Tuesday 29 November 2011

JIKA @ KALAU

Cuaca tenang, damai dan menyegarkan. Burung-burung berkicauan, berterbangan bersama pasangan mencari harta sepencarian. Kucing-kucing jalanan gigih menyara hidup anak bini dengan mencari picisan ikan-ikan 'buangan', serpihan ayam 'buangan' di kedai-kedai mapley

Syukur, hari ini aku menjadi seorang yang rajin, berkat tahun baru Hijrah.

Mengemas bilik dan menyusun buku-buku yang ada mengikut genre. Juga membuang surat-surat cinta lama dari secret admire sewaktu tadika dan sekolah rendah. Sedikit sengal. Antara frasa ayat dalam surat cinta terbabit yang mengandungi kesalahan tatabahasa dan ejaan yang ketara seperti  "I lap u". Jauh berbeda dengan "I love you". Biasalah, budak-budak. Hak hak

Bila aku nak dapat surat macam ni???? 
Cehh... Berangan lagi. Siapa nak dekat kau Ajik?? 


Bukan hanya mengemas, tapi turut menghias bilik. Sesekali terasa macam Eric Leong. Bezanya kepala dia licin, kepala aku berbulu. Lagi satu bezanya Eric suka hias letak-letak lilin. Tapi aku tak, sebab takut bilik terbakar. Kalau nak letak pun, mungkin guna baki lilin kek hari jadi yang ada kat dapur. Hak hak

Cantik juga lilin kek hari jadi ni kalau hias kat bilik... pergh.. romantik.. tak tidur aku dibuatnya


"Tuk tuk tuk" Cik ibu mengetuk pintu bilikku.

"Surprise!!!" Kejutanku buat si ibu, gaya-gaya Eric Leong. (^_^)

"Pedepek!"

'Balingan manja' surat khabar lama dari cik ibu pada jarak dekat. Itu refleks petanda si ibu melatah. Kini , aku sedar aku tidak seperti Eric Leong.

Pesanan buat Eric "Sila jangan datang deko rumah aku".

Eric, kalau you nak datang jugak rumah I untuk rancangan tv you, inform awal-awal.
Tapi datang rumah I, jangan nak buat surprise tak tentu hala yer. Mama I marah.


**********

"Jika teringat tentang dikau.. jauh dimata dekat dihati....."

Bait bait lagu 'Jika' nyanyian duet Melly Goeslow dan Ari Lasso berkumandang di radio kapokku. Ringkas lirik lagunya. Pernah satu ketika sewaktu aku darjah satu, aku bertanya pada cik ibu.

"Mama, chiika itu apa??" Seperti biasa, masih pelat.

Balas cik ibu "Hmm, Ajik tanya 'Jika' ke??". Aku menganggukkan kepala.

"Hehe. Lain kali sebut betul-betul. Jangan ikut sangat loghat mat salleh. Nanti sampai ke besar. Mari mama ajar sebut yer...  J. I. K. A. jika....  J. I. K. A. jika....  J. I. K. A. jika......(ulang 50 kali) " Sesi kelas pengulangan ejaan.

"Ok. Ajik dah boleh sebut. J. I. K. A! jika....  J. I. K. A! jika....  J. I. K. A! jika...... Ermm, jika itu apa mama?" Aku memendekkan sesi kelas ejaan.

"Jika itu kalau. Jika itu sama dengan kalau. Sama juga jikalau". Balas mama ringkas. Baru aku mengerti. Terima kasih mama.
Melly tampak manis bertudung.


**********

JIKA itu satu perkataan. Terdiri dari dua suku kata dan terbina dari empat aksara. Sinonimnya adalah KALAU. JIKA ditambah KALAU hasilnya JIKALAU. Walaupun ringkas, tapi boleh membawa pelbagai maksud dan kegunaan samada baik atau buruk. Senang cerita JIKA dan KALAU itu macam kertas A4. Boleh tulis-tulis, boleh lukis kartun, boleh jadi kertas exam, boleh jadi roket, boleh jadi kipas dan boleh jadi sampah.


Contoh-contoh JIKA atau KALAU (JIKALAU) yang famous:

Kalau aku cun macam Neelofa, mesti ramai panggil aku 'acting'.

Jika aku kumbangnya, kau adalah ridsect. silap, kau adalah Bunga Citra Lestari.

Kalau hidung aku mancung macam Hitrik Roshan, maka nak korek senang.

Jika aku  Maskman, kawan-kawan tadika yang buli aku, aku belasah.

Kalau tahi lalat atas mulut aku ini bergerak sendiri pindah bawah mulut macam Dato' Siti, mesti ramai datang meminang.

Jika aku Spiderman, kau adalah Tam Spider.

Layan lagu-lagu Spider ni. Vokalis mantap.


**********


Contoh itu mungkin pelik, tapi itulah realitinya yakni manusia suka ber'kalau' dan ber'jika'. Ini termasuk aku yang gemar berangan-angan sehingga terkadang di awang-awangan. Mungkin 'jika' yang dimaksudkan itu serius, mungkin juga 'jika' itu jenaka atau deongengan dan mungkin juga 'jika' itu untuk pengajaran.

Namun penggunaan perkataan JIKA mahupun KALAU adakalanya dibolehkan dan adakalanya dilarang mengikut cara penggunaannya. 

JIKA atau KALAU dilarang apabila ia digunakan sehingga menyalahi sesuatu yang ditakdirkan padanya oleh tuhan. Sebagai contoh "Jika aku buat begini, mesti takkan jadi begini".  Frasa ayat ringkas ini mampu mengundang kepada sesalan dan kesedihan yang melampau terhadap takdir yang ditentukan-Nya. Malah, turut menyebabkan kita kurang rasa bersyukur.

JIKA mahupun KALAU yang dibolehkan apabila ia membawa pengajaran, kebaikan atau untuk bercita-cita mendapatkan sesuatu yang baik. Contohnya "Kalau Ajik dah besar nanti, bila Ajik dah bekerjaya, Ajik carikan mama menantu yang baik, cun, pandai masak macam Masterchef, boleh jaga mama dengan abah dan yang superb. Mama doakan yer".

Walaupun hanya satu perkataan, tapi JIKA atau KALAU boleh membawa kesan baik dan buruk. Jadi sekiranya usaha yang kita lakukan tidak menjadi, janganlah pernah kita sesali. Malah terima ia sebagai satu ketentuan.

Peringatan bersama buat aku si mudah lupa dan juga sahabat blogger yang lain.



p/s: Jika awak roti jala, maka saya roti Gardenia.  (^_^)

Thursday 24 November 2011

Tertekan??

Cuaca mendung. Sayu. Sang mentari sempat bermain 'sorok-sorok' di sebalik cik awan. Malu katanya.

Hajat di hati, mahu berjoging. Erk.. walaupun ianya pahit tapi ia benar. Ini tidak tipu.

Bukan apa. Tidak mahu adik perut 'meninggi diri'  membuncit.
Tidak mahu awek Tesco pandang serong pada perut yang membuyung. Tidak mahu mak cik tempe pasar tani  bertahi lalat atas mulut bertanya "Berapa bulan ni dik?? 8 bulan ek?? dah scan?? gegurl ke boboi??"

Haha. Boboi rupanya.

Hormati dan sayangi warga emas. 

**********

"Tepat jam 5.00 petang, cabut." monolog hati.

Bukan cabut bulu kaki, tapi cabut dari lab menuju ke UPM. (UPM adalah tempat aku berjimba dengan kawan-kawan senget yang sekepala, pensyarah mantap, pengetua kolej KMR, ex awek, akak indon fotostat dan makcik guard UPM masa study dulu)

Mahu melunaskan hajat berjoging di UPM. Aku tak nak jadi saintis gila duduk bertapa dalam lab tengok kromosom dengan DNA 24 jam. Aku tak nak digelar andartu versi lelaki yang menghabiskan sisa-sia hidupnya di lab 24 jam. Itu bisa buat aku gila dan tertekan.

Apapun yang penting kena keluar duit dulu. Mana taknya, buka-buka dompet kosong. Duit kertas tak ada, syiling pun tak ada. Malu ni kalau 'bakal ayah mertua' nampak. Awas.

Maka, hala tuju sasaranku sebelum berjoging adalah CIMB bank. Baru sepuluh tapak melangkah, titisan-titisan air dari langit yang masih boleh dibilang jumlahnya menerjah tubuhku.

"Sebelum titisan hujan ini 'tidak boleh' dibilang, baik aku cepat melangkah." Hati berbisik lantas mengenakan sweater lusuhku. Lebihan fabrik sweater di bahagian tengkuk kusarungkan ke kepala. Terfikir alangkah baiknya masa ni jadi Flashman. Berangan.

Dalam meneruskan langkah, kelihatan segerombolan Homo sapien setia menanti bas dalam hujan rintik. Namun mataku tertarik pada empat sekawan Homo sapien (lengkap berbaju kurung) yang kelihatan sedang meng'usha' aku.

"Aku tau aku comel. Pakai sweater tutup kepala macam Teletubies. Tak payah pandang aku lama sangat. Nanti aku blushing". Hatiku bermonolog. Namun monolog ini agak keterlaluan bunyinya.

Sekali lagi sambil berjalan aku mengalihkan pandangan ke arah empat sekawan Homo sapien tadi. Kali ini agak kejam. Mereka tersengih seperti sedang memerli aku. Tertekan

Aku suka warna unggu.. Paling matured di antara empat..

**********

Tiba di bank, aku beratur menunggu giliran. Tak apa bagi pakcik dan makcik ni dulu. Tak apa bagi awek ni dulu. Konon gentleman. Yang abang-abang sila tunggu belakang. hak hak

Tiba giliran aku. Semangat. Aku mengeluarkan dompet, mencari-cari kad ATMku. "mana?? mana??"  Baru teringat. Tertinggal dalam kereta semalam, cik emak aku simpan. Owh, si anak emak.....

Serentak dengan itu, petir menyambar. Hujan turun dengan rakusnya. Duit tak dapat keluar, hajat berjoging lesap. Tak apa, aku tak tertekan. Itu tipu.

Rasa nak gunting lapan kad ni bila sampai rumah.

**********

Pernahkah korang tertekan???? Sila jujur. Tidak pernah?? Kalau tak pernah kalian memang hebat. Hebat menipu. Bagi aku tertekan itu satu lumrah dalam kehidupan. Larilah celah bedah manapun, tekanan itu akan setia mengikut. Macam sweet couple.

Bagi aku tertekan dan tekanan ini mengandungi pelbagai definisi. Apakah itu tekanan??

Tertekan dan tekanan itu bukanlah umpama tertekan pedal minyak sampai langgar divider jalan. Itu gila. Tertekan yang aku cuba bawa dalam entri ini adalah tertekan jiwa dan rasa.

Tekanan itu umpama diketuk masuk paku tekan ke dalam kepala, seterusnya dihentak-hentak dengan tukul beberapa kali sehingga puas. Sabar, ini hanya analogi (kalau nak try buat kat rumah, aku tak tanggung.. korang tanggung). Tekanan itu berpunca dari ketegangan yang ada dalam diri dan persekitaran.

CONTOH-CONTOH situasi tekanan mengikut peredaran masa dalam mitosis kehidupan:

a) masa tadika

Kawan ejek mata timbul, telinga capang dan mulut tebal macam negro. Balik rumah, nangis-nangis ngadu pada emak nak berhenti tadika. Tertekan


Aku selalu confuse antara huruf 'p' dan 'd' masa tadika. Tertekan.

b) masa sekolah rendah

Kecewa markah bahasa Melayu kurang satu dari kawan. Kawan dapat 40%, 'sendiri' dapat 39%. Beza satu markah, tapi dalam report card warna pen lain-lain. Sure 'sendiri' punya  warna merah. Mahu tukar sekolah. B.M failed. Tertekan

c) masa sekolah menengah

Minat awek sekelas yang rupa macam Neelofa. Tapi tak tahu macam mana nak luahkan. Tiba-tiba, dengar cerita awek itu sangkut dengan geng baik sendiri. Mahu berhenti sekolah. Tertekan

d) masa di universiti, alam kerjaya dan alam rumahtangga

Di universiti dapat tawaran kursus kejuruteraan kimia. Dah final semester baru sedar jiwa tak sesuai dengan engineering. Tapi lebih sesuai dengan TESL, sebab sangkut dengan awek foreigner muka macam J-lo. Tertekan

Bila dah bekerjaya, sedih tak dapat luang masa dengan isteri dan anak-anak. Memanjang meeting. Weekend pun meeting. Bila boleh dating dengan bini bincang isu tambah bilangan anak?? Tertekan

Dah kahwin 15 tahun, anak dah sepuluh baru tahu si suami sudah kahwin tiga. Hebat suami, isteri kecewa. Mahu berpisah. Tertekan

Bila kita tengok situasi-situasi diatas mungkin agak pelik. Tapi itu adalah hakikat. Kebanyakan tekanan berpunca dari mindset dan persekitaran kita.

'Mindset' itu satu aset. Kena 'setup' 'mindset' yang baik untuk hasil yang baik.

**********

Jadi kita perlu mengawal tekanan. Bukan tekanan 'mengawal' kita.

Banyak cara untuk mengawal tekanan sebenarnya. Misalannya cuba latih diri menjadi dan berfikiran positif, menilai kelemahan dan kelebihan diri, kerap bersenam, luangkan masa bersama awek, isteri, keluarga, dan anak-anak, melancong dan jangan malu untuk berjumpa pakar kaunseling sekiranya bermasalah.

Banyak kaunselor-kaunselor dan pakar motivasi yang hebat dan famous di Malaysia. Antaranya Dato' Dr Fadzilah Kamsah. Tapi tak semestinya kena jumpa kaunselor famous bila bermasalah. Sila jangan terlalu 'diva'. Awas. Kasihan kaunselor lain, tak dapat cari makan. Hak hak


Dari segi rohaninya pula, kita perlu mendekatkan diri kita pada tuhan, banyakkan berdoa pada tuhan, biasakan diri dalam keadaan berwudhuk dan sebagainya. Paling penting sentiasa bersangka baik dengan tuhan bila mana ujian menimpa.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah s.w.t, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah s.w.t tanpa dia membawa dosa sedikitpun.” –Hadith riwayat Imam Tirmizi

Hakikatnya manusia sering diuji oleh-Nya untuk dilihat keyakinan dan keimanan kita kepada-Nya. Cuma persoalannya, adakah kita cukup bersabar atau terlalu 'hambar' dalam menghadapi ujian-Nya? Persoalan bersama.


Aku sedar, aku juga mudah tertekan sebab aku manusia lemah.


"Entri ni ditaip masa hidung tersumbat sebelah. Aku nafas ikut satu lubang hidung sahaja. Aku tertekan".


Positifkan diri. Demam itu ujian tuhan juga kupon diskaun 'dosa'.


p/s: Sudah-sudahlah trend bunuh diri, gantung diri kat kipas, bunuh anak, baling anak, bunuh bini bila tertekan tahap cipan. Cuba bila tensen bunuh benda lain macam bakteria ke, nyamuk aedes ke.. (^_^)

Sunday 20 November 2011

Dongengan si IBU

"tekk tekk tekk..."

Rintik hujan menemaniku. Rahmat tuhan bertebaran di muka bumi ciptaan-Nya. Alhamdulillah.

Sepi. Sudah jam 4.00 pagi, mata masih cergas terbuka. Adakah aku salah seorang mangsa serangan Insomnia?

"Lelaplah wahai mata". kata hati. 
"Pehal aku nak lelap pula?? Blog tak update lagi. Ada hati nak lelap???" Mata bermonolog. Tajam.

Hipotesisnya, selagi tidak update blog, selagi itu mata tidak boleh lelap. Hipotesis kejam.

Macam ni lah aku...

**********

Beberapa minggu yang lepas, sempat aku meluangkan masa berjimba bersama teman-teman lama. Majoritinya lebih berusia dariku. Mereka tuan punya badan diberi nama singkatan Shidi, Amir dan Anas. 

Bermula aturcara berjimba di Perantau Hill. Sembang tak ingat. Dari cerita hantu Kak Limah sampai cerita Twillight. Dasyat. Kalah golongan makcik-makcik dan akak-akak bersembang. Awas.

Acara diteruskan dengan sesi melalak. Masing-masing tak nak mengalah melontarkan vokal, persis 'katak jelmaan'. Soprano, falseto, bes (suara dada), suara perut, suara jantan, suara betina suara cukup-cukup makan, suara tersepit semua terkeluar. Cukup harmoni. Genre lagu usah cakap. Dari lagu UNIC, Hanya Tuhan yang Tahu sampai lagu Dahlan Zainudin, Kisah seorang Banduan Biduan. Hak hak

Acara penutup, bersiar-siar di Downtown Jalan Reko. Sambil-sambil mencuci mata. Bila perut lapar, singgah ke gerai keropok lekor. 

"Keropok lekor tepung." Protes si Amir, warganegara Malaysia, rakyat tegar Terengganu.

"Macam keropok Rotakan bang Amir.. " Aku membalas.

"Dahlah lembik plus lembut keropok ni". Shidi menyampuk

Amir membalas penuh yakin.
"Keropok ni ikut tuan badan yang makan. Kalau keropok tu 'lembut', maknanya orang yang makan tu lembut. Kalau rasa keropok tu 'keras', maknanya yang makan tu keras, lelaki tulen. Zik, ko makan, keropok tu keras ke lembut???"

Shidi termenung seketika, penanda 'terkena'. Aku mendiamkan diri, playsafe katanya. Hak hak

Ini bukan hipotesis lagi. Lebih tepat 'DONGENGAN' gila ciptaan si Amir.

Tak tahu mana satu yang  'lembut' dan 'keras'

*********

Teringat masa kecil-kecil dulu. Ibuku sering menghasilkan 'DONGENGAN' yang menarik. Bukan macam dongeng Cinderella, Smurf, Pinocchio tapi dongengan klasik. Bukan apa. Niatnya untuk mendidik aku. Antara dongengan yang paling-paling aku ingat:


a) Dongengan susu ibu.

Masa kecil-kecil,boleh dikatakan aku kembar tak seiras dengan puting ibuku. 24 jam nak menyusu. Tak boleh lekang. Macam-macam alternatif ibuku dah buat. Letak kunyit, letak kopi, tak jalan. Aku tetap setia.

Langkah terakhir ibuku..

"Ajik, sampai bila Ajik nak minum susu mama je. Dah besar. Takkan sampai umur 20 tahun pun nak minum susu mama. Tak macho tau" Ayat psikologi mama.

"Tak peduli. Nak juga, nak juga". Aku membentak.

"Kata, Ajik nak jadi Maskman. Maskman mana ada hisap susu ibukan??? Diorang minum Dutch lady jer." Ibuku membalas.

Dek kerana terpengaruh dengan dongengan ibuku, aku mula bertukar profesion. Dari susu ibu ke susu botol. Lebih baik, lebih macho. (^_^)

'Jambu' botol susu ni.  Aku rasa kalau aku kecik pun, aku boikot botol susu ni. Bukan taste aku. Hak hak


b) Dongengan makan alih tempat

Masa aku tadika dulu, aku ada habit pelik. Suka makan alih-alih tempat. Yang tak bestnya, mulalah nanti bersepah tulang ikan bawah kerusi, tulang ayam atas tv, kulit ayam celah pasu bunga mak aku. Oh, ini semua kepantangan ibuku. Kalau kantoi, maka bersiap-sedialah aku dengan serangan 'senggol-senggolan, cubit-cubitan'.

Alkisahnya, suatu hari aku makan bertiga bersama ibu dan ayahku. 

Sedang aku cuba mengangkat kaki, ibuku bersuara..

"Nak pergi mana Jik?? Kan mama dah cakap, makan alih-alih tempat tak elok. Nanti kahwin pun banyak kali."

Aku membalas dengan sebutan yang pelat (maklumlah tadika lagi), "Kahwin manyakkan elok mama. Nanti dapat isteri manyak, anak pun manyak."

Ayahku tersengih, seperti menyokong.

"Pedepek!!!"

Itu dia! Pemukul lalat hinggap di belakangku. Tindakan refleks dari ibuku. Tangkas. Nasib waktu tu cik ibu tak pegang pemukul lalat versi raket badminton yang siap ada karen. Hak hak

Kalau aku kena tibai dengan pemukul lalat jenis ni........


c) Dongengan makan ubat

Rasanya sudah menjadi lumrah, anak-anak kecil takutkan ubat. Mungkin dalam kes-kes terpencil, bukan sahaja anak-anak kecil fobia akan ubat malah anak-anak 'besar' juga ada yang takutkan ubat. Sudah adat ubat itu pahit. Sukar mengubah realiti kepada:  'ubat itu manis macam kuih Seri Muka'. hak hak

Nak dijadikan cerita, aku memang tak gemar makan ubat bila sakit. Kasihan si ibu. Kadang-kadang tersembur ubat antibiotik pada baju si ibu dek kerana anak yang takutkan ubat.

Berbagai kaedah dibuat ibuku termasuklah buat demo telan ubat cara yang betul. Kadang-kadang, kena telan betul-betul demi meyakinkan si anak. (^_^)

Alternatif terakhir ibuku dengan mencampurkan ubat di dalam susu botolku.

"Ajik, mari sini minum susu. Susu ini special. Nanti cepat baik demam". Kata si ibu.

"Mama, kenapa susu ni warna pink macam silap bandung??" Aku menduga. Pelat-pelat pun ada hati nak menduga orang.

"Owh, mama campur sirap. Baru best sikit!!!" Balas ibu yakin. 

Aku terus minum dan tidak sampai 5 minit, aku terbongkang. Mana taknya ubat demam, ubat batuk, ubat selesema, anitibiotik, strepsil, racun tikus semua dalam susu botolku. Hak hak

Terpengaruh lagi dengan dongengan si ibu....

Hmm.. Reaksi  aku masa nampak ubat dulu-dulu.. (^_^)


d) Dongengan membazir nasi

Masa kecil juga, aku ada satu lagi tabiat buruk. Suka ambil nasi banyak-banyak, tapi tak habis. Tak tau macam mana 'hobi' ini boleh sebati dengan aku. Ibuku memang sangat tidak gemar habit ini.

Kalau aku tak habis nasi, jarang sekali buang dalam tong sampah. Tapi buang dekat longkang belakang dapur. Takpun bagi kucing jiran makan. Bukan apa, tak nak kantoi sama si ibu.

Suatu hari, ibuku memberi ceramah padaku.

"Ajik, tak baik buang nasi. Membazir. Kasihan abah cari rezeki. Nanti nasi 'menangis'. Ingat sebutir beras setitik peluh petani" Nasihat ibuku.

"Apa?? Nasi menangis??? tak pernah tengok pun.. Apa maksud sebutir beras, setitik peluh petani??" Aku bermonolog.

"Mama, nasi mana menangis. Tak pernah nampak pun". Aku membalas.

Si ibu membalas "Jangan degil cakap orang-orang tua. Nasi menangis, kita tak boleh nampak. Sebab mata nasi kecik". Aku hanya mengangguk.

Keesokan harinya di tadika sewaktu rehat bersama Aiman (kawan setadika)...

Aiman yang suaranya persis pembesar suara jujur berkata "Kita tak habislah nasi lemak ni. Tak sedap!" (Sambil-sambil melihat mata kakak tukang masak terjegil)

Aku membalas "Tak baik. Nanti nasi 'menangis' ".

Aiman respon "Mana ada. Nasi mana boleh nangis".

Tak ada modal. Maka guna modal si ibu "Jangan degil cakap orang-orang tua. Nasi menangis, kita tak boleh nampak. Sebab mata nasi kecik". Hak hak

"Ingat, sebutir beras, setitik peluh petani" Tambahku yakin tanpa memahami ungkapan tersebut.

Aiman hanya mampu ternganga memandangku. (^_^") 

Habis jawab paper Bahasa Melayu kertas 1 UPSR, baru aku mengerti apakah yang dimaksudkan dengan 'Sebutir beras, setitik peluh petani'.

Baru nampak real nasi menangiskan??? 


**********

Begitulah dongengan si ibu. Mahu membentuk anak yang masih kecil menjadi seorang yang berdikari, berjimat, belajar menghargai, berani, macho, kacak dan setia.

Si ibu yang gigih mendidik si anak yang degil, kadang-kadang gila dan nakal. Ingatlah perngorbanan si ibu. Tidak mampu dibayar sekalipun dengan wang ringgit.

"Seorang ibu mampu menjaga sepuluh orang anak. Sepuluh orang anak tidak semestinya mampu menjaga seorang ibu"

Sesekali aku terfikir...

Masa kecil aku kurang melawan dan meninggi suara pada si ibu.

Tapi....

Bila besar semakin mudah meninggikan suara. Apatah lagi ter 'ah', ter 'eh', ter 'uh' dengan si ibu...... Persoalan sengaja atau tidak, TIDAK HARUS WUJUD. Pesanan dan ingatan bersama...

Sekali lagi aku terfikir...

Berapa lamakah lagi hayatku di dunia ini??
Berapa lamakah lagi hayat ibuku??
Sempatkah aku berbakti padanya??
Sempatkah aku menjaganya??


Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw, kemudian berkata:

"Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak aku layani dengan baik?" Rasulullah menjawab: "Ibumu." Orang itu bertanya lagi: " Kemudian siapa?" Rasulullah menjawab: "Ibumu." Orang itu bertanya lagi: "Kemudian siapa?" Rasulullah menjawab: "Ibumu." Lalu orang itu bertanya lagi: "Kemudian siapa?" Rasulullah berkata: "Ayahmu."- Abu Hurairah ra.

p/s: Tak nak jadi macam Tanggang. Jumpa awek seksi, cun, kaya macam Zila Bakarin takpun Kila Feri  terus tinggalkan si ibu. (^_^)

Friday 11 November 2011

Clean & Clear

Jam tangan analogku menunjukkan angka 12.00. Disertai dua huruf di belakangnya p.m. Barangkali p.m itu ringkasan frasa 'pergi makan', bukan 'pergi mati'. "Lapar!!" hatiku meronta-ronta. Perut pula meroyan. 

Persoalannya, mahu melantak mana?

10 minit berlalu. Aku dan kawanku bercadang mahu pekena Nasi Goreng Ayam di 'padang' (area Serdang). Tak tahu apa faktor penggunaan istilah 'padang'. Tak ada pulak tiang gol mahupun track lumba lari. Yang ada hanya lambakan kedai makan.

Kaki melangkah deras. Langkahku persis seorang YB. Diiringi anak kucing yang cuba bermanja-manja. Geli-geli. "Ada yang kena terajang ni kang.. " Bukan tak suka, tapi geli. 

Lagi beberapa tapak, sampailah ke kedai makan. Sedang asyik melangkah, mataku tertumpu ke arah seorang wanita. Nak kata amoi bukan. Nak kata India pun bukan. Peranakan mungkin. 

Gelagatnya kuperhatikan. Sehingga ke satu adegan, barangkali klimaks agaknya. Jari telunjuknya di masukkan ke lubang hidungnya. Ditonyoh-tonyoh sekuat mungkin, feel katanya. Ada emaskah?? Atau... tak cukup besar lubang hidung. Dikeluarkan jarinya, kemudian digentel sesuatu dan dijentik. Bertuah siapa yang kena jentikan itu. Awet muda. Sengal.


Hati berhenti meronta, perut berhenti meroyan. Petanda selera hilang. Tekak sedikit mual.

Feel....


**********

Bila duduk-duduk teringat wanita (si pengorek bertauliah), satu perkataan saja yang keluar dari bibir seksiku 'kebersihan'. Bukan bermaksud aku tak pernah menceburi 'kerjaya' wanita tadi. Tapi kena pandai-pandailah. hak hak hak

Kebersihan adalah aspek penting dalam diri. Terutamanya kebersihan tubuh badan (dari kepala hingga ke kaki). Bagi aku, ada beberapa bahagian utama pada keseluruhan tubuh yang perlu dijaga


**********

Apakah bahagian utama itu????

a) Mulut dan gigi

Bagi aku part ni sangat penting. Sebabnya nak cakap kena pakai mulut. Mult kena wangi, baru confident.

Boleh bayang kalau mulut bau longkang, pergi interview. Confirm interviewer semput tak cukup oksigen.
Boleh bayang kalau mulut bau longkang, nak luah isi hati kat awek. Kena reject spontan. Sebab utama "mulut awak bau longkang. Bukan taste saya" kata cik awek.

Janganlah kalian nak terpengaruh 100% dengan iklan colgate, bunuh 99% bakteria dalam mulut. Jangan sebab itu, bila dah lambat bangun nak pergi kerja, kalian tak gosok gigi guna berus. Tapi sapu colgate kat gigi guna jari sahaja. Memadai katanya. Awas.

Yang penting gosok gigi kena istiqamah. Makan pun kena jaga (kurangkan yang manis-manis ni). Jangan duduk layan Upin Ipin sambil melantak aiskrim Baskin Robbin 24 jam. Gigi rosak, pokai pun pokai. 

Teringat orang tua-tua dulu cakap. Kalau teh atau kopi yang dibuat manis (khususnya untuk bakal suami), maknanya cik awek yang buat ni manis. Hakikatnya, cik awek ni bakal meningkatkan risiko 'kencing manis' buat bakal suaminya. hak hak hak


'Kameha-meha' guna mulut. Terpelanting pencuri.


b) Badan

Part ni tak kurang penting. Lebih-lebih lagi bau badan. Kalau sikit-sakit tak apa. Masalahnya 'banyak-banyak' baunya. Mengancam jiwa. Boleh tertekan emosi.

Memang ada orang cakap, bau badan ada tarikan. Berkait rapat dengan sejenis hormon, feromon (ubat pengasih semula jadi, tak payah jumpa bomoh). 

Misalan, bau badan lelaki perempuan suka. 
Bau badan perempuan pula laki suka. 
Nyah?? (kesian nyah-nyah kat luar.. orang lain confuse nak suka bau badan diorang)

Tapi, agak-agaklah kalau sebab itu kalian tak nak mandi seminggu. Nak keluar feromon punya pasal, orang lain 'menyesal'. Yang penting mandi bukan mandi wajib kena konsisten.

Apapun, zaman sekarang semakin maju. Deodorant pun dah makin canggih. Ada macam lilin, ada yang sembur-sembur macam shieldtox dan ada hujungnya berbentuk bola-bola, boleh pusing-pusing. Minyak wangi pun usah cakap. Sila jangan bagi alasan tak ada duit nak beli. Benda wajib bai.

Tak ada maknanya kalau minyak wangi sembur sebotol TAPI seminggu tak mandi.

Sendiri punya, sendiri tak tahan.. Feromon sendiri, tak berkesan pada tuan badan.


c)Kaki

Bagi aku, part ni yang paling mengancam dasyatnya kalau tak jaga. Terutama bila balik kerja, bila balik joging, bila balik main bola, bila balik merentas desa, bila balik dating. Peluh memang tak ingat. Bau lagi tak ingat!

Kalau boleh, stokin yang dah dipakai itu dikhaskan. Jangan main bantai campur stokin pergi kerja dengan stokin joging. Lagi dasyat tak tukar berbulan-bulan. Kalah aroma belacan, durian, petai, jering semua. Ambi pure dah tak berapa pure. Kalau boleh, kerap tukar stokin. Lagi bagus kalau ada jadual khas tukar stokin. Hak hak hak
Stokin tidur?? atau stokin joging??

----------------------------------------------------------

Teringat aku masa sekolah berasrama dulu..

Aku bangga ada dormmate yang aktif bersukan, boleh kira macam Aidil Zaquan. Perempuan semua terpikat dengan mamat ni, ala-ala Zack Zukhairi (Sori bro, saja gua capub nama lu... jangan marah..)

Tapi yang sedihnya, bila balik bersukan tak reti jemur kasut. Terus bawa masuk dorm, sakali dengan stokin-stokin. Bau usah cakaplah, Ambi pure pun tak berapa pure dah. 

Nak dijadikan cerita, satu hari lepas dia bersukan dia terus mandi. Alkisahnya, entah macam mana kasut dia boleh 'berjalan' dekat katil aku. Kalau 'berjalan' seorang tak apa, ni sekali dengan 'cik stokin'.

"Gua tak tahan!" separuh menjerit di dalam hati.

Entah macam mana, aku mendapat idea nak sembur minyak wangi dekat kasut dan stokin mamat ni. Buka loker, kelihatan minyak wangi aku dah semakin nazak. Arggh!! Dengan kudrat yang ada aku menuju ke loker mamat ni.

"Wah, stok minyak wangi lu banyak der. Kalah stok minyak wangi Lisa Surihani" tersenyum aku sendirian.

Seperti lembu gila, aku menyembur minyak wangi mamat ni tepat dan jitu ke arah cik 'kasut' dan cik 'stokin' dia. Dah macam foging aku rasa. Puas hati. Tiba-tiba, terdengar bunyi seretan selipar. Naluri aku kuat mengatakan mesti mamat ni dah habis mandi.

"Woi Zik! lu guna perfume gua ek?" sapa mamat ni.

"Aah, aku pakai sikit. Halalkan ek??" anggukku sambil lap-lap muka. Nak cover ni.

"Hehe. No hal la. Pakailah. Aku tau kau dengki. Bau perfume aku tu best sangat kan???" 


Aku terdiam seribu bahasa. Kelu. Masa ini aku sedar, aku tak perlu terlalu jujur..... Hak hak hak

Macam ni lah lebih kurang kasut mamat tuh. Cuma, tak ada gigi.


**********

Kebersihan merupakan satu perkara asas dalam kehidupan. Hal demikian kerana kebersihan itu dapat membawa keselesaan dan kesejahteran pada persekitaran seterusnya membentuk masyarakat yang harmoni. Membudayakan amalan kebersihan ini perlu disemai dalam masyarakat bukan sahaja tertakhluk kepada hanya seseorang individu. 

Bermula dari kebersihan diri, keluarga seterusnya masyarakat. Pesanan bersama (Aku bukan bersih sangat pun. Tapi tak salahkan kalau kita nak jadi lebih baik??? Aku mengaku pernah buat sestengah perkara-perkara dekat atas. Hak hak)

Rasulullah bersabda,"Sesungguhnya Allah baik dan menyukai kebaikan, bersih dan menyukai kebersihan, murah hati dan senang kepada kemurahan hati, dermawan dan senang kepada kedermawanan. Kerana itu bersihkanlah halaman rumahmu dan jangan meniru-niru orang-orang Yahudi." (HR. Tirmidzi)

p/s: Tak guna kalau muka macam Brad Pitt, melaram baju Topman KALAU bau macam belacan (^_^)

Wednesday 9 November 2011

'Tuding JARI'

Celik mata, cuci mata. Buang gula batu dipenjuru mata. Terus bersiram, menuju ke lab dalam separa sedar.

Pening-pening, loya-loya dan sakit-sakit badan menerjah tubuhku. Sakit-sakit badan, letih adalah simptom biasa. Loya-loya dan pening juga simptom biasa. Hmm, aku.....??? Sila jangan mengarut. Aku lelaki, pe jadah aku pregnant. Celah mana datang ovum... hak hak hak

Simptom di atas biasa bagi manusia yang baru belajar pegang pisau dan parang. Bukan merompak atau membunuh. Tapi untuk sembelih lembu (baru baik sikit). Alhamdulillah, semalam selesai menyembelih dua ekor lembu bersama keluarga belah ayah. Bersungguh bagai, seronok. Sampai jari-jari bengkak melecet.

Masa anda baca entri ini, saya sudah tiada..

*********

Kelihatan, sepupu sepapatku masing-masing menunjukkan belang kehebatan menyembelih lembu. Masing-masing tak nak kalah. Confident mempamerkan softskill skil yang ada. Ada yang potong dengan pisau terbalik, ada yang mengapak tapi tak kena.

"Tak boleh jadi.." hatiku bersuara. Tercabar rasanya. Dari ekor mata, dua sepupu perempuanku menjeling kearahku sambil tersengih. Sinis.

 "Pi, meh sini aku tolong ko ceraikan daging kat rusuk tu". Pelawaanku pada sepupuku, Sopi. Lantas Sopi menghulur sebongkah kayu.

 "Ok, thanx pi." Terus melabuhkan punggungku ke atas bongkah itu.

Sayu-sayu suara Sopi "Err, macam tu eh.. Tak silaplah kan, bongkah tu duduk bukan bawah punggung manusia. Tapi bawah daging lembu."

Tepat, jitu, padu. Mahu sorok muka, padan muka.



*********


Sambil-sambil membelek jari-jemariku yang bengkak (kesan lapah daging korban), bermain di otakku frasa 'tuding jari'. Aku sure kalian semua pernah dengar.

Apa itu 'tuding jari'???

Bukan maksudnya angkat tangan, terus halakan jari telunjuk ke arah sesuatu. Jauh lagi bukan keluarkan jari hantu, hala sembarangan kemana yang diingini. Awas, kalau itu yang anda faham tentang tuding jari. 'Tuding jari' maksudnya menyalahkan orang lain. Tak semestinya jari perlu keluar (Jari boleh duduk diam-diam).

'Tuding jari'

Kes-kes biasa 'tuding jari'??

Bila mana kita tidak puas hati, protesnya dengan cara menuding jari. Contoh bila add math dapat markah kosong macam nobita, tuding jari pada cikgu. Cikgu mengajar bosan. Bila suami buncit, tuding jari pada isteri. Isteri pandai masak katanya. Bila isteri buncit, tuding jari pada suami. Bila kucing mati, tuding jari pada susu. Mana taknya, bagi susu Dutch Lady Full Cream. Terburai usus kucing.

Dutch Lady Full Cream. Berkhasiat untuk manusia sahaja. Jangan gatal-gatal bagi kucing.
Sayangi kucing anda.

*********

Pernah kalian menuding jari??

Pernah?? Tak baik tipu. Tersengih-sengih macam Upin Ipin tu, betulkan? Secara peribadi, semua orang tak pernah lari dari menuding jari. Aku sendiri pernah. Tapi yang paling kekal dalam kepala, masa tadika. Mimi, kawan setadikaku bertocang dua. Dua gigi depan tiada. Chubby-chubby sikit.

Alkisahnya aku dan Mimi bergaduh kerana sekotak pensel warna Stabilo.

"Eh,  Mimi tu kite punyer kaler. Awak curi. Awak macam Giant dalam cerita Doaemon (Doraemon). Tak boleh ambik!" Tegasku sambil menuding jari.

"Bukanlah kita punya. Mak kita beli kat kepoh (Carrefour)". Balas Mimi yakin.

"Tak peduli. Kita punya jugak, kita punya jugak". Tak menyempat aku cuba merampas pensel warna itu. Berlaku adegan tarik menarik diantara aku dan Mimi. Mimi tergolek dalam kesedihan akhirnya.

Sewaktu pulang ke rumah, ibuku memeriksa dan mengemas begku. Saling tak tumpah macam pegawai kastam. Takut-takut anaknya membawa pulang suatu yang tak mungkin. Mercun ke, pisau ke, barbie doll ke. Segalanya berkemungkinan bila di alam tadika. Tiba-tiba ibuku merenung kotak pensel warna Stabilo yang menjadi punca perkelahian aku dan Mimi.

"Ajik,ni siapa punya?" Ibu bertanya.

"Ajik punya". Jawabku yakin. Sedikit mengada, angkat-angkat kening.

"Kenapa ada nama Mimi belakang ni??" Ibu membalas.

Hmm, kalaulah aku sudah boleh mengeja dan membaca masa itu.... Kasihan Mimi dituduh melulu. Ingat, bukan anda seorang sahaja di Malaysia, mempunyai pensel warna Stabilo.


Memori lama, guna pensel warna Swan. 

*********

Pernah kalian di'tuding jari'??

Bagi aku, perasaan di'tuding jari' amatlah sakit apabila kita tidak melakukannya. Aku? Semestinya pernah di'tuding jari'. Yang paling melekat di ingatan, semasa aku berada di tahun dua di UPM, 2009. Sewaktu kelas Genetik.

Suasana tenang dan damai ketika kelas Genentik. Antara dua, samada faham atau student mengelamun ingat mak, ayah, makwe, pakwe di kampung. Suasana yang damai ini membuatkan pensyarahku lebih bersemangat.

"Proot.."

Apakah bunyi itu?? Bunyi yang memecah kesunyian kuliah. Enam harakat. Sengal. Siapa kentut??!! Tidak tergambar perasaanku. Perut nak pecah, mulut dah kembang kuncup nak terbarai gelak.  Tapi tengah kuliah ni. Tahan! Kawan-kawan sebarisku usah cerita ada yang dah terbarai gelak. Masing-masing me'nuding jari' ke arahku, "Kerja kau!". Gila.

"Apa hal dekat belakang tu?? Seronok ke saya mengajar??" Pensyarahku mula bersuara. Matanya terjegil. Semua terdiam. Ikutkan hati, mahu diberitahu kejadian yang berlaku. Sesuaikah??? Hadiahnya, nah longgokan assignment. Tahniah semua. (^_^)

Di luar kuliah, aku di'bahan'. Menjadi suspek utama kejadian. Apapun aku tahu classmate aku bergurau. Tak ada kerja, bahan aku. Walaupun, hakikatnya aku dapat rasa amoi cina depan aku yang buang angin. (-_-")

Mungkin itu balasanku menuduh Mimi mencuri pensel warnaku sewaktu tadika...

Dilarang kentut sewaktu kuliah. Dikhuatiri mengganggu emosi pelajar.

*********

Bahana 'tuding jari'

Tuding jari kini umpama satu kebiasaan. Didada-dada akhbar, di kaca tv dan seangkatannya (tak nak ulas panjang). Tindakan yang ringkas. Tetapi membawa kesan negatif dalam perhubungan sekiranya tidak diselidiki. Dengan menuding jari (walaupun satu jari, tak perlu dua mahupun tiga, empat, lima dan enam) persengketaan akan wujud. Masa itu, mulalah putus cinta, putus tunang, putus leher, putus kepala dan sebagainya. 

Lebih dasyat sekiranya habit me'nuding jari' ini bertukar kepada fitnah. Salah satu sifat mazmumah, bukan masmonah yang lebih teruk dari perbuatan membunuh. Yang mana, yang dituduh tidak bersalah dan terus menjadi satu keaiban dan keburukan buat yang tertuduh.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang suka memfitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi untuk mengurangkan habit me'nuding jari', perlulah kita bersangka baik. Lebih baik muhasabah diri terlebih dahulu kerana kita manusia biasa. Kadang-kadang kita tidak sedar (walaupun sebenarnya sedar atau separa sedar) yang salah itu datangnya dari diri sendiri. Pesanan bersama.

"Apabila satu jari kita tujukan, berpuluh-puluh jari akan datang kembali pada kita".

p/s: Sering menyalahkan katak bila hujan turun. Tapi tak sedar populasi 'katak' jelmaan manusia (yang karok tak ingat dunia) lebih tinggi. Umpama 'kentut' tapi tak 'mengaku'. (^_^")