Sayu-sayu hati. Rasanya sama dengan si awan diluar jendela, mahu menangis menitiskan titisan-titisan rahmat.
Disaat itu, burung-burung bergegas kembali ke sarang, ayam-ayam mencari jalan pulang ke reban, lembu-lembu berlari pulang ke kandang takutkan air, kucing-kucing menumpang di bawah-bawah kereta, tepi-tepi rumah tumpangan.
Aku? Tersadai di makmal. Menanti hujan reda untuk pulang ke rumah, bukan ke reban.
*********
Sambil-sambil termenung, mendengar kakak-kakak makmal bersembang. Silap, bergosip. Pelbagai teknik penceritaan digunakan, juga pelbagai genre diolah. Dari cerita ‘The Muppet’ sampailah ke ‘Ombak Rindu’.
Dalam gosip-gosip mereka, diselitkan juga kisah-kisah dramatik, tragis dan pengajaran.
Diantaranya adalah mengenai kesakitan yang dialami seorang ibu ketika melahirkan.
Almaklumlah, seorang daripada kakak-kakak itu bakal melahirkan cahaya mata pertama di penghujung tahun. Sempat juga mereka berkongsi tip-tip ketika melahirkan. Oh, ini aku tidak dengar. Aku belum sedia.
Kisah seorang staf yang baru kemalangan juga menjadi topik hangat bualan mereka.
Mengikut susur galur penceritaan, staf itu dikatakan ‘melayang’ oleh si kakak makmal. Dilaporkan motornya yang berhenti ketika road block disodok sebuah kereta ‘gila’ yang tidak tahu asal usulnya. Tragis.
Apabila ke hospital, hanya ubat tahan sakit dan sedikit balutan diberikan.
Adik-adik pun dah bergosip??
**********
Aku yakin kalian semua pernah diujiani sakit. Itu termasuk aku, tidak terkecuali.
Aku tidak seperti Superman mahupun Supermak. Dari aku sekecil patung anak beruang, hinggalah sebesar pokok pisang. Namun semua itu dugaan dari-Nya. Antara kenangan dan sakit yang membuatkan aku sering terkenang…
Sakit gigi.
Sakit ini sedikit teruja. Bila hinggap terasa kepala berdenyut, gigi berdenyut, muka berdenyut.
Seperti biasa, bila ke klinik gigi, bermacam senjata dikeluarkan. Semua itu mesti tajam. Kalau tak tajam itu adalah ganjil. Hinggakan kecantikan nurse yang membantu doktor tidak dapat mengaburi ketajaman alat-alatnya.
Teringat masa sekolah rendah dulu.
Waktu sebelum rehat, menerima arahan cikgu untuk pemeriksaan gigi. Masa ini, doktor gigi dan angkatan tenteranya datang. Habis rehat, tertulis nama di papan hitam. Mungkin ini senarai murid cemerlang dan terbilang, murid contoh atau murid genius.
Oh, sangkaan meleset. Itu adalah senarai nama murid gigi berlubang, gigi bengkak, gigi busuk dan gigi bernanah. Alat-alat ganas menanti anda.
Pakej. Gigi hitam, gigi lubang, gigi rongak, mulut busuk. Hak hak
Sakit jatuh basikal.
Salah satu memori yang aku tidak boleh lupa. Masa ini aku tujuh tahun, masih lagi tidak tahu berbasikal roda dua. Maka,satu hari mengajak abang aku untuk membawa aku berjalan-jalan menaiki basikal.
Syukur, abang long aku bersetuju. Petanda sayang pada adiknya yang comel.
“Ajik duduk belakang diam-diam, jangan gerak. Nanti jatuh”. Amaran lembut si abang buatku.
Aku dibawa bersiar-siar keliling taman. Seronok, hati berbunga. Lajunya tidak ingat, kalah motor. Lagi-lagi bila di selekoh.
Tiba diselekoh terakhir, entah macam mana aku mengalami kegatalan pada belah kiri punggungku. Maka, posisiku diatas basikal, berubah-ubah dari kiri ke kanan, kanan ke kiri menyebabkan basikal tidak stabil di selekoh.
Kesannya, kedua-dua beradik terpelanting. Abangku di depan, aku dibelakang. Abangku mengalami calar balar, aku mengalami luka di bahagian kaki.
Tiba di rumah, ibu dan ayah menyapu ubat pada kakiku. Masa ni losyen mustajab belum ada, jadi minyak gamat sudah memadai. Hingga kini, bekas luka itu masih wujud dikakiku.
Sejak hari itu aku trauma untuk berbasikal.
Aku tak jatuh macam Azizulhusni. Siap kayu tembus kaki. Dia jatuh demi negara. Aku jatuh sebab gatal.
Sakit berkhatan
Teringat masa darjah enam, ayahku bertanya, “Ajik, nak sunat ramai-ramai ke sorang-sorang?”
“Sorang-sorang abah. Privacy sikit.” Jawabku ringkas.
Klinik Zalfah menjadi destinasi pilihan untuk berkhatan. Hari yang dinanti telah tiba. Gementar yang amat. Ikutkan hati mahu balik rumah, postpone. Tapi, tak boleh. Kena berani.
Pembedahan berjalan dalam masa 15 minit. Keluar dari wad, aku berjalan sambil mendabik dada. Tunjuk lagak pada kanak-kanak lain yang cuak menanti giliran.
“Ajik tak sakit pun abah. Ajik kuat.” Dialog pertama buat abah setelah keluar dari bilik bedah. Bilik bedah?? Sesuaikah istilah ini.. Hak hak
Setengah jam kemudian, air mata mula mengalir. Jerit sana sini. Barangkali ubat bius sudah habis.
“Jangan nangis Ajik. Tadi abah dengar, Ajik kuatkan??”
Sindirian si ayah. Padu, jitu, tembus dada.
Waa!!! ni mesti lepas bius habis...
**********
Sebagai seorang manusia kerdil didunia, aku tidak lari dari melakukan dosa. Begitu juga dengan dugaan dan cubaan yang sering menimpa sepanjang meniti laluan kehidupan.
Sakit merupakan salah satu cubaan dah dugaan yang menimpa kita sebagai manusia. Sakit itu juga bermacam. Mungkin sakit itu penyakit, mungkin sakit itu pada hati, mungkin sakit itu pada perpisahan.
Boleh dianalogikan bahawa sakit itu umpama traktor yang memperbetulkan bengkok-bengkok jalan supaya ia menjadi lurus.
Sakit itu membuatkan kita sering beringat. Beringat terhadap dosa yang dilakukan.
Jangan difikir sakit itu dikurniakan pada kita kerana benci-Nya pada kita. Tetapi, itu adalah ujian-Nya pada kita. Tidak kira sekecil semut dugaan itu, mahupun sebesar gajah, kerana itu bisa melatih kita menjadi sabar dan tabah.
Cuba hentikan keluh dan kesah itu, walaupun ia sukar.
Perlu diingat, sakit itu juga adalah ‘kaffarah’ yakni penghapus dosa kita di masa lampau. Jangan pernah kita sesali, atas apa yang dialami. Malah teruskan berikhtiar dan berdoa.
Pesanan buat diriku yang mudah alpa dan juga rakan-rakan blogger yang lain.
sumber iluvislam
**********
Seminggu ini, cik ibu tidak boleh berjalan. Mengalami jangkitan pada saraf. Namun terdapat sedikit perkembangan positif, cik ibu sudah boleh berdiri, syukur.
Bukan mohon simpati, tapi mohon doa kalian. Semoga cik ibu boleh berjalan seperti biasa.
p/s: Sakit itu bukan derita semata, tapi ujian Pencipta.