Sunday 22 January 2012

Si jejaka dan telekung

Kelmarin menemani teman karibku, seorang jejaka mencari keperluan asas wanita. Pelik, gila. Bukan keperluan harian wanita, tetapi keperluan di atas dulang hantaran. Bila mana detik ijab dan kabul menghampiri, beliau ke sana ke sini mempersiapkan diri, bakal ditabal raja sehari.

Ungkapan dialog dari si teman karib ketika berhajat mengintai beg tangan Sembonia berlari-lari anak di minda “Hai Sem, Bonia ada??”. Aku terpaku, kaku, beku. Tidak berkudrat untuk menjawab.

Maaf sahabat, soalan kau susah yang amat. Memerlukan fakta yang konkrit dari pihak Sembonia.

*********

Mentari kian meninggi. 180 darjah meninggi di atas kepala. Perut berkeroncong dalam sendu, menyanyi ketika lapar. Suara dahaga kian mengundang, mencari lubuk makan.

Mu nak makan mana Ghazik??” Dialek teman karibku, anak jati Terengganu. Lidahnya tidak mampu bergetar seperti insan biasa tika melontar sebutan aksara R. Aku akur setelah beratus kali gagal mendidik si teman untuk menyebut aksara R. Moga kau lancar ketika melafaz akad terutama bila menyebut nama si bakal isteri.

“Aku tak kisah. Mana-mana boleh. Sup UK (urat keting) ada, nasi ayam penyet Wong Solo pun ada”. Respon ringkas buat si teman. Mengharap beliau tidak mengkaji susur galur nama Wong Solo.

“Dekat sini, mu tahu tak kedai jual telekung?”. Si teman kembali berbicara, bila mana tiba di lubuk makan Wong Solo.

“Celah mana kau nak pakai telekung sahabat. Ketayap jauh beza dengan telekung. Jangan kata kau mahu tukar jantina”. Hati bermonolog sambil diiringi derai tawa kecil. Sedikit nakal. Lupa, si teman mahu mencari barang hantaran buat si bakal isteri.

Telekung buat si isteri.

*********

Senyum dan sapaan dari pembantu kedai telekung Siti Khadijah disambut mesra oleh aku dan teman.

“Cari telekung encik? Pakai saiz apa?”. Pertanyaan si kakak pembantu kedai itu mematikan akal.

“Saya tak pakai telekung kak.” Jawapanku sedikit loyar buruk, bagai dahagakan penampar dan penerajang. “Saya teman kawan saya kak. Dia cari telekung buat hantaran”. Sambung bicaraku.

“Itu akak tahu, kamu memanglah tak pakai telekung. Lelakikan? Ingat kamu yang nak kahwin”. Balas si kakak pembantu kedai, pedas. Ada hati nak duga aku. Mungkinkah disebalik bait-bait itu tersirat niat  nak mengorat dan mencaras aku? Maaf, perasan.

“Telekung ini ada tiga saiz adik. Saiz S, M da L. Saiz telekung ikut saiz muka”. Sambung si pembantu kedai, sambil diperhati teman karibku. Teruja aku mendengarnya.

Pertama kali melibatkan diri dalam pembelian telekung, pelik juga bila mana saiz telekung bergantung saiz muka. Kalau muka tembam tak ingat, maka saiz L jawabnya.

Mu rasa tunangmu pakai saiz apa??” Tanyaku buat si teman.

“Entah. Aku dok pasti. Mu rasa Lia pakai telekung saiz apa?? Balas temanku sambil mengeluarkan gambar tunangnya yang bersaiz pasport dari dompet. Aku keliru. Apakah saiz muka di gambar passport bisa dizahirkan di alam nyata?? Hak hak

Mu tanya aku?? Mu silap besar. Kalau mu tanya muka Neelofa, aku confirm S. Pergi telefon Lia.” Cuba memberi solusi buat si teman. Setelah 30 minit si teman berbincang dengan tunangnya melalui rangkaian panggilan telefon, maka saiz M menjadi pilihan hati.

Kami berlalu pergi dengan pantas, tidak tahan dikerumuni kaum hawa memandangkan ketika itu hanya kami berdua kaum Adam. Terasa hot.


Kedai telekung yang kami kunjungi, sekitar Bangi.

**********

Bagiku, telekung yang dijadikan hantaran tika perutusan dulang raja sehari adalah antara hantaran yang terhebat buat si isteri. Mungkin harganya paling rendah berbanding hantaran yang lain seperti kamera DSLR, Samsung Galaxy Note, baju Zhang Toi mahupun jenama Dorothy Perkin tetapi nilainya adalah antara yang tertinggi.

Simboliknya hantaran telekung membawa maksud yang tersirat. Mengingatkan si suami agar mendidik si isteri akan tanggungjawab pada-Nya.

Moga telekung hantaran itu tidak sekadar hiasan dengan kekal berbentuk ‘kipas’, mahupun ‘bunga’ sehingga ke anak cucu, tetapi disarung si isteri selagi mana bisa dipakai tika menghadap-Nya. 

*********

Buat teman karibku, Ahmad Fikri Samsudin (rakan seperjuangan di universiti dahulu), selamat melayari bahtera perkahwinan. Moga berkekalan ke akhir hayat.
Jadi suami yang baik dan setia, tidak perlu bermain kayu tiga melainkan kayu golf.

Harapan aku satu sahaja, moga kau dapat praktis sebut R dan berjaya sebut R sebelum lafaz akad. Takut tersasul sana sini sebut nama bakal bini. Perlu juga diingat, mu bukan Lisa Surihani. 

p/s: Bagi gua kawan yang sejati adalah kawan yang sanggup menemani  kawannya membeli barang hantaran, terutama barangan untuk kaum hawa. Masa itu, citarasa membeli pun dah macam kaum hawa. Sikit-sikit pink. (^_^)



Monday 16 January 2012

Burung Biru si Pemalu

Mata berpinar. Pening, migrain lagaknya. Terasa bagai kepala dihentak-hentak dengan senaskhah Kamus Dewan edisi baharu.

Satu persatu patah kata didada jurnal cuba dihadam.

Buntu dikala mencari ilham mencoret tesis. Sekali-sekala fikiran melayang ke masa yang mendatang. Terbayang, bila mana pinanganku di terima Neelofa (atau nama manjanya Lopa) dengan seukir senyuman.

Berharap Neelofa melemparkan secebis pujian buatku. “Comelnya abang Razik. Lopa suka. Macam Aaron”. Pelik kenapa Lopa  tidak bersuara. Hanya senyuman dan sedikit anggukan.  Apa dia bisu?

Berangan. Itu hanya angan-angan. Lumrah manusia melebihkan luaran, hingga terbawa ke dalam angan-angan.


Kamus dewan, teringat zaman sekolah dulu. Dulu warna hijau.

*********

Dikala minda diapit angan-angan jelmaaan syaitan kiri dan kanan, sepuluh jari tangan kiri dan kanan ligat menari di atas papan kekunci komputer riba. Membelai burung biru yang baru menetas. (Burung biru ini merujuk pada laman sosial twitter)

”Diha, janganlah tengok Pok Cu tweet-tweet. Pok Cu malu. Nanti Pok Cu babab”.  Sergahku buat Diha, anak buahku. Cukup untuk Diha memahami ayah saudaranya seorang yang pemalu.

”Kau ni Ajik. Celah mana pula Diha nak baca tweet-tweet kau. Diha baru 17 bulan, belum 17 tahun. Alif ba ta pun belum tentu dia kenal. Apa lagi nak baca tweet meroyan kau”. Sergah ayah Diha, abangku. Pedas, seperti mee Ruski perisa Tom Yam.

Diha tersenyum lebar sambil mengeluarkan bahasa bayinya. Barangkali maksudnya “Padan muka! Malu konon”.

Diha, si mata bulat.

Diakui aku seorang yang pemalu sedari dahulu. Bila berjumpa rakan baru, mulut tertutup, gerakan lidah terbantut. Satu perkataan umpama setimbun emas. Mungkin persepsi mereka yang baru, aku bisu sempurna, hingga bahasa isyarat diguna.

Teringat kata-kata ibuku, 18 tahun dulu.
”Ajik janganlah malu sangat, nanti tak ada kawan. Ajik bukan tak ada lubang hidung, bukan tak ada mulut. Comel pula. Nak malu buat apa? Nanti awek tak ada. Malu itu biar pada tempatnya”.

**********

Malu tika bertanya soalan dikhalayak??

Malu tika tayang ’buah-buahan segar’ di tubuh sendiri??

Malu bila mana mahu mengorat??

Malu untuk bermaksiat??

Malu untuk melihat betis dan paha montok si ayam betina?

Malu bila mana mahu menegur salah??

Malu bila kentut terlepas masa window shopping??

Abang atas pun malu bila tengok wanita garang dan seksi.

Malu itu suatu yang subjektif. Perlu difahami, perlu diselami. Malu ada baiknya, ada juga buruknya. Pada satu sisi, malu merupakan perisai buat diri yang masih belum cukup terisi.

Bila mana dihidang dan ditayang ’buah-buah’ segar pada tubuh, serta paha dan betis yang montok persis kucing parsi, apakah kita akan menerima seikhlas hati? Umpama sembelit, diberi Chi Kit Teck Aun.

Malu itu solusinya, buat yang menghidang dan yang dihidang.

Malu untuk menegur salah, malu bertanya soalan? Fenomena yang cukup lali, aku tidak terkecuali. Dalam menuntut ilmu, tiada terselit erti malu. Ilmu itu milik-Nya, tiada hakcipta terpelihara. Salah bertanya tiada rugi, melainkan tidak bertanya. Umpama tersesat jalan ke lorong Haji Taib.

Malu pada diri? Itu sudah pasti. Disana nanti, ia bisa menjadi saksi.

**********

Hakikatnya, malu itu bisa menjadi perisai buat diri, juga penyakit buat diri. Gunalah sebaiknya agar bisa memerangi nafsu diri. Macam ubat painkiller, sikit-sikit bunuh sakit, banyak-banyak bunuh diri.

Perlu difikirkan, kebanyakan rasa malu itu lahir hanya kerana manusia tapi bukan kerana-Nya. Depan manusia berserban. Dibelakang, gigih mencari ibu ayam untuk dikorban. Manusia tidak lihat, tetapi Tuhan melihat.

Malu pada-Nya.

Sesungguhnya Dia Maha mengetahui. Malulah kepada-Nya...

Peringatan bersama. Aku bukan baik sangat, tapi tak salahkan untuk mengingat?? Aku juga insan biasa, tidak lepas dari dosa.

p/s: Gua paling loya bila dengar dialog ini dalam cerekarama, “Malulah I. Mana I nak letak muka I??”. Muka dah memang dekat kepala, tak payah gatal-gatal nak alih letak dekat punggung atau dekat lutut. Lain jadinya. (^_^)



Monday 9 January 2012

Hukum mandatori?

Alkisah ceritera Sood dan Abon, sahabat karib. Tidak ubah bagai isi dan kuku.

Seperti kebiasaan, Sood dan Abon melangkahkan kaki ke gedung ilmu bila mana tirai malam Selasa mula tersingkap.

Mereka adalah pelajar kesayangan Cikgu Neelofa, guru subjek sains darjah enam.

Uniknya kelas tambahan malam ini hanya disertai dua orang pelajar. Istimewanya dua orang pelajar ini mempunyai keyakinan yang tinggi membina, walau usaha entah ke mana. Masih berpotensi untuk dibentuk.

“Bon, kenyang perut aku. Makan masakan air siku mak aku”. Sood memulakan perbualan 5 minit sebelum kelas bermula.

“Od, air tanganlah sengal. Ujian dah dekat. Air tangan pun silap. Jangan nanti, bila ujian kau jawab air kaki. Menangis cikgu BM. Mak kau masak apa Od? Balas Abon, sinis.

“Mak aku masak sambal petai udang Bon. Sedap, terangkat punggung Bon”. Sood menjawab yakin. Mimik mukanya sudah cukup menggambarkan.

Abon dan Sood macam Upin dan Ipin.

**********

ketak, ketak,ketak..”

Bunyi hentakan kasut Cikgu Neelofa adalah signal kedatangannya. Boleh kata, dari jarak 100 meter sudah mampu mendengar hentakan kasut tumit tingginya.

Cikgu Neelofa, adalah guru yang digilai di sekolah. Personalitinya lemah lembut dan pakaiannya yang sopan memukau jiwa. Ditambah seri dengan tudungnya yang ala Hana Tajima. Menjadi igauan bujang, duda dan insan perasan muda.

Suasana kelas berjalan lancar, tenang di kala angin sepoi-sepoi bahasa. Sood dan Abon diberi masa meluah ilmu yang dicerna dengan membuat latihan di pertengahan kelas.

Tidak sampai 5 minit, sesuatu yang aneh terjadi. Angin sepoi-sepoi bahasa itu tidak semena-mena mengganas bertukar persis angin sampah. Boleh kata angin puaka.Angin puaka itu terus menusuk hidung Sood, Abon dan cikgu Neelofa.

“Od, ada bau longkang tak? Kau buang anginkan?? Bau sampah”. Dugaan Abon yakin.

“Mana ada Bon. Aku tak buang pun. Janji”. Jawab Sood menepis dugaan itu.

“Aku tahu kau tipu Od. Aku tak tahan. Kau tipu. Kau tipu. Kau tipu…”. Abon terus menghukum Sood, hingga wujud bibit pertelingkahan.

Keadaan menjadi getir. Namun, berjaya ditenangkan oleh Cikgu Neelofa. Ceritera terpadam disini, rekaan semata, tiada kaitan dengan sesiapa.

Persoalannya,

1) Apakah hanya kerana ketaatan Sood memakan masak sambal petai ibunya, membuatkan Abon terus menuduh dan menghukum Sood yang membebaskan angin puaka itu?

2) Siapakah tuan punya angin puaka itu? Cikgu Neelofa?

Angin puaka siapa?? siapa???

**********

Tali gantung bukan macam tali rafia.

"Wanita itu buncit sebelum bernikah, dikatakan mengandung sebelum nikah. Sedangkan wanita itu buncit terlebih makan. Teruskan menghukum".

"Ketiadaan zuriat, suami dikatakan patah pucuk, isteri pula bendul dan mandul. Teruskan menghukum".

"Anak jiran berulang kali gagal Matematik tambahan, corot. Dikatakan bodoh dan tidak mampu berubah. Teruskan menghukum."

Menjadi satu kebiasaan buat makhluk bergelar manusia menghukum. Aku juga tidak pernah terlepas dari kebiasaan ini. Hanya bumi bisa menjadi saksi pada kebiasaan makhluk ini.

Diri sendiri dianggap serba tahu, suci, sempurna dan jelita seperti Yuna. Bila mana insan keliling tersilap langkah jatuh tersungkur, tali gantung dicapai, dijerut pada yang tersungkur.

Diherdik, dikeji, dicaci. Hina sehina-hina manusia, bagai yang jatuh itu tiada seurat benang maruah. Baikkah namanya? Rasukan ablasa penambah bisa.

Perkhabaran aib disebar dan dicanang. Aib dibuka, dengan terbuka. Warkah maya, warkah nyata penyebar duka. Berpaksikan keuntungan semata.

Tiada peluang kedua, tiada ungkapan nasihat.

Sedarkah?

Itu satu ujian dari-Nya buat mereka. Kita tiada dikerusi mereka.

Mungkin suatu hari kita di tempat mereka. Atau sebenarnya kita sedang ditempat mereka, cuma kita berlagak sempurna!

Benar, yang benar tetap benar, dan yang salah tetap salah. Halal tetap halal, haram tetap haram.

Lontar nasihat buat mereka yang melangkaui sempadan dan batas agama secara hikmah. Nasihat itu satu tanggungjawab, bukan menghukum sana dan sini.

Kirimkan doa juga buat mereka, agar mereka peroleh hidayah dari-Nya. Petunjuk buat mereka.

Jangan terus menghukum di dunia sementara, sedang bakal dihukum di alam hakiki sana. Semak dan nilai amalan sendiri terlebih dahulu. Senantiasa berprasangka baik membawa kita ke arah yang lebih baik.

Muhasabah bersama, buat aku yang sering lupa dan teman-teman sekalian.

p/s: Perut gua kecut bila tengok drama yang ada hukum gantung. Nak dibandingkan dengan hukuman di sekolah masa budak-budak dulu, sekadar senggol-senggolan cubit-cubitan, ketuk ketampi, tak pun penampar sikit-sikit. Paling dahsyat pun gua rasa sebat di punggung, itu pun bukan cemeti, tapi pembaris kuning panjang. (^_^)

Wednesday 4 January 2012

Dahulu itu..

Kalendar lipat empat segi ditatap. Mata empatku lebih tertumpu pada angka 2012. Umur bertambah satu, hayat berkurang satu.

Pantas masa berlalu. Bukan masa yang mengejar kita, tapi kita yang mengejar masa persis seorang pelumba lari negara.

Dahulu, mungkin berlumba lari hanya diperingkat tadika mahupun taska, kini anjakkan diri bersama ibu, ayah, anak buah, anak makcik sebelah, juga Neelofa ke perlumbaan yang lebih matang.

Mungkin tahun 2012, bateri lama bisa ditukar. Dahulu guna bateri cap Hup Seng, tahun ini bisa ditukar bateri Energizer jenis cas semula, bukan pakai buang.

Hup Seng adalah jenama biskut. Bukan bateri. 

Yakin 2012 adalah tahun yang lebih mencabar. Bakal berperang dengan tesis, bila mana turut 'dipaksa' melahirkan senaskhah warkah penyelidikan di masa mendatang.

Diakui 2011, tahun dugaan, tahun cabaran. Pendek cerita, tahun Ombak Rindu, dihiasi suka dan duka.  Pertengahan Oktober 2011, blog picisan ini juga dilahirkan di mana aku adalah ayahnya. Ibunya? Belum jumpa.

Ujian dalam persahabatan serta dugaan dalam diri dan keluarga yang bertalu. Di penghujung hayat 2011, dugaan hati yang amat sukar dimengerti. Cik ibu terlantar sakit. Menguji kekuatanku sebagai seorang anak seraya mendidikku mengenal erti sebenar sabar dan tabah.

Anak kucing juga tahu sayang akan ibunya, sebaliknya juga. Manusia?

Aku yakin setiapnya berhikmah. Dugaan itu satu lumrah adalah satu teori hidup yang kupegang. Takkan hidup hanya mahu manis persis Big Apple, pahit dan masin pula hanya pada ikan masin mak cik Temah.

Boleh bayang, kalau budu hanya rasa manis tiada rasa masin? Betul tak kak Misha? Sambil kaki angkat-angkat kedepan, di kala tangan giat menukar gear.

Didalam kesulitan itu, diselitkan juga untaian kegembiraan dan kesenangan. Aku yakin pada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengasih, Maha Bijaksana.

Azam?

Dahulu, mungkin berbelas-belas muka azamku, hingga boleh bikin sebuah komik Sin Chan. Tidak cukup berbelas muka,masuk sekali muka buku buat tatapan. Mahu semua tahu, konon artis.

Tapi kini, cukup sekadar mengitar semula azam yang lalu. Bukan tiada hala tuju, cuma risau akan keliru arah mana harus dituju. Risau salah jalan, rempuh divider.  Khuatir juga tidak berpijak di bumi yang nyata, hanya berpegang pada azam Mat Jenin yang buta.

Mat jenin bila di puncak dah tak tahu nak turun mana? Terjun!

Soal jodoh? Soal siapa?

Berserah pada-Nya. Dulu terdesak mencari burung merpati ala-ala Nora Danish, tapi  kini membawa hati. Mungkin lebih dramatis bercinta selepas berkahwin. Soal calon? Ada borang, boleh mohon. Maaf, teruja sikit.

Mereka diatas adalah suami isteri.

Aku?

Dahulu, mungkin terlebih hingus-hingusan, mungkin kini ‘hingus’ itu kian mengering. Telan Panadol Soluble berkotak, usaha rawat. Berharap juga, agar aku bisa menjadi anak yang taat buat cik ibu dan encik ayah, serta teman yang baik buat sahabat nyata dan maya.

Moga, jiwa aku lebih besar, lebih tabah agar tidak mudah rebah di masa mendatang.

p/s:  Dulu gua suka kentut bersepah, tapi kini gua mahu jadi jejaka sopan. Kalau terdesak, gua akan peram, gua tahan. Gua risau saham gua jatuh, kalau kentut gua berterusan bersepah. ‘Kentut’ disini membawa maksud marah. (^_^)