Tuesday 18 December 2012

Buku & aku

Terpana.

Garu kepala.

Kiri, kanan, depan, belakang.

Serigala tidak ditemui,

Hanya naskhah-naskhah buku dijumpai.

Big bad wolf book sale 2012”.


Luas.

Sana sini manusia.

Juling-juling mata, kembang-kembang hidung tatap buku.

Tangan penuh.

Pegang anak, pegang suami, pegang buku. Khusyuk.

“Eh. Ini bukan anak saya. Silap.”


Terkedu aku.

Lihat jam tangan.

Sudah 180 minit.

Tangan masih kosong.

Hati hiba, bernyanyi irama ‘kosong’.

“Kosong, kosong, kosong.”


Pantas.

Sambar buku sana-sini.

Lihat kulit, lihat tajuk.

Kalau cantik, cun, sambar.

Naskhah buku kenal nombor, aku sambar.

Bukan untuk aku.

Bukan, bukan, bukan.

Untuk Dina, untuk Diha.

Anak-anak buahku.


Tiba di teratak bonda.

Bonda kata, “Banyak buku Ajik. Bila nak baca?”

Aku jawab, “Bila-bila mama.”

Bonda tanya, “Buku mama?”

Aku jawab,“Nak beli buku resepi. Tapi.. Tapi..”

Bonda tanya, “Tapi apa?”

Aku jawab, “Ada resepi pork.”



















*****

Pilih buku bersandarkan ‘rupa’ dan ‘isi’nya.

P/S: Gua memang semangat masa nak borong buku. Macam borong cikedis. Bezanya borong cikedis, gua kunyah telan sampai habis. tapi borong buku simpan dalam almari tunggu anai-anai kunyah telan. Jangan jadi macam gua.:’(

Apapun gua dah khatam buku 1,2,3  yang gua mahu bagi anak buah. :’)

Thursday 13 December 2012

Ceroboh

Beberapa minggu lepas..

Langit cerah. Melihat dari sisi tingkap kaca.

Jam dinding berwarna merah menunjukkan jam 9.

Membersih-bersih muka, membuang ‘gula’ yang bertaburan di celah-celah mata juga di penjuru bibir. Bersiram mewangikan diri,melunas hajat yang terpendam.

Menuju ke Kuala Lumpur Writer and Reader Festival (KLWRF) bersama teman-teman.

Mematikan keinginan untuk memandu sendiri. Trauma akan kepadatan jalanraya yang mampu membunuh jiwa-jiwa yang riang gembira. Bersepakat menaiki pengangkutan awam, LRT Rapid KL.

“Pergh, berkurun gua tak naik. Excited!”

*****

Meninggalkan kereta temanku di TBS (Terminal Bersepadu Selatan). Mencari-cari arah menuju ke kaunter LRT.

“Beli tiket dekat mesin sajalah. Baru macho.” Tersengih sendirian. Merapati mesin tersebut, sambil ditemani temanku.

“Eh, touch screen. Ketinggalannya gua. “ Bertutur dalam hati. Cuak diketahui temanku.

Meraba-raba skrin mesin. Mencari-cari arah ke stesen Masjid Jamek.

“Mana? Mana?” Sedikit berpeluh. Gelabah, melihat manusia-manusia lain beratur dibelakangku.

Pelbagai reaksi, juga riak muka. Masam, senyum, sedih, juga yang tiada perasaan.

Kting-kting

Token plastik biru keluar dari mulut mesin.

“Eh, mana tiket??”

Aku dan temanku berlalu pergi, menuju ke kenderaan panjang itu.


















*****

Sekitar jam 11 pagi, tiba di KLWRF. Lokasi berhampiran Perpustakaan Kuala Lumpur.  

Kelihatan penulis-penulis menyusun buku-buku mereka.

“Seronoknya. Bilalah gua nak ada karya sendiri.” Aku berangan-angan.

Meronda-ronda sekitar pameran. Mencari-mencari buku. Menggila.Satu demi satu buku kucapai.

“Ajik, kira berapa buku kau ambil. Kira berapa duit keluar. Tak pasal-pasal balik naik ‘Rapid’ kaki.” Hati berbisik.

Adakalanya melihat-lihat kalau ada ‘bunga-bunga’ yang boleh djadikan calon isteri. Kebanyakan ‘bunga’ itu bersama ‘kumbang’ hati mereka. Hampa.

Sempat juga melakar pertemuan. Berjumpa beberapa temanku, merangkap penulis muda yang hebat.

Terasa kerdil.

*****

Puas meronda. Aku dan temanku beransur pulang. Menaiki ‘kereta’ panjang itu, menghala ke stesen LRT TBS.

Agak ramai umat manusia. Bertempur sesama sendiri. Mak cik-mak cik, pak cik-pakcik, amoi-amoi, bangla-bangla. Padat.

Membawa token biru itu sebagai pas masuk pagar elektronik. Digenggam erat. Beratur di belakang temanku. Menunggu giliran memasukkan syiling itu.

“Okey, gilaran gua. Yakin boleh!”

Token biru itu dimasukkan ke dalam mulut pagar elektronik. Akan tetapi, pagar itu tidak terbuka.

Melihat temanku yang sudah melepasi pagar durjana itu, melihat manusia-manusia beratur dibelakangku, amoi seksi yang betul-betul rapat dibelakangku.

Aku panik. Tergugat pandangan mata.

Demi mengawal keadaan, aku bertindak berani. Melangkah pagar durjana itu.

Terlepas.

*****

“Encik, kenapa lompat pagar itu? Kami boleh dakwa encik menceroboh kawasan LRT. Kenapa tak maklumkan pada saya di sini tadi?”

Aku terdiam, kaget. Ditahan ditepi pagar durjana itu.

Mendengar tazkirah pengawal keselamatan LRT, dari aksara A sehingga Z.

Melihat mata-mata lain memandangku.

Hati renyuk.


















*****

Dalam apa jua keadaan, kita harus berfikir.

Berfikir secara rasional, tenang dan damai.

Diselaraskan dengan tindakan.

“Bertindak melulu, bisa buat hati pilu”


P/S: Gua amat sedih hari itu. Gua mengambil keputusan untuk memerap dalam rumah seminggu tanpa keluar-keluar. Bukan apa, gua nak naikkan saham gua yang jatuh menjunam sekelip mata itu.

Wednesday 5 December 2012

Cermin

Lihat-lihat.

Aku, meratap cermin.

Atas bumi nyata.

Hapus dongeng puteri salju.

Siapa lagi macho?

Siapa lagi cun?

Khurafat.


Menghitung bilangan,

Kepala putih,

Kepala hitam.

Tidak pernah sejiwa.

Pergi kau! Pergi.


Membilang tahi lalat.

Sana sini, meriah.

Pinggir bibir, bawah bibir.

Tepi mata, bawah mata.

“Eh, bukan tahi lalat. “

“Tahi mata.”


Membelek-belek lagi.

Jari runcing dalam hidung.

Pusing-pusing. Tarik.

“Apa yang comel dekat jari??”


Meratap dan meratap.

Hitung helaian rambut.

Atas bibir, bawah dagu.

Tebas mana perlu.


Terus merenung.

Dalam dan dalam.




Aku, manusia tipikal.

Acapkali akur pada luarnya.

Kenapa kurang teliti pada 'dalam'nya?


“Apa aku yang lupa akan terus alpa?”


*****


Cermin memantul cahaya tersirat di sebalik jasad tersurat.

Aku perlu 'cermin' diri.





















P/s: Adakala gua suka duduk menung depan cermin. Masa itu gua buat muka pelik-pelik yang gua suka. Muka sedih, muka gembira, muka comel, juga muka muncung-muncung trend adik-adik sekarang bergambar. Haha.

Thursday 29 November 2012

Lima sekawan

Mendongak ke langit.

Biru, indah, damai.

Memerhati sekawan burung. Terbang bersama.

Minda bermain dengan ceritera lalu.


*****

Lima sekawan.

Bermula kiri Ajik, Oman, Yie, Jamir, Wawan.
















Lima sekawan ke kota Melaka.

Mahu berburu.

Terkandas, silap pada tempatnya.

Hanya melihat-lihat.

Mendengar 'makhluk-makhluk' itu berkata-kata.



















Lima sekawan,

Turut memburu cinta Hang Li Po.

Hampa.

Hanya amoi-amoi seksi yang masih wujud.

Berkeliaran di sebalik naga batu itu.



















*****.

Lima sekawan, bermain-main di tepi pantai.

Merehatkan jiwa, hiruk pikuk kota semalam.

Tenang disapa angin bayu.

Mencari-cari ranting kayu.

Dicoretkan nama pada taburan pasir halus itu.

Umpama baru belajar mengeja dan mengira, satu persatu.



Lima sekawan, riang gembira.

Melompat-lompat memandang awan, hajat menggapai dahan.

Malang tidak di duga, ada yang tergolek juga.

Deraian tawa beserta air mata bergema.

Demonstrasi 'jatuhan' beramai diadakan.

Tanda sokongan.



















*****

Lima sekawan, mengidam dalam gembira.

Mengidam goncangan kelapa Klebang.

Tidak 'take away'.

Bertapa, santap bersama di dalam keramaian itu.

Melunaskan unsur dahaga dalam jiwa.

Dahaga itu dimatikan, walau seketika.



















Lima sekawan, menunaikan tanggungjawab hakiki.

Memohon restu, doa.

Di rumah besar, di atas air ‘Selat’ itu.

Bual bicara bersama, soal jodoh, soal anak, soal potongan jeans.

Sebelum beransur pulang.

Berjuang, menggapai cita-cita.


*****

Lima sekawan, akrab.

Sendu di titik akhir itu.

Persahabatan maya dijelmakan pada dunia realiti. 

Tidak mustahil.

Ukhwah itu indah.


p/s: Gua rindu nak jumpa member-member tadika gua dulu. Cuma gua tak pasti kalau gua jumpa mereka, mereka kenal gua lagi atau tidak. Sebabnya dulu gua comel, sekarang tidak! haha

Sunday 25 November 2012

Tulisan merah

Tiga hari lalu.

Tenang pagi itu. Dingin.

Seperti kebiasaan, aku mempersiapkan diri. Memohon berkat sebelum ke lubuk rezeki.

Menyusun sasaran, merancang apa yang perlu dicapai pada hari tersebut.

“Aku mesti sampai menyentuh kad itu sebelum jam 8.”

Melihat-lihat jam tangan. Jarum pendek menghala arah tujuh, jarum panjang ke arah empat.

Tangan ibu, juga ayah kugenggam erat. Dikucup, mohon restu dan doa.

Kenderaan putih kecilku dihidupkan. Hembusan angin penghawa dingin menyapa jasadku.

Memulakan perjalanan, dengan ungkapan suci.

*****

Menanti lampu merah itu bertukar hijau. Agak lama.

Demi cinta dalam hatiku…” Lagu ‘Muara hati’ itu kualunkan.

Meniru suara penyanyi asal. Penuh perasaan, disusuli mimik muka dramatis. Menarik-narik suara.

Sesekali gadis bertudung merah, bersebelahan keretaku menjeling-jeling. Barangkali dia asyik. Asyik melihat kesungguhan yang kupamerkan.

Lampu bertukar hijau, aku meneruskan perjalanan. Ligat memandu, semangat di pagi hari yang masih segar bugar.

Sambil-sambil memerhati gelagat pemandu di pagi hari.

Macam-macam, yang menghembus asap rokok dicelahan tingkap, yang mententeramkan tangisan anak kecil, cakap berseorangan juga ada.

Paling ngeri yang menghunus jari telunjuk ke dalam lubang hidung.

*****

“Dah dekat sampai.” Aku bermonolog. Laluan jalan sedikit sesak tika itu.

Aku memandu di lorong paling kanan.

Merasakan sesuatu yang ganjil, secara tiba-tiba. Sesuatu yang tidak enak juga tidak kena. Bermain di celahan ruang perut. Bagai dilanda badai. Sudah.

Jiwa meronta.

Sapaan penghawa dingin kereta kuhentikan. Sesekali aroma kereta berubah-ubah pola bauan. Peluh keringatku menitis. Lantas membuka tingkap sisi. Kecemasan.

Stesen minyak di sebelah kiri jalan bagai melambai mesra. Membuahkan harapan.

Sedikit terkinja di kerusi pemandu. Terasa sudah tidak sempat.

Signal kiri diberi, melihat-lihat cermin sisi kiri, berusaha menukar lorong paling kiri.

Berperang dengan manusia yang tidak bertolak ansur. Tiba di stesen minyak, berlari-lari anak.

Hembus nafas lega.

*****

“Pucat muka Razik. Kenapa?” Abang Razali menyapa.

“Sakit  perut sikit.” Aku membalas.

“Kau datang bulan?” Abang Razali tersengih, bagai senyum kambing. Sinis.

Aku diam, cuba-cuba mengukir senyuman.

Mendekati mesin kecil yang terlekat pada dinding putih itu, memasukkan sekeping kad kuning.

Tercatat tulisan merah pada sisi kiri kad kuning itu, “8.15”.

*****

Manusia itu hanya bijak merancang. Namun, perancangan mereka belum tentu bijak.

Yang berusaha adalah manusia, yang menentukan adalah Dia.






















P/s: Gua sejak dua menjak ni asyik sakit perut pagi-pagi. Gua pun tak tahu apa masalah. Yang penting, gua kena buang ‘Hajat’ itu pagi-pagi sebelum keluar menyara hidup. Sebab gua belum dapat kad staf yang rasmi, maka gua kena punch card cara tradisional ini.

Wednesday 21 November 2012

Bongkah kecil

Melihat anak kecil itu berusaha. Berusaha mencantumkan bongkah-bongkah kecil beraneka warna.

Sesekali melihat tangisan anak kecil itu. Tidak berjaya memadankan bongkah-bongkah kecil itu. Aku pergi ke arahnya, memadankan bongkah-bongkah kecil. Aku ‘kembali’ ke dunia itu.

*****

Ceritera pada salah satu hari, tahun 1995, di satu malam. Aku, 7 tahun.

“Ajik, janji dengan mama. Jangan minta mainan lagi.” Ibu mengingatkan.

Aku mengangguk. Tidak mengiyakan. Serik untuk berjanji.

Tangan kanan  di pegang ayah, tangan kiri di pegang ibu. Menuju pintu masuk gedung itu.

Mengikut ibu dan ayah mencari keperluan harian. Riang, ditolak si ayah bersama barang keperluan di atas besi beroda. Megah, bila anak kecil lain memandang jasadku.

Di satu tempat lain, aku perlu menundukkan kepala. Ibu kata, anak sekecil aku tidak boleh melihat itu. Hilang ingatan. Aku jeling-jeling tengok.

“Kenapa baju itu kecik mama? Kenapa? Seluar kecik tu Ajik pun ada.” Soalan dewasa. Ibu tersengih, ayah menyengih.

Di satu tempat lain, ibu sedang khusyuk. Ayah menemani. Membelek-belek bulatan kaca. Pinggan, cawan. Agak lama.

“Mama, boleh tak Ajik pergi situ?” Soalku sambil jari dituding. Hanya beberapa langkah tempat itu. Ibu mengangguk. Dipesannya “Jangan pergi jauh sangat.”

*****

Mataku melihat-lihat tempat itu. Penuh warna warni.

Melihat patung Barbie yang seksi sana sini. Sedikit jengkel. Aku tidak lari dari norma seorang lelaki.

Melihat kereta-kereta kecil bergerak-gerak, keinginan memuncak. Cuma, sudah kerap. Jika dihimpunkan, satu perlumbaan kereta kecil boleh dilaksanakan. Keinginan itu dimatikan.

Melihat satu bekas biru berisi bongkah kecil aneka warna, aku terpana. Aku mengeja-eja tulisan yang tertera pada kotak itu, L, E, G, O. Dengan kewujudan bongkah-bongkah kecil itu, aku boleh membina kereta, rumah dan sebagainya.

Bekas biru dibawa bersama menemui ibu dan ayah.

“Mama, abah. Boleh tak belanja Ajik ini? Nanti boleh buat rumah, kereta. Lepas ini, tak payah susah-susah beli mainan lagi.” Aku menyatakan keinginan. Berjustifikasi.

Ibu dan ayah saling memandang. Melihat kesungguhan aku, maka mereka mengiyakan. Bertiga menuju ke kaunter.

“Maaf, kaunter dah  tutup encik. Dah pukul 10 lebih.” Jelas abang baju putih.

Ungkapan itu buat aku terkedu. Bagai dirasuk, aku mencampak-campakkan badan. Menjerit-jerit, perit. Berguling-guling di lantai. Kesedihan di atas paras normal. 

Ditenangkan ibu, ayah. Tidur dengan mata yang membengkak.

*****

Terbukanya mata bengkakku keesokan hari, penghujung minggu. Aku menuju ke arah ibu.

“Mama, Ajik nak susu.”

“Amboi, tengahari bangun. Okey, dalam cawan. Bukan dalam botol.” Ibu membalas. Aku mencebik.

Diletakkan botol susu kecil itu diatas meja tamu.

Kelihatan bersebelahan botol itu, bekas biru berisi bongkah kecil aneka warna.

Alangkah baik, andai tika itu aku mengerti “kasih-sayang” dan “susah-payah” ibu ayah.

*****

Barangkali bongkah-bongkah kecil berwarna itu boleh dihadap hingga hujung hayat.

Ibu dan ayah? Aku tidak tahu, kita tidak tahu.
















P/S: Gua ni sampai sekarang suka main Lego. Selalunya gua teman Dina, anak buah gua yang baru 2 tahun itu. Gua berharap Dina menjadi seorang arkitek yang berwibawa satu hari nanti. Lagi satu cita-cita gua nak jelajah Legoland. Ada siapa-siapa mahu belanja?

Sunday 18 November 2012

Jasad kecil

Satu malam, gelap gelita.

Krisis mata, lampu dipadam. Kerja bertaburan, hati bermalasan.

Hanya tiga puluh minit, lampu siling nyala kembali.

Bola mataku tertancap pada  jasad-jasad kecil bernyawa.

Barisan jasad kecil berkawad. Kemas. Menuju ke gelas hitam.

“Mahu kongsi hot chocolate? Mai secawan”

Monolog hati, terus memerhati.

Membilang seekor demi seekor.

 Tidak kenal jantan betina. Comel, terkedek-kedek.

Dukacita, terbantut hasrat murni, mereka yang ramai.

Seramai rombongan meminang. Tercari-cari. Manakah permaisuri? Manakah raja?

Datang mereka dari dua arah.

Timur dan barat, berbekal tenaga enam kerat.

Bertemu di satu titik, celahan gelas hitam.

Sesekali bertemu sesama sendiri, bersentuh. Sapa menyapa.

Bersalam? Laga pipi? Bercumbu? Aku tidak tahu itu. Erat.

Terus mendaki, bersama. Kesatuan menuju ke satu lembah. Lembah coklat.

Gigih mereka.  Berenang-renang di permukaan.  Berkuak lentang, berkuak dada.

“Gigih kau semut. Teruja akan usaha dan kesatuan kau. Meng’hadiah’kan sesuatu.” Aku berbisik.

Menjeling-jeling bekas merah aerosol, kelas IV di penjuru meja.

Tidak perlu.

*****

Semut.

Mereka yang  gigih.

Yang akur pada persahabatan, yang bersatu menuju yang ‘satu’

Alangkah indah bila manusia begitu.

Jasad kecil, jiwa besar.

Beza signifikannya, hanya semut tidak ber’otak’.












P/S: “Enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas..”

Mainan tika gua pra sekolah. Cubit atas tangan,cubit. Tangan bawah tangan gua bernasib ‘baik’. Berbirat. Tika itu, gua nyanyi ‘enjit-enjit semut’ macam hantu kak limah.

Wednesday 14 November 2012

Pemadam dan pensel

Hingar-bingar. Suasana kelasku. Itu tahun 1997, sedang aku darjah tiga.

Roket kertas, mulut kertas, menjadi mainan teman. Bagi kaum hawa sebayaku, gelang bermutiara plastik aneka warna diperagakan. Oh, mami jarum muda-muda.

“Ajik, jom main lawan-lawan pemadam. Aku ada pemadam baru.” Pelawa teman sebelah mejaku. Oh, ikon ‘transformer’ tertera di atas pemadamnya.

“Jom. Eh, pemadam kita hilang Zaid.” Balasku, tercari-cari.

Aku memusingkan badan ke belakang.

“Meela, kamu ada pemadam? Nak pinjam main lawan-lawan.” Aku meminta izin.

Meela tersenyum. Barangkali tanda sokongan. Pemadam ‘Hello Kitty’ dihulurkan.

Perlawanan bermula. Rancak. Sengit.

Hebat tak hebat, ‘Hello kitty’ menghempap ‘transformer’ 3-4 kali. Melihat si teman menangisi kekalahan itu.

*****

“Bangun semua! Selamat pagi cikgu!” Laungan ketua kelasku. Terkejut. Perlawanan pemadam terhenti.

Cikgu Salmah menuju ke meja guru di sudut hadapan kelas.  Ayu jalannya. Namun, keayuannya dilitupi kegarangannya.

Seorang demi seorang teman kelasku dipanggil menghadap. Pembetulan latihan Matematik pada buku kerja.

“Razik! Mari sini.” Cikgu Salmah memanggil. Aku menghadap, yakin.

“Lenggang sahaja? Pensel, pemadam mana?”. Sindiran cikgu Salmah. Keyakinanku beransur luntur.

Pensel kayu bermata dua (asahan depan dan belakang) dan pemadam ‘Hello Kitty’ dibawa. Terketar-ketar.
 
“Amboi, bukan main pink pemadam awak. Sekarang memang fesyen pensel mata depan belakang?” Sindiran kedua. Sinis.

Aku diam, mulut dikunci.

“Razik, kenapa bahagi macam ini? Bila soalan bahagi, yang depan kena bahagi yang belakang. Bukan yang belakang bagi hadapan. Contoh soalan ini, 20 bahagi 2. Maka 20 yang bahagi 2. Bukan 2 bahagi 20.” Jelas cikgu Salmah.

Aku mengangguk. Tanda faham.

“Suka hatilah nak bahagi yang mana dulu.” Monolog hati. Degil. Kini aku tahu kebenarannya.

Jalan kiraku itu dipadam. Langkah kerja baru dicoret dengan pensel mata dua.

*****

“Ajik, cikgu Salmah cakap apa tadi?” Meela bertanya. Sekembali aku di mejaku.

“Cikgu Salmah suruh kita masuk kuiz matematik antara kelas.” Ringkas kujawab.

Buku kerja latihan dibuka kembali. Pensel dan pemadam ‘Hello Kitty’di kiri dan kanan tangan.

Diperbetulkan yang mana salah.















*****

Kesilapan sinonim kehidupan.

Hebatnya jiwa itu apabila mampu mengiktiraf kesilapan, memperbaikinya. Jadi lebih baik. 

Di ‘kertas’ baru, sedaya upaya ‘menulis’ yang terbaik. Limitasi ‘ejaan’, juga ‘tatabahasa’ yang sememangnya pasti ada. Tiada yang tiada.

Maka di’padam’ dan di’tulis’ semula. Menjadi lebih baik, bersama berhijrah.

“salam maal hijrah, 1434H”


p/s: Gua duduk cari contact Meela dengan Zaid. Tak jumpa-jumpa, yang jumpanya Cikgu Salmah. haha. Terima kasih cikgu.

Sunday 11 November 2012

Terjemah

Padat.

Itulah kata yang bisa diungkap tika ini. Lambakan tugas.

‘Kromosom’, ‘gen’, ‘DNA’, ‘saiz nuklear genom’ dan beberapan lagi. Gabungan aksara yang acapkali bermain di celahan serebrum.

Lupa. Gabungan enam aksara yakni ‘kahwin’ menerajui permainan itu.

“Ajik, boleh tak kau jangan mengeluh?” Aku bermonolog. Meniru dialog kaunselor tersohor.

Langkah diatur, satu persatu. Komputer riba dihidupkan. Comel, potretku terpampang di cerminan komputer riba. Oh, perasan.

Aroma wangian ‘glade’ menyemarakkan suasana romantis di bilik usangku. Berlatarkan lagu “sudah cukup sudah” dendangan Nirwana Band. Karat, oh karat.

*****

Jari jemariku mula ligat menari di atas papan kekunci komputer riba. Otak diperah.

“Ocu!” Suara Diha, anak buahku, berusia 27 bulan.

“Ya Diha. Nak apa sayang? Ocu nak buat kerja.” Tanyaku pada Diha.

“Ocu, ya uci uci na mo to yok cuuu..” Diha menjawab.

“Oh, adik nak susu ya? Nanti Ocu buat.” Aku menduga.

“Ocu. Ya yik ya ya ocu mo cu.” Diha menjawab. Muncung mulutnya.

“Adik nak susukan? Susu tin Ocu boleh buatkan. Susu yang lagi satu, Ocu tak mampu buat. Kena tunggu mama.” Aku membalas. Loyar buruk.

“Ocu, ya yik yut yak!” Diha separa merengek. Terus memalingkan badannya. Kelihatan calitan coklat keperangan di belakang seluarnya. Oh, itu sememangnya bukan sisa Cadbury.

Wangian ‘glade’ berubah aroma. Serta merta.

Lagu “sudah cukup sudah” kutujukan buat Diha.

Diha kudukung, kami berlalu pergi.















*****

Luahan kata itu tidak mudah diterjemah.

Barangkali di bibir itu ceritanya suka, di hati pula ceritanya duka. Antara tersurat dan tersirat.

Usah ‘mudah’ untuk ‘menterjemah’.

p/s: Hari ini gua menjaga Diha sepenuh hati. Seronok Diha panjat-panjat belakang gua, tarik rambut gua sedang gua leka memerah otak. Tak dapat bayangkan bila gua sudah mempunyai anak.

Thursday 8 November 2012

Pesan abang


“10 minit lagi sebelum menginjak jam 10”. Aku bermonolog.

Melihat jendela luar. Bintang-bintang bertaburan. Indah, subhanallah.

“Cikgu, dah pukul 10. Mama dah nak datang”. Aiman, mula bersuara mencelah angan-angan indahku. Tersentak. Mulutnya muncung. Mahu sahaja muncung itu ditarik.

“Mama Aiman nak datang, bukan mama cikgu”. Aku membalas.

Aiman, berusia 8 tahun. Kanak-kanak yang ceria. Ceria yang kadangkala menusuk jiwa. Ditakdirkan aku mengajarnya tuisyen subjek Bahasa Melayu darjah 2.

*****

“Cikgu dah ada aweks?’’ Aiman bertanya. Nampak? Soalan menusuk jiwa.

“Diam, buat latihan”. Tenang aku menjawab. Budak kecil, biasalah.

“Sebab sibuk nak tahu jodoh cikgu, buat latihan penjodoh bilangan. Muka surat 34”. Aku menambah. Buku latihan Bahasa Melayu itu diselak helai demi helai.

“Dah siap cikgu!”. Aiman bangga. 5 minit sahaja. Diserahkan buku itu padaku.

Empat mataku merenung jawapan soalan yang pertama.

Soalannya: Aina menghulurkan ________ parang pada ibunya.
Jawapan  Haziq: Aina menghulurkan sejambak parang pada ibunya.

Aku kelu. Menahan air mata, biar bertakung dikelopak mata. Berlagak tenang.

*****

“Assalamualaikum”. Terpacak ibu Aiman di hadapan pintu. Saat yang tepat. Jelas terpancar wajah riang Aiman.

“Waalaikumussalam kak”. Salamnya kujawab.

“Terima kasih dik. Lately, cikgu Bahasa Melayu puji karangan Aiman. Depa kata karangan Aiman dah macam cerpen”.

Ibu Aiman bercerita, Aiman bangga. Aku membisu, tanda terkedu. 5 minit kemudian, mereka beredar.

Biasalah anak kecil, aku juga begitu tika di usia itu.  

“Jumpa lagi minggu depan Aiman. Siap, siap, siap.” Monolog hati.

Aku kembali kepada agendaku, menghadap komputer riba. Pemain MP3 dihidupkan, lagu “Pesan abang” nyanyian allahyarham Sudirman dimainkan.


Adikku muda remaja
Awasi bila melangkah
Wajahmu manis bak bunga
Pasti ramai yang tergoda

Tidak dilarang kau bersuka
Asal tahu kan batasnya
Jangan sampai adik terlupa
Harapan dan cita-cita


Ibu dan ayah
Menaruh harapan
Agar kau berjaya
Di hari kemudian


Selamat maju jaya buat adik-adik kelas tuisyenku untuk subjek biologi SPM. Sesungguhnya abang berhutang 4 kelas lagi dengan kalian yang akan dilunaskan minggu hadapan.


*****

Pembelajaran itu bukan setakat SPM, segenggam ijazah sarjana mahupun doktor falsafah. Pembelajaran adalah sepanjang kehidupan. Terharu melihat seorang nenek menduduki SPM di usia 50-an. Moga aku dikurniakan semangat sekuatnya.

p/s: Gua tak sabar nak belajar macam mana nak jadi bakal suami yang kacak dan berkaliber. Yang paling gua tak sabar nak belajar subjek rumah tangga. Terkedepan cita-cita gua.

Tuesday 6 November 2012

Kata aluan

'satu', 'dua', 'tiga' kata
padat, jelas, terisi.

'empat', 'lima', 'enam' kata
keliru.

'tujuh', 'lapan', 'sembilan' kata
dusta, nista.

*******

Mata pena berganti, moga tidak patah kembali.

p/s: Gua berimaginasi atau bermimpi? Oh, gua sedang berombak rindu untuk menulis, eh menaip.*pegang pen, sambil jari-jari runcing beroppa gangnam di atas papan kekunci*

Saturday 25 August 2012

Termenung

"Kau puasa ke tak? Lembik satu macam..”

Aku tersentak. Empat mataku tertumpu pada satu jasad. Pertanyaan sahabatku itu boleh dianggap pelik dan durjana. Dompet dibuka, kad pengenalan diteliti. Syukur, masih tertera nama Razik. Bukan Razikah, bukan Siti Nurazikah.

“Puasalah der. Celah mana aku uzur. Ceciter-ceciter.” Ringkas di jawab.

“Manalah tahu kau tak puasa Jik. Termenung tak ingat. Neelofa curang hape? Kalau dia curang Anzalna ada.” Balas sahabatku. Letih untuk berhujah, lantas kaki mula melangkah.

*****

Termenung? Senario yang sering aku alami dua tiga menjak ini. Barangkali disebabkan kesibukan yang melanda. Tesis mahupun jurnal menghantui jiwa. Macam orang-orang sekarang kata, tidur tesis, makan tesis, mandi pun tesis.  Gila. Skema.

Ini aku? 

Namun, semua itu semakin hampir ke penghujung. Moga penat lelah itu berhasil. Berkat doa mama, abah, keluarga dan sahabat (juga ex, ehh..). Mata berkaca.

*****

Termenung lagi? Aku masih termenung. Memikir hala tuju esok, lusa dan seterusnya. Soal keluarga, mama, abah juga kerjaya. Perancangan keluarga (family planning)? Masih jauh. Kahwin pun belum.

Sekadar hiasan

Sahabatku di alam nyata selalu menasihati aku yang pelupa, hala tuju ‘dunia’ seterusnya juga perlu difikir. Jangan siang malam fikir kahwin.

Genius minds discuss about their destiny in the hereafter”.

*****

Termenung lagi? Termenung memikirkan si cinta hati, My w.o.r.d.s. Bersawang, berhabuk juga berdaki cinta hati ini. Sedih. Masih ada ke insan yang sudi menelaah cinta hatiku ini?

Laptop aku  belah kanan. Kiri, laptop anak buah. Dua-dua tengah update blog.

*****

“Oit, Jik. Jangan kau termenung depan biskut Mama Carey tu lelama (nama biskut nak vogue). Cair gula atas tu.” Sergah abangku.

Tersedar. Aku sedang berhalusinasi perkara-perkara di atas tika termenung merenung biskut Mama Carey.

Kuih Mama Carey, bukan Mariah Carey.

*****

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat sahabat-sahabat blogger. Maaf atas salah silap juga terlanjur kata. Moga amalan di bulan Ramadhan diterima Pencipta. Amin.

p/s: Gua akan kembali aktif berblog. Maaf sebab gua busy sikit. Apepun gua nak kasi setel apa yang perlu. Ni gua tengah check tesis sebelum submit minggu depan. Gua risau terselit wordsgua lu, gua lu’dalam tesis. Habis gua kena sembelih dengan examiner.



Wednesday 2 May 2012

Terkunci


Sejuk”. Hati kecilku berbisik.

Jarum pendek jam dinding menunjukkan angka 5, manakala yang panjang menunjukkan jam 12. Hajat hati mahu beransur pulang, apakan daya kerja menimbun. Belum jadi papa budak, dah sibuk. 

Dua bebola mata bercumbuan mesra bersama lensa mikroskop. Pancaran cahaya meneroka masuk ke iris mata, bergerak-gerak anak mata ini mencari-cari serakan kromosom metafasa sawit. Sedikit sukar. Saiznya kurang dari 10 mikron.

Teruskan mencari, sambil menyanyi riang lagu kak Melah “Sesaat kau datang” tanpa featuring.

“Sungguh kejamnya dirimu.. kau khianati cinta…. lalala…”

“Mana awak kromosom?? Kita rindu awak, awak tak rindu kita?? Mikroskop tolonglah kita carikan kromosom. Please, please…”. Pujuk rayu hati pada mikroskop. Mikroskop terus kaku. Aku menggila.




Ini bukan kromosom sawit, tapi kromosom manusia


*********
Lima minit kemudian, tanpa diduga lampu mikroskop terpadam. Lampu kalimantang turut terpadam. Black out! Ini dugaan, ini cabaran.

“Dum, krek-krek”. Bunyi pintu dikunci. Apakah?? Apakah aku dikunci atau terkunci sendirinya didalam makmal eskimo ini??? Berlari-lari anak ke pintu makmal yang berwarna merah jambu dengan mulut yang sedikit muncung.

“Tahniah awak, awak terkunci dan dikunci”. Monolog hati. Aliran darah mengalir deras, hati sedikit kebas diselitkan dengan sedikit rasa duka, sedih dan kecewa. Gelora, oh gelora.

“Kak, kenapa akak kunci saya. Apa salah saya?? Punyalah besar saya duduk sebelah akak sambil-sambil menghendap akak melayari facebook. Sampai hati akak. Saya tak sekecil kromosom kak”. Bermonolog lagi, akan tetapi kali ini menghadap peti ais yang bersandar rapat pada dinding.

Sunyi. Suiz lampu makmal dihidupkan semula. Sunyi-sunyi ini bisa buat otak mengimbas kembali watak-watak dalam drama dan filem seperti Nek Nak, Congkak dan Jangan pandang belakang. Hantu botol kicap??? Itu tidak. Inilah pengaruh media, mudarat bila mana banyak cerita hantu dimainkan.

Telefon bimbit dicapai, beserta hajat menghubungi pihak ‘berwajib’. Didail 10 angka secara berturutan, bermula dengan 3 angka awal yakni 012.

“Hello, assalamualaikum kak. Akak buat apa?? Nak beritahu akak, saya terkunci dalam makmal.Kunci saya pula dalam kereta. Tak tahu siapa kunci saya”. Sedikit kepuraan, silakan terasa cik akak.

“Waalakumussalam. Hahaha. Mintak maaf dik. Akak tak perasan. Lagi 10 minit akak sampai”. Balasnya disertai sedikit deraian tawa riang.

Cik akak ini masih mampu bergelak ketawa, sedang aku tengah ‘seronok’ dikunci. Tidak mengapa, ungkapan maafnya membuatkan hati sedikit suam. Aku yakin cik akak tidak sengaja.

“Apa mahu buat? Kerja dah siap.


Bukan aku. Tapi kami berkongsi situasi yang sama. 


*********

Sunyi. Beginilah rasanya, bila mana terkurung.

Mungkin sedikit sama rasanya bila di sangkar penjara. Bezanya  aku terkurung dalam jangka masa yang terhad dan tidak diberi makanan percuma. Tidak diberi makanan percuma sangat ‘demand’.  Dikurung hanya beberapa ketika, sudah mula mintak makan dan minum.

Namun, aku masih gembira, kerana kesunyian ini memberi ruang untuk kita berfikir dan bermuhasabah.

Mungkin tika ini, boleh memikirkan kesalahan terhadap insan sekelliling. Bermula dengan ibu bapa kita. Berapa kerap kita berlawan cakap dengan mereka, berapa kerap kita memarahi mereka dan berapa kerap kita menjatuhkan air mata mereka. Bandingkan kekerapan-kekerapan  itu dengan bakti kita pada mereka.  

Begitu juga pada keluarga dan sahabat handai. Rasa bertuah bercambah bila mempunyai sahabat yang sering mengambil berat, baik dari alam nyata mahupun maya, teman blog dan twitter. 

Sayang abah, mama.


Paling penting, mengakui dan menyedari kesilapan kita pada Dia, pencipta alam. Sebagai manusia biasa, sudah pasti tidak akan lepas daripada kelalaian. Kelalaian dan kesibukan arus dunia semata bakal membuahkan kealpaan pada-Nya.Bermohon pada-Nya, berserah pada-Nya.

Banyak sungguh alpaku… Moga kita semua berusaha menjadi yang lebih baik. Walaupun sedikit, sudah pasti ia memberi makna ..




********

“Krek, krek, duk..” Bunyi pintu dibuka. Mataku bersinar.

“Maaf dik, akak lambat sikit” Cik akak makmal memulakan bicara. Wajahnya sedikit risau. Manakan tidak janji manis 10 minit untuk tiba bertukar 60 minit. Sedikit pahit.

“Terima kasih kak. Tak apa. Saya okey. Semua orang mana pernah perfect. Mungkin esok lusa saya pula yang kunci akak..”.

Aku berlalu pergi.

P/S: Seronok juga gua rasa bila terkunci. Teringin pula gua pula nak try kunci atau buat-buat mereka terkunci. (^_^)

Apa-apa pun gua menyusun 10 jari minta maaf kerana sudah lama blog gua bersawang. Kesibukan gua dalam hal duniawi salah satu faktornya. Moga bertemu lagi teman.