Sunday 12 May 2013

Mama

Pagi itu, tenang. Langit gelap kian terang.

Postur badan kubengkokkan sedikit. Menggapai sepatu coklat lusuh, kusarung kedua belah kaki.

Tangan ibu ayah, kugenggam erat, kucium. Mohon restu.

“Ajik, dompet bawa tak? Handphone bawa tak? Duit ada tak?” Soalan keramat ibu, hingga kini.

Dari kejauhan, kulihat ibu melambai. Kuamati wajah ibu. Redup.

*****

Tanggal 28 Julai 1988, lahir seorang anak kecil.

Si ibu menjaga anak kecil itu, dengan penuh kasih dan sayang.

Kata si ibu;

“Dia seorang yang pendiam, manja dan sangat berahsia dalam keluarga”.

“Kecil-kecil susah nak bangun pagi, sampai masuk tadika. Kena dukung, angkat dan mandikan. Kadang-kadang, kencing bersepah atas katil”.

“Sebelum pergi sekolah, kena bagi susu. Susu bukan dalam cawan, dalam botol. Sampai darjah 6”.

“Tiap-tiap malam sebelum tidur, kena dodoi. Kalau tidak, mengigau cari bantal busuk. Dia tidur mesti kena pakai stoking Kiki lala”.

“Kalau demam, dia boleh telan ubat air. Kalau pil, semahu-mahu dibelah lapan, dihancur bersama air”.

Terserlah akan kemanjaan anak kecil itu.

*****

Istilah ‘kecil’ itu kian kabur, dibawa arus masa, hingga kini sudah dewasa.

Padat dalam berjuang memandu menentukan hala tuju.

Kata si ibu;

“Belajar bersungguh-sungguh nak, kerja baik-baik”.

“Dia semakin sibuk, sehari nak berbual dengan mama pun jarang. Balik kerja, masuk bilik”.

“Dulu kalau ke mana-mana, selalunya dia ikut. Bila sibuk, mama tak nak ganggu”.

“Sempat ke mama nak tengok bakal isteri kamu?”

Sayu.Menilik-nilik, siapakah gerangan si anak itu?

Itulah aku, Ajik. Si anak yang sering membuat hati ibu terusik.

*****

Hampir 25 tahun, menongkah arus kehidupan.

Acapkali aku berfikir akan persoalan ini. Persoalan yang berungkai ;

Apakah budiku buat ibuku? Apa sempat aku menabur bakti buatnya? Di ‘sini’ dan untuk di ‘sana’ ?

Mampukah aku menjaga, menyayanginya seperti mana dia menjaga dan menyayangiku?


“Selamat Hari Ibu, mama. Tiap-tiap hari adalah hari ibu. Ajik sayang mama, terima kasih mama”.

Dedikasi buat mama, Hajah Rabiah Moktar.





p/s: Gua jenis pesen malu-malu kalau nak ucap selamat hari ibu takpun birthday. Pagi tadi gua tergagap-gagap, terkebil-kebil, terkentut-kentut nak ucap masa mama gua tengah masak. Kena tengking, baru wish. Perghh, terabur wish gua! haha