedah?? Sesuaikah istilah ini.. Hak hak

Setengah jam kemudian, air mata mula mengalir. Jerit sana sini. Barangkali ubat bius sudah habis.

“Jangan nangis Ajik. Tadi abah dengar, Ajik kuatkan??”

Sindirian si ayah. Padu, jitu, tembus dada.

Waa!!! ni mesti lepas bius habis...

**********

Sebagai seorang manusia kerdil didunia, aku tidak lari dari melakukan dosa. Begitu juga dengan dugaan dan cubaan yang sering menimpa sepanjang meniti laluan kehidupan.

Sakit merupakan salah satu cubaan dah dugaan yang menimpa kita sebagai manusia. Sakit itu juga bermacam. Mungkin sakit itu penyakit, mungkin sakit itu pada hati, mungkin sakit itu pada perpisahan.


Boleh dianalogikan bahawa sakit itu umpama traktor yang memperbetulkan bengkok-bengkok jalan supaya ia menjadi lurus.

Sakit itu membuatkan kita sering beringat. Beringat terhadap dosa yang dilakukan.

Jangan difikir sakit itu dikurniakan pada kita kerana benci-Nya pada kita. Tetapi, itu adalah ujian-Nya pada kita. Tidak kira sekecil semut dugaan itu, mahupun sebesar gajah, kerana itu bisa melatih kita menjadi sabar dan tabah.

Cuba hentikan keluh dan kesah itu, walaupun ia sukar.

Perlu diingat, sakit itu juga adalah ‘kaffarah’ yakni penghapus dosa kita di masa lampau. Jangan pernah kita sesali, atas apa yang dialami. Malah teruskan berikhtiar dan berdoa.

Pesanan buat diriku yang mudah alpa dan juga rakan-rakan blogger yang lain.

sumber iluvislam

**********

Seminggu ini, cik ibu tidak boleh berjalan. Mengalami jangkitan pada saraf. Namun terdapat sedikit perkembangan positif, cik ibu sudah boleh berdiri, syukur.

Bukan mohon simpati, tapi mohon doa kalian. Semoga cik ibu boleh berjalan seperti biasa.

p/s: Sakit itu bukan derita semata, tapi ujian Pencipta.